Tuesday, February 24, 2009

ADUN Batang Ai meninggal dunia.

Dublin Unting

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Air, Datuk Dublin Unting Ingkot, 56,yang meninggal awal pagi tadi dilaporkan koma selama sembilan bulan akibat angin ahmar. Beliau yang bertugas sebagai Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Sukan Sarawak menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pakar Normah (NSMC), Petra Jaya di sini, jam 1.25 pagi tadi. Mendiang yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), diserang angin ahmar 22 Mei tahun lalu dan menjalani pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) NSMC.
Sejak menjalani pembedahan di kepalanya bagi membuang darah beku itu, mendiang dilaporkan tidak sedarkan diri sehingga meninggal dunia awal pagi tadi.

Majlis Angkat Sumpah Ahli-ahli Majlis.

Terkini
24 Feb 2009 (11.30am)
Majlis Angkat Sumpah menerima jawatan sebagi Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli Majlis Daerah Sarikei bagi sesi Januari 2009 hingga 31 Disember 2009 telah berlangsung di Majlis Daerah Sarikei sebentar tadi.
Majlis tersebut disaksikan oleh YB Datuk David Teng Lung Chi, Menteri Muda Industri Makanan dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak. Seramai 25 orang telah mengangkat sumpah dalam majlis tersebut.
Beberapa orang golongan profesional telah dilantik sebagai Ahli Majlis antaranya ialah Ir Haji Zawawi Bin Haji Embong merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (Jurutera Perunding) Sarahill Consulting Sdn Bhd. Selain itu Mohamad Azmi bin Mathias Raya juga merupakan seorang Jurutera Awam di PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd yang berpejabat di Betong. Kedua-duanya adalah mewakili kuota PBB.
Memanglah menjadi harapan agar golongan ini nanti akan memantapkan lagi agenda pembangunan di Bahagian Sarikei.
Tidak kurang juga "Iron Lady" iaitu Kr Dayang Raoyah Abang Adeng merupakan muka lama yang telah dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi. Beliau merupakan orang kuat dalam MDS dan telah menjadi Ahli Majlis lebih daripada 20 tahun.
Antara barisan yang dilantik sebagai Ahli Majlis adalah seperti berikut :
  1. Kr Chan Kam Wuai (Pengerusi)
  2. Kr Dyg Raoyah Abg Adeng (Timb. Pengerusi: PBB)
  3. Kr Tan Pok Onn
  4. Kr Anthony Tan Hieng Kiek
  5. Kr Setia Ak Ungok
  6. Kr Egong Ak Undong
  7. Kr Sim Chee Chien
  8. Kr Teng Ung Woo
  9. Kr Ley Kok Lun
  10. Kr Yip Vuo Ung
  11. Kr Law Ing Liong
  12. Kr Tan kok Han
  13. Kr Ir Haji Zawawi Bin Haji Embong (PBB)
  14. Kr Mohamad Azmi Bin Mathias Raya (PBB)
  15. Kr Unding Ak Nyegang (PBB)
  16. Kr Jamat@Misiah Binti Kadri (PBB)
  17. Kr Bidai Ak Gisang (PBB)
  18. Kr Awgku Ibrahim Bin Awgku Hosain (PBB)
  19. Kr Hereward Gramong Ak Joseph Alien
  20. Kr Lau Puong Hieng
  21. Kr Wong Lieh Kieng
  22. Kr Ikau Ak Aji
  23. Kr Wong Ching Siong
  24. Kr Janet Lee Chai Fong
  25. Kr Mindalin Ak Ugap
Timbalan Pengerusi MDS Kr Dyg Raoyah Abg Adeng menangkat sumpah taat setia.

Kr Dyg Raoyah menandatangani surat pelantikan.


Ir Haji Zawawi menandatangani surat pelantikan.


Mohamad Azmi mengangkat sumpah taat setia.


Ir Haji Zawawi mengangkat sumpah taat setia.

Monday, February 23, 2009

Speaker jangan memihak-Pandikar Amin

Terkini
23/02/2009 3:42pm


KUALA LUMPUR 23 Feb. — Seorang speaker seharusnya tidak memihak dan perlu menyedari sebarang kesan tindakannya kepada Dewan dan rakyat umumnya, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Beliau berkata bila seseorang dilantik speaker, “anda adalah Speaker Parlimen atau dewan negeri berkenaan, dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik atau menguntungkan parti tertentu”. “Seorang speaker tidak harus (menjadi) orang suruhan sesebuah parti politik,” katanya selepas merasmikan mesyuarat pertama jawatankuasa kecil Perhimpunan Parlimen Asean (APA) mengenai krisis kewangan global dan impaknya di sini hari ini. Pandikar Amin menyatakan demikian kepada pemberita bila ditanya mengenai krisis perlembagaan di Perak sekarang. Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar, yang mempengerusikan Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan mengumumkan pada 16 Feb bahawa jawatankuasa itu telah menggantung Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya dari menghadiri sidang DUN masing-masing bagi tempoh 18 bulan dan 12 bulan berkuatkuasa serta merta.
Sivakumar dilaporkan telah juga memohon perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk mengadakan sidang khas dewan tidak lama lagi.
Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam berkata Pakatan Rakyat akan membentangkan usul percaya terhadap beliau selaku menteri besar yang sah di mesyuarat itu.
— BERNAMA

Sunday, February 22, 2009

Hormati Abdullah sebagai pemimpin agung-Mukhriz

Terkini

22/02/2009 4:49pm

KOTA BHARU 22 Feb. — Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir meminta semua rakyat terutamanya anggota Umno menghormati Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin agung selepas era kepimpinannya, apabila berakhir Perhimpunan Agung Umno, Mac ini.

Beliau berkata apa yang berlaku terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menyerahkan jawatan pemimpin nombor satu negara kepada Abdullah tidak seharusnya berlaku lagi sebaliknya semua pihak perlu meletakkan mereka di tempat sewajarnya.

“Jangan lagi perlakukan Pak Lah seperti mana yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir kerana akhirnya Umno akan dibenci rakyat kerana tidak menghormati pemimpin.

“Kita mesti memberikan penghormatan tinggi kepada Pak Lah kerana dia adalah bekas Perdana Menteri dan pemimpin kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenal calon-calon kepada perwakilan Pemuda Umno Kelantan di Bangunan Umno di sini, hari ini.

Mukhriz yang juga calon Ketua Pemuda Umno berkata adalah menjadi adat bangsa Melayu mengenang budi bekas pemimpin mereka terutama kepada pemimpin yang sangat berjasa untuk bangsa dan negara.

Beliau berkata apa yang berlaku kepada Dr Mahathir sebelum ini perlu dielakkan kerana ada dakwaan yang mengatakan Kedah tewas di tangan pembangkang pada pilihan raya umum disebabkan anggota Umno tidak mengenang budi bapanya.

“Semua rakyat di Kedah marah dan kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Tun Dr Mahathir dan diterjemahkan melalui undi pada pilihan raya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai saranan agar Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat sama ada di dalam kerajaan atau parti, Mukhriz berkata sebagai anak adalah tidak wajar untuk beliau memberikan pendapat.

“Terpulanglah kepada parti untuk berbuat demikian seperti mana yang dilakukan oleh parti lain apabila bekas pemimpin mereka dilantik sebagai penasihat parti selepas tidak lagi menjadi presiden,” katanya.

Mukhriz juga berharap proses peralihan kuasa itu nanti akan berjalan dengan baik dan berharap kepimpinan baru nanti akan meneruskan kesinambungan pemimpin sedia ada bagi memperbaiki parti dan memakmurkan negara.

Sementara itu, dalam satu majlis lain di Bentong, Pahang, Mukhriz berharap agar pucuk pimpinan Barisan Nasional meletakkan calon Umno untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah yang akan diadakan pada 7 April nanti.

Pimpinan parti hendaklah membuat pemilihan yang tepat dengan meletakkan calon anak tempatan bagi memenuhi aspirasi para pengundi di DUN berkenaan, katanya.

— BERNAMA

Tuesday, February 17, 2009

Status pasport boleh diperiksa melalui SMS

Terkini
17/02/2009 3:42pm

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Pemegang pasport Malaysia yang telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen boleh memeriksa status mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai bulan depan, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam, hari ini.
“Usaha ini mungkin merupakan khidmat yang pertama seumpamanya di dunia,” katanya.
Jabatan itu akan mengumumkan nombor SMS itu dalam masa terdekat.
Sementara itu, orang ramai boleh memeriksanya sama ada di pejabat imigresen atau melalui laman web jabatan itu di
http://www.imi.gov.my, katanya. - Bernama

Elizabeth Wong tawar letak jawatan Exco dan kerusi Dewan Undangan Negeri

Berita Terkini
17/02/2009 1:20pm


PETALING JAYA 17 Feb. — Elizabeth Wong, yang diasak dalam kontroversi berikutan penyebaran gambar bogel beliau, telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Lanjan.
“Saya telah memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai anggota exco kerajaan negeri Selangor dan begitu juga sebagai anggota dewan undangan negeri bagi Bukit Lanjan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Mohd. Abdul Wahid angkat sumpah di Dewan Rakyat

Terkini
17/02/2009 10:25

Mohd. Abdul Wahid Endut

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang baru daripada parti Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Beliau yang berpakaian baju Melayu berwarna gelap lengkap bersongkok mengangkat sumpah kira-kira pukul 10.05 pagi.
Pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 17 Januari lalu, Mohd. Abdul Wahid menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti 2,631 undi.
Dalam pilihan raya itu, Wan Ahmad Farid memperoleh 30,252 undi manakala Mohd. Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam memperoleh 32,883 undi.
Seorang lagi calon yang bertanding atas tiket Bebas, Azharudin Mamat hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan manakala Undi rosak 665.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang dari BN, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran. - Utusan

Elizabeth Wong adakan sidang akhbar

Terkini
17/02/2009 10:34am


KUALA LUMPUR 17 Feb. - Anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong dijadual mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Tropicana Damansara dekat sini, pukul 11 pagi ini.
Difahamkan, sidang akhbar berkenaan ada kaitan dengan penyebaran gambar separuh bogel beliau di Internet dan khidmat pesanan multimedia (MMS) sebelum ini. - Utusan

Monday, February 16, 2009

Anwar tidak hadir parlimen kerana di Doha -Nazri

Terkini
16/02/2009 3:44pm


KUALA LUMPUR 16 Feb. — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menghadiri perasmian mesyuarat pertama penggal kedua Parlimen ke-12 hari ini kerana beliau terlepas penerbangan dari Doha, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
“Itu yang dia beritahu saya secara peribadi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran Anggota Parlimen Permatang Pauh itu pada perasmian mesyuarat itu pagi ini oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali ketika ditemui pemberita pula berkata parti itu telah menulis surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat dan kepada Setiausaha Sulit Yang di-Pertuan Agong mengenai ketidakhadiran Anwar itu.
Katanya Anwar dijangka pulang ke tanah air petang ini.
— BERNAMA

Saturday, February 14, 2009

Merik Makan Lintah

Hari tuk genap dua minggu kamek nginang lintah. Pagi tadik kamek diberik oleh Talib (nya pun ada nginang lintah juak) sikok ikan kelik (keli). Tengahari tek kamek merik lintah kamek makan ikan kelik. Ikan ya dimasuk dalam sangkar lepas ya direndam dalam tangki selama setengah jam.
Lepas ya kitak nangga rami dak lintah nyedut darah kelik ya tek. Ikan ya dibiar macam ya ajak sampei lintah ya kenyang baruk nya melepas sedutan dari badan kelik ya. Dua minggu akan datang baruk lintah diberik makan lagik.
Sebenarnya senang nginang lintah, sik perlu diberik makan hari-hari. Cuma kamek gelik nangga lintah ya. Dua minggu gik mun ada masa kamek cerita lagik pasal lintah ya, k? Mun ada komen apa-apa, padah jak?

Lintah nyedut darah kelik.

Lintah agik melekat kat badan ikan kelik.


Sangkar di keluar dari tangki, rami dak lintah lekat kat badan kelik.

Lintah melepaskan sedutannya dari badan ikan kelik


Lintah dah kenyang, banyak dah turun balit ke dalam tangki.

Friday, February 13, 2009

Dua akhbar diberi amaran

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran tidak akan teragak- agak mengambil tindakan tegas terhadap dua akhbar parti pembangkang sekiranya masih menyiarkan artikel-artikel yang boleh menggugat perpaduan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, akhbar Suara Keadilan dan Harakah didapati melanggar syarat permit serta menyalahgunakan kebebasan akhbar dengan menerbitkan artikel berunsur fitnah, hasutan dan pembohongan.
"KDN akan bertindak tegas terhadap mana-mana media yang melanggar syarat permit yang telah ditetapkan, bukan hanya akhbar yang dikuasai pembangkang semata-mata.
"Kita tidak berat sebelah. Media berfungsi untuk menyatukan semua kaum dan memberi sumbangan kepada pembangunan rakyat, bukannya menjadi tempat menyebarkan fitnah, hasutan dan pembohongan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan kementerian itu merampas akhbar Suara Keadilan dan Harakah kerana melanggar syarat permit dengan menerbitkan laporan yang tidak tepat.
Kenyataan Syed Hamid semalam menyebut, langkah itu perlu kerana laporan dua akhbar itu terutama ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan lalu tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan tidak berasas.
Selain itu, menurutnya, KDN juga mendapati Suara Keadilan dan Harakah melanggar syarat permit kerana diedarkan kepada bukan ahli.
Syed Hamid menambah, tindakan kementeriannya terhadap dua akhbar itu dilakukan secara telus dan adil.
Ditanya sama ada permit kedua-dua akhbar terbabit akan ditarik balik, Syed Hamid memberitahu: "Itu (tarik permit) soal lain dan sekiranya ia didapati menggugat keamanan negara, tindakan tegas akan diambil.
"Mengikut syarat permit yang ditetapkan, akhbar Suara Keadilan dan Harakah tidak boleh dijual sewenang- wenangnya di merata-rata tempat kerana ia untuk diedar kepada ahli sahaja.
"Tindakan mereka menjual akhbar itu di merata-rata tempat jelas melanggar syarat," jelasnya

Tuesday, February 10, 2009

BN Kedah nafi ada kaitan peletakan jawatan Arumugam

Terkini
10/02/2009 8:59pm

ALOR SETAR 10 Feb. — Barisan Nasional (BN) negeri hari ini menafikan kononnya menjadi punca kepada peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau V.Arumugam dengan menawarkan habuan sebanyak RM5 juta dan memberi tekanan kepada wakil rakyat itu untuk menyertai Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN tidak pernah membuat sebarang tawaran wang ataupun memujuk mana-mana wakil rakyat dari Pakatan Rakyat untuk menyertai komponen parti itu kecuali mereka sendiri yang berminat menyertai BN. - Bernama

Nik Aziz tidak setuju Nizar dicalonkan di Bukit Gantang

Terkini
10/02/2009 5:33pm

KOTA BHARU 10 Feb. — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan cadangan DAP agar bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang nanti.
Menteri Besar Kelantan itu berpendapat selagi Mohammad Nizar masih dianggap oleh Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar Perak, adalah tidak sesuai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkkan bertanding untuk kerusi Parlimen itu. - Bernama

Pakatan Rakyat belum muktamadkan calon Bukit Gantang

Terkini
10/02/2009 5:29pm

IPOH 10 Feb. — Pakatan Rakyat (PR) masih belum memuktamadkan calonnya pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Ini disebalik cadangan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham semalam agar (bekas menteri besar Perak) Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding di kerusi itu. - Bernama

SPR mesyuarat Jumaat bincang dua pilihan raya kecil

Terkini
10/02/2009 3:19pm

PUTRAJAYA 10 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini untuk membincangkan kedudukan kawasan Parlimen (P.59) Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (N.25) Bukit Selambau, Kedah.
Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said dalam kenyataan hari ini berkata, mesyuarat khas itu juga akan memutuskan tindakan selanjutnya berhubung kedua-dua kawasan berkenaan.
Selepas mesyuarat itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mengadakan sidang akhbar yang dijadualkan pada 11 pagi di Bilik Gerakan SPR, Aras 5, Blok C7, Kompleks C, di sini, katanya. - Bernama

Nizar mahu jalankan tugas dari kediaman MB

Terkini
10/02/2009 2:50pm

IPOH 10 Feb. - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang enggan meletakkan jawatan sebagai menteri besar, hari ini dihalang daripada memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini semasa beliau cuba “melapor diri untuk bekerja” pagi ini.
Mohammad Nizar, bersama-sama dengan bekas Exco kerajaan negeri dari Pakatan Rakyat, termasuk Datuk Ngeh Koo Ham dari DAP, tiba dengan beberapa buah kereta pada 11 pagi dan disambut oleh kira-kira 40 penyokong.
Bagaimanapun semasa mereka tiba di pintu masuk utama, polis menghalang mereka daripada masuk.
Kemudiannya, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias menasihatkan Mohammad Nizar dan kumpulannya supaya bersurai kerana kehadiran mereka akan menyebabkan kesesakan trafik.
Mohammad Nizar kemudian memberitahu pemberita yang beliau akan terus menjalankan tugasnya dari kediaman Menteri Besar yang beliau enggan kosongkan, walaupun Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru pada Jumaat. - Bernama

Tiada cadangan guna ISA terhadap Karpal - Abdullah

Terkini
10/02/2009 1:03pm

PUTRAJAYA 10 Feb. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata setakat ini tiada cadangan untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh.
Bagaimanapun, katanya, siasatan terhadap Karpal telahpun dimulakan dan ketika ini, siasatan masih berjalan.
“Dan apabila siasatan itu selesai, laporan siasatan akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk apa jua tindakan yang wajar yang boleh diambil terhadap Karpal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Eksekutif Muda Khidmat Awam 2009: Kepimpinan Masa Depan Sektor Awam dan Misi Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini. - Bernama

Nizar dakwa dihalang masuk pejabat

Terkini
10/02/2009 12:19pm

IPOH 10 Feb. – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, beliau mahu menjalankan tugas seperti biasa hari ini tetapi telah dihalang memasuki pejabatnya.
``Saya masih lagi Menteri Besar yang sah dan kerajaan pakatan pembangkang adalah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
``Bagaimanapun kami telah dihalang daripada memasuki pejabat. Oleh itu, kami akan menjalankan tugas dari rumah rasmi Menteri Besar,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Utusan

Karpal pertahan kenyataan saman sultan

Terkini
10/02/2009 12:13pm

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertahankan kenyataannya untuk mengheret Sultan Perak, Sultan Azlan Shah ke mahkamah walaupun pelbagai pihak memintanya jangan bertindak demikian.
Beliau berkata, kenyataan itu tidak menyalahi peruntukan undang-undang dan Perlembagaan kerana Sultan juga boleh dibawa ke Mahkamah.
``Saya tahu apa yang saya perkatakan,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Utusan

PKR letak calon India di Bukit Selambau

Terkini
10/02/2009 12:05pm

MELAKA 10 Feb. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermungkinan besar meletakkan seorang calon India untuk pilihan raya kecil Bukit Selambau, Kedah berikutan peletakan jawatan oleh penyandangnya, V. Arumugam semalam.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya mengambil kira kerusi itu adalah untuk PKR maka parti telah perlu mencari seorang calon yang sesuai untuk bertanding di kawasan tersebut. - Bernama

Karpal tidak hadir fail saman Sultan Perak

Terkini
10/02/2009 11:56am

IPOH 10 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh tidak hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Wartawan yang menunggu kehadirannya seawal 8 pagi dimaklumkan oleh anaknya, Gobind Singh bahawa bapanya tidak hadir ke mahkamah untuk memfailkan saman tersebut.
Keadaan di Mahkamah tenang meskipun terdapat kira-kira 100 penyokong Sultan menunggu Karpal untuk menyatakan bantahan mereka.
Pada masa sama sekumpulan anggota polis ditempatkan mengawal pintu masuk ke mahkamah. - Utusan

Mohamad Nizar tiba di bangunan Perak Darul Ridzuan pukul 11.10 pagi

Terkini
10/02/2009 11:18am

IPOH 10 Feb. - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tiba di bangunan Perak Darul Ridzuan di sini kira-kira pukul 11.10 pagi ini untuk memasuki pejabat dan "menjalankan tugas" beliau. - Utusan

Barisan Exco baru Perak diumumkan

Terkini
10/02/2009 11:12am

KUALA KANGSAR 10 Feb. - Enam Exco kerajaan negeri Perak yang baharu dilantik telah selesai mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar sebentar tadi.
Mereka yang dilantik dan mengangkat sumpah itu ialah ADUN Sungai Rapat, Hamidah Osman, Datuk Ramly Zahari (Manong), Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang), Datuk Saarani Mohamad (Kota Tampan), Mohd Zahir Abdul Khalid (Kamunting) dan Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik). - Utusan

Mahkamah keluarkan waran tangkap ADUN Changkat Jering

Terkini
10/02/2009 10:22am

IPOH 10 Feb. - Mahkamah Majistret Ipoh mengeluarkan waran tangkap terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Mohd. Jailu dan ahli perniagaan Usaili Alias kerana tidak hadir kes rasuah projek pembangunan bernilai RM180 juta. - Bernama

Tunjuk perasaan bantah Karpal Singh

Terkini
10/02/2009 10:10am

KUALA LUMPUR 10 feb. - Hampir 200 penunjuk perasaan telah berhimpun di perkarangan Menara Maybank di sini pagi ini bagi membantah tindakan pihak-pihak tertentu yang cuba mencabar institusi Raja-raja Melayu.
Perhimpunan yang terdiri ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dan Selangor itu bermula kira-kira pukul 9.55 pagi turut melaungkan "Daulat Tuanku" sambil membawa kain-kain rentang antaranya menggesa agar kerakyatan Karpal Singh dilucutkan. - Utusan

Monday, February 9, 2009

Nizar patut bertanding di Bukit Gantang - DAP

Terkini
09/02/2009 10:38pm

IPOH 9 Feb. — Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan PAS menimbang untuk meletakkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai calon pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata, adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.
“Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada PAS untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Fakta kacang hijau

  • Kacang hijau atau phaseolus aureus berasal dari famili Leguminoseae.
  • Kacang hijau dapat menghasilkan pelbagai masakan seperti bubur dan pengat.
  • Kacang hijau memiliki kandungan protein yang cukup tinggi dan merupakan sumber mineral penting, antara lain kalsium dan fosfor.
  • Wanita yang mengandung disaran memakan kacang hijau agar bayi yang dilahirkan mempunyai rambut lebat.
  • Kandungan kalsium dan fosfor pada kacang hijau pula boleh menguatkan tulang.
  • Memakan kacang hijau juga disarankan kepada mereka yang mahu mengurangkan lemak badan kerana kandungan lemak kacang hijau rendah.

  • Ia mengandungi Vitamin B1 (tiamin) yang diperlukan untuk proses pertumbuhan tubuh badan. Tanpa kehadiran Vitamin B1 tubuh mengalami kesulitan untuk memecah karbohidrat.
  • Kacang hijau berupaya meningkatkan nafsu makan dan memperbaiki saluran pencernaan.
  • Kacang ini juga kaya vitamin B2 (riboflavin) yang membantu menyerap protein dalam badan.

  • Antioksidan yang terkandung di dalamnya dapat membantu melambatkan proses penuaan dan mencegah penyebaran sel kanser.
  • Kandungan Vitamin E membantu meningkatkan kesuburan.
  • Ia juga mempunyai manfaat kecantikan antaranya menghaluskan kulit, menghilangkan bintik pada wajah, menyembuhkan jerawat, menyuburkan rambut dan melangsingkan badan.

Arumugam lepaskan jawatan ADUN, Exco

Terkini
09/02/2009 9:47pm

ALOR SETAR 9 Feb. _ Kedah akan menghadapi satu pilihan raya kecil apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam meletakkan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan berkuat kuasa serta merta.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika mengesahkan perkara itu memberitahu, beliau menerima surat peletakan jawatan Arumugam sebagai ADUN Bukit Selambau dan Exco kerajaan negeri menerusi dua pucuk surat yang dihantar kepadanya dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail petang tadi.
Menteri Besar menjelaskan, beliau telah mengadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu`adzam Shah bagi memaklumkan peletakan kedua-dua jawatan Arumugam itu sejurus selepas menerima surat berkenaan. - Utusan

ADUN Bukit Selambau `hilang' tanpa berita

Terkini
09/02/2009 7:46pm

SUNGAI PETANI 9 Feb. — Anggota Exco Kerajaan Negeri yang telah disahkan meletakkan jawatan, V.Arumugam “menghilangkan diri” tanpa sebarang berita.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India itu gagal ditemui dan tidak menjawab sebarang panggilan telefon termasuk daripada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak. - Bernama

United rampas kembali kedudukan pendahulu EPL

PEMAIN Manchester United, Dimitar Berbatov (kanan) diasak pemain tengah West Ham, Scott Parker pada perlawanan LIga Perdana England di Upton Park, London, awal pagi tadi. United menang 1-0. – AFP

LONDON – Ryan Giggs membantu Manchester United merampas kembali kedudukan pendahulu bola sepak Liga Perdana England (EPL) apabila jaringan tunggalnya membantu pasukan itu menundukkan West Ham 1-0, semalam.
Giggs yang tidak banyak mendapat peluang bagaimanapun memanfaatkan kesempatan yang diperoleh apabila melepasi dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan rendah untuk gol kemenangan United pada minit ke-61.
United berjaya memintas kedudukan pendahulu daripada Liverpool selepas mengumpul 55 mata daripada 24 perlawanan, dua mata meninggalkan Liverpool yang menumpaskan Portsmouth 3-2, kelmarin.
Malah, skuad bimbingan Alex Ferguson itu juga mampu melebarkan jurang mata kepada lima kerana memiliki kelebihan satu perlawanan dan akan melengkapkan jadual apabila menentang Fulham pada 18 Februari ini.
Kemenangan 1-0 semalam turut memastikan Manchester United mengekalkan rekod bersih tanpa dibolosi dalam 13 perlawanan berturut-turut.
Sementara itu dalam perlawanan terdahulu, Arsenal menyempitkan peluang untuk memburu kejuaraan Liga Perdana selepas hanya mampu seri 0-0 dengan Tottenham dalam pertemuan dua kelab London di White Hart Lane, semalam.
Bagaimanapun anak-anak buah Arsene Wenger itu masih bernasib baik kerana berjaya pulang dengan satu mata biarpun mengharungi sebahagian besar permainan dengan 10 pemain.
Arsenal menerima tamparan apabila tonggak pertahanan mereka, Emmanuel Eboue dibuang padang pada minit ke-37 selepas menerima kad kuning kedua kerana mengkasari Luka Modric.
Tidak cukup kehilangan Eboue, Arsenal terus ditimpa malang apabila penyerang uta manya, Emmanuel Adebayor pula terpaksa dibawa keluar pada masa yang sama akibat kecederaan belakang lutut.
Robbie Keane, yang mengetuai jentera serangan Tottenham selepas kembali dari Liverpool tidak banyak menyumbang biarpun hampir meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan cantik yang hanya sedikit tersasar pada lewat babak pertama. – Reuters.

Arumugam dinasihat lepas jawatan Exco Kedah

Terkini
09/02/2009 4:08pm

ALOR SETAR 9 Feb. _ Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Senator Ir. Zamri Yusuf mengakui beliau secara peribadi pernah menasihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam meletakkan jawatan Exco kerajaan Kedah berikutan tekanan yang dihadapinya.
Pengerusi Biro Latihan PKR Kedah itu memberitahu, nasihat itu dibuat atas dasar sebagai seorang rakan yang rapat dengan Arumugam selepas ADUN Bukit Selambau itu menghubunginya bagi membincangkan masalahnya.
''Tekanan ini beliau rasa berat untuk dihadapi, jadi kita nasihatkan supaya lepaskan jawatan Exco dulu. (Kedudukan sebagai) ADUN boleh dirunding lagi. Bila lepas jawatan Exco, di Dewan Undangan Negeri (DUN) tak terima tekanan sangat,'' katanya. - Utusan

ADUN Bukit Selambau letak jawatan Exco

Terkini
09/02/2009 3:50pm

ALOR SETAR 9 Feb. – Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mengesahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam telah meletakan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri berkuatkuasa serta-merta.
Menurut beliau, surat peletakan jawatan itu dihantar terus kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu`adzam Shah dari Kuala Lumpur selepas ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin parti berkenaan.
Mengenai jawatan ADUN pula, Azizan berkata, setakat ini Arumugam hanya meletakan jawatannya sebagai Exco dan tidak menolak kemungkinan beliau akan berbuat demikian. - Utusan.

Bukit Gantang: SPR tunggu notis Dewan Rakyat

Terkini
09/02/2009 3:12pm

IPOH 9 Feb. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu notis rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang berikutan kematian penyandangnya, Roslan Shaharum hari ini.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu Bernama Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu menerima notis rasmi terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya. - Bernama

Barisan Exco baru Perak diumum esok

Terkini
09/02/2009 3:04pm

PANGKOR 9 Feb. - Barisan baru Exco kerajaan negeri Perak akan diumumkan esok, kata Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.
Katanya beliau telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung senarai anggota Exco tersebut.
Dr Zambry berkata senarai nama Exco berkenaan akan hanya diumumkan pada majlis mengangkat sumpah Exco kerajaan negeri Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar yang dijadualkan esok. - Bernama

Roslan meninggal kerana serangan jantung

Terkini
09/02/2009 2:03pm

IPOH 9 Feb. - Anggota Parlimen Bukit Gantang daripada PAS, Roslan Shaharum, meninggal dunia pagi ini dipercayai kerana serangan jantung, menurut abangnya Ahmad Najmi.
Beliau berkata Roslan, yang pada mulanya sedang menunggu keretanya dicuci di sebuah stesen minyak di Batu Gajah, tiba-tiba dilaporkan merasa tidak sihat dan meminjam sebuah basikal milik orang lain untuk ke farmasi berdekatan.
Sebaik mengayuh basikal itu beberapa meter, beliau dikatakan terjatuh lalu dibawa ke Hospital Batu Gajah sebelum disahkan meninggal dunia, kata Ahmad Najmi kepada Bernama di sini.
Roslan, 50, yang merupakan pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, meninggalkan seorang isteri Sofiah Husein dan 11 anak.
Lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara serta Universiti Terbuka Malaysia. - Bernama

Karpal salahkan Anwar

PULAU PINANG 8 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut mengecam Ketua Pembangkang itu kerana perbuatannya itu (mempromosikan budaya lompat parti).
“Anwar Ibrahim harus bertaubat kerana perbuatannya, Pakatan Rakyat sepatutnya memohon untuk mendapatkan seorang pemimpin yang baru bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di sini bagi mengulas laporan polis oleh Pemuda UMNO berhubung kenyataannya untuk mengemukakan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengenai peralihan kuasa di negeri itu.
Karpal turut menegaskan bahawa Anwar harus menjawab banyak persoalan terhadap kekecohan yang berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pemimpin PKR dan DAP yang memberi sokongan terhadap tindakan lompat parti.
Katanya, sebagai Pengerusi kebangsaan DAP, para pemimpin dalam parti itu seharusnya memberikan sokongan terhadapnya dan bukan menyokong Anwar.
“Saya kesal kerana saya tidak berupaya mendapat sokongan malah daripada pemimpin parti saya sendiri. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng sepatutnya menyokong saya, bukan mengeluarkan kenyataan untuk menyokong Anwar Ibrahim.
“Saya mohon sokongan... saya adalah Pengerusi DAP hingga sekarang. Saya memberi amaran kepada pemimpin parti saya jangan keterlaluan mendesak saya... saya telah banyak bersabar selama ini, janganlah jadikan perkara ini semakin meruncing demi kepentingan PR dan demi kepentingan DAP,” katanya.
Karpal menegaskan bahawa pakatan pembangkang seharusnya terus memastikan kekukuhan parti dan mendapatkan sokongan rakyat sepenuhnya pada pilihan raya umum akan datang untuk membentuk sebuah kerajaan bagi mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).
“Jangan ambil mudah kepercayaan yang diberikan oleh rakyat, mandat untuk pembentukan sebuah kerajaan harus datang daripada rakyat,” katanya. – BERNAMA

Keadaan di Perak bukti keretakan nyata Pakatan Rakyat

Terkini
09/02/2009 10:28am

KOTA BAHARU 9 Feb. - Senario politik di Perak ketika ini nyata membuktikan keretakan serius yang berlaku dalam parti gabungan Pakatan Rakyat dan tidak mustahil gabungan itu akan berakhir.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berkata keadaan itu juga memperlihatkan ideologi parti gabungan dalam Pakatan Rakyat tidak sehaluan dengan pemimpin mereka saling menunding jari antara satu sama lain. - Bernama

Karpal salahkan Anwar

PULAU PINANG 8 Feb. – Pengerusi DAP, Karpal Singh menyifatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosi budaya lompat parti.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut mengecam Ketua Pembangkang itu kerana perbuatannya itu (mempromosikan budaya lompat parti).
“Anwar Ibrahim harus bertaubat kerana perbuatannya, Pakatan Rakyat sepatutnya memohon untuk mendapatkan seorang pemimpin yang baru bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di sini bagi mengulas laporan polis oleh Pemuda UMNO berhubung kenyataannya untuk mengemukakan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengenai peralihan kuasa di negeri itu.
Karpal turut menegaskan bahawa Anwar harus menjawab banyak persoalan terhadap kekecohan yang berlaku dalam pakatan pembangkang hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pemimpin PKR dan DAP yang memberi sokongan terhadap tindakan lompat parti.
Katanya, sebagai Pengerusi kebangsaan DAP, para pemimpin dalam parti itu seharusnya memberikan sokongan terhadapnya dan bukan menyokong Anwar.
“Saya kesal kerana saya tidak berupaya mendapat sokongan malah daripada pemimpin parti saya sendiri. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng sepatutnya menyokong saya, bukan mengeluarkan kenyataan untuk menyokong Anwar Ibrahim.
“Saya mohon sokongan... saya adalah Pengerusi DAP hingga sekarang. Saya memberi amaran kepada pemimpin parti saya jangan keterlaluan mendesak saya... saya telah banyak bersabar selama ini, janganlah jadikan perkara ini semakin meruncing demi kepentingan PR dan demi kepentingan DAP,” katanya.
Karpal menegaskan bahawa pakatan pembangkang seharusnya terus memastikan kekukuhan parti dan mendapatkan sokongan rakyat sepenuhnya pada pilihan raya umum akan datang untuk membentuk sebuah kerajaan bagi mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN).
“Jangan ambil mudah kepercayaan yang diberikan oleh rakyat, mandat untuk pembentukan sebuah kerajaan harus datang daripada rakyat,” katanya. – BERNAMA

Sunday, February 8, 2009

Terpulang kepada Karpal untuk ambil tindakan undang-undang - Nizar

Terkini
08/02/2009 2:02pm

IPOH 8 Feb. — Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini berkata terpulang kepada pengerusi DAP Karpal Singh berhubung cadangannya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
“(Mengenai tindakan) Karpal Singh itu saya tidak tahu dan itu terpulang kepadanya,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Kuil Kallumai Arul Subramaniar di kawasan batu kapur Gunung Cheroh di sini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan anggota Parlimen Bukit Gelugor itu di Kuala Lumpur pada Jumaat lepas yang beliau bercadang memfailkan kes terhadap Sultan Azlan Shah dan kerajaan negeri yang baru berikutan pelucutan jawatan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar dan menubuhkan kerajaan Barisan Nasional di negeri itu yang didakwa tidak mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Karpal Singh dijangka memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa ini.
Semasa berucap pada majlis itu, Mohammad Nizar meminta penyokong Pakatan Rakyat kembali bertenang dan tidak bertindak melampau supaya ia tidak menjejaskan keharmonian rakyat di negeri ini.
Sementara itu, seorang wakil media tempatan mendakwa dipukul dan ditumbuk oleh seseorang yang dipercayai penyokong Pakatan Rakyat semasa membuat liputan kehadiran Mohammad Nizar pada majlis itu.
Tang Cheong Hoong, 26, daripada akhbar Oriental Daily yang cedera di dahi kiri dan dagu kanan berkata kejadian itu berlaku semasa beliau sedang mengambil gambar Mohammad Nizar yang sedang berjalan menaiki pentas khas di dalam kuil berkenaan pada kira-kira 11.15 pagi.
“Orang itu pukul saya di bahagian dahi dan menumbuk di bahagian dagu...saya rasa dia menggunakan tangan. Selepas itu, saya rasa pening sikit,” katanya yang menegaskan tidak akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu Mohammad Nizar dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat DAP negeri di sini kemudiannya melahirkan rasa sedih dengan kejadian yang menimpa Tang.
“Jika ia berlaku, saya minta penyokong-penyokong supaya tidak bertindak di luar perkara yang tidak diingini,” katanya apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.
— BERNAMA

Ambil tindakan terhadap Nizar, bekas exco - Rafidah

Terkini
08/02/2009 2:00pm

KUALA LUMPUR 8 Feb. — Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafizah Aziz meminta pihak berkuasa di Perak mengambil tindakan sewajarnya ke atas bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bekas Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang berkeras untuk terus menderhaka terhadap Sultan Perak.
Katanya perbuatan mereka enggan meletak jawatan walaupun dititahkan oleh Sultan Azlan Shah untuk berbuat demikian merupakan perbuatan yang sangat memalukan dan sangat biadap.
“Mereka jelas tidak langsung menerima dan menghormati keputusan Sultan, dalam Tuanku melaksanakan kuasa seperti yang termaktub dalam perlembagaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafidah yang juga anggota Parlimen Kuala Kangsar, mahu tindakan turut diambil ke atas mereka kerana mengadakan “mesyuarat Exco Kerajaan Negeri” dan membuat beberapa keputusan sedangkan pada hakikatnya mereka tidak lagi berkuasa dalam kerajaan.
Tindakan itu sangat perlu diambil kerana perbuatan mereka itu boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat, katanya.
Semalam, Mohammad Nizar telah mempengerusikan ’mesyuarat khas Exco’ di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh dan telah membuat keputusan kononnya ’meluluskan’ empat perkara berkaitan pentadbiran negeri.
Rafidah menegaskan bahawa pada masa ini hanya ada satu kerajaan negeri di Perak iaitu kerajaan Barisan Nasional (BN) dan semua pihak perlu menghormati proses yang jelas termaktub dalam perlembagaan.
Berdasarkan perbuatan Mohammad Nizar, rakyat seharusnya boleh menilai sikap kurang sopan, cara-cara tak beretika, dan politik jalanan yang membawa kekacauan yang diamalkan pembangkang.
Ia sekaligus menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat ialah gabungan parti politik yang tidak berkemampuan dan tidak berwibawa untuk mentadbir kerajaan negeri Perak dan rakyat seharusnya menolak mereka, katanya.
— BERNAMA

Zambry jamin bela nasib kaum India di Perak

Terkini
08/02/2009 11:48am

IPOH 8 Feb. — Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir hari ini memberi jaminan nasib orang India di negeri ini akan terus dibela walaupun kaum itu tidak mempunyai wakil daripada Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata kaum India tidak perlu bimbang kerana kepentingan mereka tidak akan dipinggirkan kerajaan negeri BN.
“Walaupun tidak ada wakil kaum India. Namun dijamin semuanya akan dijaga dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigusubramania, Gunung Cheroh, di sini pagi ini.
Beliau mengulas mengenai pertimbangan yang diambil oleh kerajaan negeri BN yang tidak mempunyai wakil kaum India dalam pembentukan barisan Exco kerajaan negeri Perak yang baru, yang dijadual mengangkat sumpah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Selasa ini.
Terdahulu, Zambry yang diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T. Murugiah dan Pengerusi MIC Perak Datuk G. Rajoo tiba di kuil itu pukul 8.30 pagi, telah meluangkan masa selama lebih 40 minit beramah mesra dengan penganut Hindu yang menyambut Thaipusam.
Dalam ucapan ringkas, Zambry menegaskan kepentingan semua kaum untuk terus bersatu padu bagi menjaga keamanan negara selain komitmen kerajaan BN untuk menjaga kepentingan semua pihak.
“Mari kita kembali bersatu, buang perkara yang tidak bawa kebaikan,” katanya.
Sebagai bukti segera komitmen BN, beliau turut mengumumkan bahawa peruntukan RM100,000 akan diberikan kepada kuil Hindu itu untuk menjalankan aktivitinya termasuk aktiviti keagamaan seperti meraikan Thaipusam.
Sementara itu, Murugiah yang juga bekas ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) berkata parti itu tidak akan meminta sebarang jawatan daripada kerajaan negeri BN memandangkan hal ehwal kaum India telah diperuntukkan di bawah bidang kuasa seorang timbalan menteri dalam kerajaan persekutuan.
“Kita tak mahu tekan. Apa yang penting bentuk kerajaan dulu,” kata Murugiah yang percaya Zambry akan mencari mekanisme terbaik bagi memastikan nasib semua kaum dijaga.
Rajoo pula berkata tiga nama telah dihantar kepada pucuk pimpinan BN untuk dipertimbangkan selaku speaker Dewan Undangan Negeri bagi mewakili kaum itu.
Beliau yang enggan mendedahkan nama yang disenaraikan berkata kerajaan negeri juga boleh melantik wakil kaum India bagi jawatan yang setaraf dengan Exco kerajaan negeri untuk menjaga kepentingan kaum itu.
“Kita harap perkara ini akan ditimbang sebaiknya,” katanya.
Perayaan Thaipusam berjalan dengan meriah di sini dengan penganut agama Hindu membawa kavadi dan berarak ke beberapa kuil utama di negeri ini, sekalipun situasi politik dicemarkan dengan insiden tunjuk perasaan sejak beberapa hari lepas.
Demonstrasi itu disertai penyokong Pakatan Rakyat yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pakatan itu telah tumbang apabila empat wakil rakyatnya keluar parti dan menyatakan sokongan kepada BN.
— BERNAMA

Saturday, February 7, 2009

Mengubat ulser

Pokok Nona
Bagi yang mengidap ulser, kudis atau bisul mungkin boleh mencuba petua ini. Caranya, tumbuk lumat beberapa helai daun pokok nona dan taampalkan pada ulser, kudis atau bisul tersebut. InsyaAllah penyakit tersebut akan kekurangan jika diulangi beberapa kali. Daun yang telah ditumbuk tersebut boleh juga disapu pada kepala untuk merawat sakit kepala.

Merawat demam panas

Pokok ketapang
Pokok ketapang yang tumbuh melata di kampung-kampung sebenarnya mempunyai khasiat tersendiri. Kulit dan akar pokok ketapang direbus dan airnya diminum bagi membantu mengurangkan demam panas, masalah hati dan hempedu serta cirit birit. Daun ketapang pula dihancurkan dan dimasukkan dalam air mandian untuk mengatasi ruam.

Khasiat buah kundang

Buah kundang
Buah kundang bukan saja enak dimakan bahkan ia sebenarnya mempunyai banyak khasiat ubatan. Orang dulu-dulu menggunakan daun kundang untk mengurangkan sakit kepala. Daun tersebut ditumbuk lumat dan Ditampal pada kepala. Manakala cecair yang diperah daripa daun kundang yang sudah ditumbuk lumat sesuai digunakan sebagai pencuci mulut dan kerongkong.

Exco Pakatan teruskan tugas sehingga mahkamah buat keputusan

Terkini
07/02/2009 5:29pm

IPOH 7 Feb. - Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang masih menganggap menjawat jawatan Menteri Besar, berkata barisan exco Pakatan Rakyat akan meneruskan tugas seperti biasa sehingga Mahkamah Tinggi memutuskan kedudukan kerajaan negeri itu.
Mohammad Nizar yang mempengerusikan mesyuarat khas exco di kediaman rasmi Menteri Besar Perak berkata Pakatan Rakyat menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada kerajaan negeri yang ada sekarang sah atau sebaliknya.
“Jadi kita serah sebulat-bulatnya kepada mahkamah untuk menentukan. Kalau mereka teruskan (angkat sumpah exco kerajaan negeri Barisan Nasional) sebelum mahkamah bersidang, maknanya kita akan ada dua menteri besar dan dua kerajaan.
Belum pernah ada dalam dunia begini,” katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini hari ini. - Bernama

Friday, February 6, 2009

Derhaka Nizar tidak boleh dipandang ringan - Muhyiddin

Terkini
06/02/2009 6:43pm

KOTA BHARU 6 Feb. — Kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu derhaka terhadap Sultan Perak Sultan Azlah Shah tidak boleh dipandang ringan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya begitu terperanjat apabila beliau membuat kenyataan mahu derhaka kepada raja, sesuatu yang langsung tidak menggambarkan beliau menghormati Perlembagaan dan kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai Raja bagi negeri Perak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhyiddin berkata ’keberanian’ Mohammad Nizar menyanggah keputusan Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu, malah mahu mencabar Baginda di mahkamah, amat dikesali.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak sepatutnya menghormati keputusan Sultan Perak kerana Baginda juga amat arif dalam bidang perundangan selaku bekas Ketua Hakim Negara.
“Lagipun ini demokrasi yang kita amalkan. Walaupun keputusan itu tidak memihak kepada pembangkang, kita mesti hormatinya,” kata Muhyiddin.
Katanya pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, sebagai Menteri Besar kerajaan BN di negeri itu adalah pilihan terbaik.
“Beliau adalah seorang tokoh berpengalaman kerana pernah menjadi exco di negeri itu sebelum ini, mempunyai kelulusan yang tinggi dan orang yang paling sesuai. Saya yakin dia dapat memberikan apa yang diharapkan oleh masyarakat di Perak ini,” kata Muhyiddin.
— BERNAMA

Dr. Zambry angkat sumpah sebagai MB ke-11

Terkini
06/02/2009 4:13pm

KUALA KANGSAR 6 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, baharu sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Balai Istiadat Istana Iskandariah, di sini. - Utusan

Gesa tarik balik anugerah Datuk Seri

Terkini
06/02/2009 3:37pm

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Gelaran “Datuk Seri” yang dianugerahkan Sultan Perak Sultan Azlan Shah kepada bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin disaran ditarik balik sebagai pengajaran kepada mereka yang menderhaka.
Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Syed Ali Alhabshee berkata beliau kecewa kerana seorang pemimpin Melayu seperti Mohamad Nizar telah menunjukkan sikap biadap terhadap Sultan Perak dengan enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun dititah berbuat demikian.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang kepada krisis tersebut dan bersikap “lempar batu sembunyi tangan”.
“Saya amat kesal dan dukacita kerana pemimpin Melayu seperti beliau telah menunjukkan pekerti yang tidak baik kepada generasi muda dengan menderhaka kepada institusi Kesultanan Raja-Raja Melayu kerana lebih mengutamakan kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - Bernama

Sultan Perak ke Istana Iskandariah hadiri upacara angkat sumpah MB

Terkini
06/02/2009 3:26pm


IPOH 6 Feb. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah akhirnya berjaya memasuki Istana Iskandariah pada pukul 3.10 petang selepas Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal lalu lintas ekoran adanya perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah.
Pada pukul 3.15 petang pula, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama beberapa ADUN Barisan Nasional (BN) dilihat melepasi kawasan perhimpunan haram itu menghala ke istana untuk menghadiri upacara angkat sumpah. - Utusan

Kronologi Politik di Perak

1 Februari 2009
  • Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan terdapat ADUN daripada pembangkang di Negeri Perak akan menyertai BN.
  • Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua ADUN dari PKR yang "hilang" sejak 26 Januari supata mengisytiharkan segera pendirian mereka jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Sarawak.
  • Speaker DUN Perak, V.Sivakumar berkata, beliau menerima surat perletakan jawatan Jamaluddin dan Mohd. Osman yang dihantar ke rumahnya pada 5.45 petang.
  • Kedua-dua ADUN PKR menafikan meletakkan jawatan, sebaliknya mengakui pernah menandatangani surat janji taat setia bersama enam lagi ADUN PKR yang tidak bertarikh bahawa jika mereka keluar parti, mereka secara automatik perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

2 Februari 2009.

  • Mohammad Nizar menghadap Sultan Perak di Istana Kinta. Beliau tidak mengulas kepada media berhubung istiadat menghadap itu.
  • Speaker DUN Perak, V.Sivakumar memaklumkan kekosongan kerusi DUN Behrang dan DUN Changkat Jering kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak.
  • Pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman berkata, kedua-dua wakil rakyat itu tidak membuat pengumuman keluar daripada PKR.
  • Seorang pegawai kepada Jamaluddin Mohd Radzi memberitahu media di Sepang bahawa wakil rakyat itu masih ahli PKR.
  • Seorang kenalan ADUN Changkat Jering menafikan perletakan jawatan ADUN itu pada sidang akhbar di Shah Alam.

3 Februari 2009

  • SPR memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering (N14) dan DUN Behrang (N59) serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itu.
  • ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi menganggap dirinya sebagai wakil rakyat Bebas serta PKR menghantar surat perletakan jawatannya sebagai ADUN kepada Sivakumar.
  • Ketua DAP perak, Datuk Ngeh Koo Ham memberi tempoh 48jam kepada SPR supaya mengkaji semula keputusan tidak mengadakan pilihan raya kecil.

4 Februari 2009

  • 1 tengah hari - Mohammad Nizar dijadual mengadakan sidang akhbar untuk membuat pengumuman penting.
  • 1.30 tengah hari - Mohammad Nizar menangguhkan sidang akhbar tanpa memberi sebab.
  • 2 petang - Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR tidak akan mengkaji semula keputusannya untuk mengadakan pilihan raya kecil.
  • 3 petang - Mohammad Nizar membuat tindakan luar biasa dengan mengumumkan pembubaran DUN serta merta sebelum memohon perkenan Sultan.
  • 3.50 petang - Mohammad Nizar dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
  • 4.35 petang - Empat ADUN Perak iaitu ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu, ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim dan ADUN Jelapang Hee Yit Foong berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.
  • 5 petang - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan BN perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti, BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.
  • 5.55 petang - Mohammad Nizar yang menghadap Sultan Perak untuk meminta perkenan baginda membubarkan DUN meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.

- BERNAMA

MOHAMAD Nizar Jamaluddin menjawab soalan wartawan semasa sidang media yang dihadiri oleh pengerusi-pengerusi Parti Pakatan Rakyat di kediamannya, di Ipoh, semalam.

IPOH 5 Feb. - Kerajaan negeri Perak hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Changkat Jering, Behrang dan Jelapang adalah kosong.
Permohonan tersebut dikemukakan oleh Speaker DUN, V. Sivakumar melalui Pejabat Tetuan Leong & Tan yang diwakili peguam Leong Cheok Keng bagi pihak kerajaan negeri, pada pukul 11.40 pagi ini.
Permohonan oleh plaintif tersebut adalah menurut Artikel XXXXV dan XXXV1 Undang-Undang Perlembagaan Negeri Perak.
Saman itu juga memohon ganti rugi, kos dan relif lain yang dianggap patut oleh mahkamah.
Pada pilihan raya umum Mac lalu, kerusi DUN Changkat Jering dimenangi oleh Kapten (B) Mohd. Osman Jailu, manakala Behrang (Jamaluddin Mohd Radzi) dan Jelapang (Hee Yit Foong).
Mohd. Osman dan Jamaluddin sebelum ini adalah wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala Yit Foong pula bekas wakil rakyat DAP.
Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham pada satu sidang akhbar berkata, pihaknya meminta supaya mahkamah mengisytiharkan kerusi kawasan-kawasan terbabit kosong.
''Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu mengadakan pilihan raya di kawasan tersebut," katanya di sini hari ini.
Koo Ham berkata, kerajaan negeri hanya boleh bertukar jika Menteri Besar, Datuk Seri Mohammmad Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan atau wujud undi tidak percaya kepada Menteri Besar melalui DUN Perak.
''Cara Barisan Nasional (BN) mahu mengambil alih kerajaan negeri tidak sah kerana dilakukan tidak mengikut lunas undang-undang," katanya.
Beliau berkata, kerajaan pakatan pembangkang bersedia menyerahkan kuasa kepada BN secara rasmi jika BN mengambil alih kerajaan secara sah.

Zambry angkat sumpah petang ini

SUBANG 5 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir malam ini diumumkan sebagai Menteri Besar Perak yang baru dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada pukul 3.30 petang esok.
Barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pula akan mengangkat sumpah di istana yang sama pada pukul 10 pagi, 10 Februari ini.
Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pangkalan TUDM di sini malam ini sekembalinya daripada menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.
Abdullah tiba di pangkalan itu kira-kira pukul 7.45 malam ini.
Berikut ialah kenyataan bertulis ringkas yang dibacakan oleh Abdullah:
"Saya ingin membuat pengumuman bahawa Seri Paduka Sultan Perak telah memberi perkenan kepada Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, ADUN Pangkor untuk mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah pada pukul 3.30 petang, 6 Februari (esok).
"Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) akan mengangkat sumpah pada hari Selasa bersamaan 10 Februari di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar."

Zambry MB Perak

DATUK Dr. Zambry Abdul Kadir
  • Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, 47, diumumkan Menteri Besar Perak ke-11 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

  • Beliau akan mengangkat sumpah esok (Jumaat) manakala barisan Exco pada Selasa.

  • Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan Exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

  • Jawatan Menteri Besar dan Ahli-ahli Exco dianggap kosong sekiranya enggan meletak jawatan.

Thursday, February 5, 2009

Dr. Zambry Menteri Besar Perak yang baru

Terkini
05/02/2009 8:04pm

SUBANG 5 Feb. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir diumumkan Menteri Besar Perak yang baru dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, 3.30 petang esok.
Barisan Exco kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pula akan mengangkat sumpah di istana yang sama pada 10 Februari ini.
Pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pangkalan TUDM di sini malam ini sekembalinya dari menghadap Sultan Perak di Istana Kinta, Ipoh.
– Utusan.

Sultan tidak perkenan pembubaran DUN Perak

Terkini
05/02/2009 3:01pm

IPOH 5 Feb. – Sultan Perak Sultan Azlan Shah memutuskan untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuat kuasa serta merta.
Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Mohammad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.
“Sekiranya Mohammad Nizar tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan,” kata kenyataan itu. – Bernama

Sultan Perak titahkan Mohammad Nizar letak jawatan

Terkini
05/02/2009 2:37pm

Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah menitahkan Datuk Seri MohaMmad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuatkuasa serta merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.
— BERNAMA

MB selesai menghadap Sultan Perak

Terkini
05/02/2009 1:58pm


IPOH 5 Feb. – “Alhamdulillah. Ia petanda baik,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin sebaik keluar dari Istana Kinta di sini selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Mohammad Nizar yang tiba di Istana Kinta pada 12.45 tengah hari kelihatan tersenyum selepas menghadap selama 20 minit.
Beliau yang sebelum itu menghadiri majlis perasmian Ladang Padi Gedung Sime Darby oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Ladang Tali Air, Bagan Serai, kira-kira 130 kilometer dari sini, kelihatan tergesa-gesa meninggalkan majlis pada pukul 11.40 pagi.
Menteri Besar tersebut dilaporkan sempat memberitahu pemberita bahawa beliau telah dipanggil menghadap oleh Sultan Azlan Shah di Istana Kinta.
Sebelum ketibaan Mohammad Nizar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim kelihatan memasuki istana pada pukul 12.15 tengah hari. - Bernama

Sultan Perak sudah maklum 31 ADUN sokong BN

Terkini
05/02/2009 12:02pm

IPOH 5 Feb. – Sultan Perak sudah disembah maklum mengenai majoriti mudah yang diperoleh Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan baru di negeri itu.
Kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN termasuk dari Bota yang kembali kepada parti itu serta tiga yang meninggalkan parti masing-masing menjadi ADUN Bebas telah memberi pengakuan menyokong kerajaan BN.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Sultan Perak menitahkan semua ADUN yang menyokong menghadap dan majlis menghadap sudahpun diatur susun dan diterima menghadap.
``Dengan ini terserahlah kepada Sultan Perak membuat keputusan selepas ini.
``Tuanku akan buat keputusan secepat mungkin. Kita akan maklumkan sebab ada proses yang perlu diikuti.
``Jadi sebelum MB baru boleh angkat sumpah, Tuanku perlu membuat keputusan sama ada membubarkan DUN atau meminta MB sekarang meletak jawatan,’’ katanya pada sidang akhbar di bangunan UMNO di sini hari ini.
Ditanya reaksi sekiranya keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Perak tidak memihak kepada BN, Najib menjawab: ``Kita akan hormati apa jua keputusan Tuanku kerana itu hak mutlak Tuanku.’’ – Utus
an

Keputusan Piala FA


(1)


( () )

Nak cerita sikit pasal FA Cup pagi tadik (05.01.2009) main Merseyside. Everton (1) Liverpool (()), gol jaringan Dan Gosling .Nampaknya tahun tuk Liverpool kempunan (Ponek) lagik nak menjuarai Piala FA.
Carling Cup dak Liverpool pun dah keluar juak. Menurut kata beberapa orang peminat Liverpool (namanya dirahsiakan), sidak ya madah piala ya adalah Piala Keropok.
Nampaknya duak (2) piala dah terbang, tapi ada duak (2) lagik piala nak di rebut dak Liverpool, Champion League ngan EPL (English Champion League).
Dalam EPL, Liverpool cuma menerajui beberapa minggu jak lepas ya kedudukannya dirampas oleh Manchester United (MU).
Mungkinkah nasib serupa akan menimpa Liverpool dalam Champion League kelak, sama-sama lah kita tunggu dan lihat. Rasanya sik sampai ke adan...

BN kuasai Perak

NAJIB Tun Razak bersama Ahmad Zahid Hamidi pada sidang akhbar khas di Putrajaya, semalam, bagi mengumumkan Barisan Nasional akan menubuhkan kerajaan baru negeri Perak. Sidang akhbar itu turut dihadiri Jamaluddin Mohd. Radzi (kanan), Hee Yit Foong (dua dari kanan), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (tiga dari kanan) dan Nasarudin Hashim (tengah).

  • Barisan Nasional (BN) peroleh majoriti mudah untuk ambil alih kerajaan negeri Perak ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan pakatan pembangkang meninggalkan parti masing-masing bagi menyokong BN.

  • ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu daripada Parti Keadilan Rakyat serta ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) menjadi wakil rakyat Bebas.

  • ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang baru-baru ini menyertai PKR, kembali semula kepada UMNO.

  • BN kini mempunyai 28 kerusi, pakatan pembangkang juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.

  • Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi penubuhan kerajaan baru. Nama calon Menteri Besar akan diumumkan dalam masa terdekat.

Wednesday, February 4, 2009

Fakta Banjir

Banjir masih lagi melanda beberapa kawasan di negeri ini khasnya kawasan rendah di Bahagian Sibu, Bintulu, Miri dan Mukah dengan jumlah mangsa yang terlibat ialah 1,035 penduduk daripada 234 keluarga. Bilik Gerakan Banjir Negeri melaporkan bahagian di utara Sarawak masih lagi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan angin Monsun Timur Laut masih lagi bertiup kencang ke Sarawak manakala kawasan lain seperti Kuching dan Samarahan setakat ini masih dalam keadaan berjaga-jaga.
Semua sedia maklum mengenai kesan yang tidak baik terhadap semua kehidupan sehingga boleh membawa kematian. Antara yang disebabkan oelh banjir adalah :
  • Kemusnahan tanaman - Air banjir yang bertakung terlalu lama di kawasan pertanian menyebabkan tanaman mati. antara tanaman yang mudah mati ialah getah, koko, kelapa sawit dan padi.Kemusnahan tanam-tanaman ini merugikan petani.

  • Kemusnahan harta benda - Banjir yang besar boleh menenggelamkan rumah kediaman serta menghanyutkan dan merosakkan barang lain seperti barang elektrik, kereta dan sebagainya. Ini membawa kerugian besar kepada penduduk.

  • Penyakit - Kesan paling buruk dibawa oleh banjir ialah kesihatan manusia. banjir yang berlaku akan menyebabkan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air. Najis ini bertaburan di merata-rata tempat sehingga menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti taun dan malaria.

  • Kematian - Banjir juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa terutama di kawasan yang rendah dan berhampiran sungai.

  • Kerugian Kerajaan - Banjir sering merosakkan benda awam seperti jalan raya, bangunan, telefon, eletrik dan mengakibatkan pelbagai jenis penyakit. semua ini ditanggung oleh kerajaan dengan memperbaiki kerosakan dan membiayai kelengkapan perubatan. Semua ini memerlukan kos penyelengaraan yang tinggi. Selain itu, kerajaan juga terpaksa menyediakan pelbagai keperluan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan disamping menyediakan penempatan sementara mangsa banjir.

Jamaluddin, Mohd. Osman bukan lagi wakil rakyat

IPOH 3 Feb. - Kerajaan Perak tidak lagi mengiktiraf Jamaluddin Mohd. Radzi dan Mohd. Osman Jailu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang dan Changkat Jering.
Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, dengan itu kedua-duanya dilucutkan daripada jawatan Exco dan tidak perlu hadir mesyuarat yang akan datang.
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan ADUN pakatan pembangkang di kediamannya lewat malam ini, beliau memberitahu kerajaan negeri tetap berpegang dengan pendirian bahawa Jamaluddin dan Mohd. Osman sudah meletak jawatan.
''Mesyuarat exco kerajaan negeri akan datang mereka tidak perlu datang. Malah sidang DUN juga mereka tidak perlu hadir sebab mereka sudah letak jawatan," katanya.
Kesemua ADUN Pas, DAP dan PKR di negeri ini kecuali ADUN Jelapang yang juga Timbalan Speaker DUN,
Ho Yit Foong, hadir.
Keputusan 'menolak' Jamaluddin dan Mohd. Osman menjadikan kedudukan kerajaan negeri pakatan pembangkang semakin goyah dengan hanya menguasai 30 kerusi DUN berbanding 27 yang dimiliki Barisan Nasional (BN).

Jadi ADUN Bebas


ABDUL Aziz Mohd Yusof sambil diperhatikan timbalannya, Wan Ahmad Wan Omar (kiri) menunjukkan surat peletakan jawatan yang dikatakan membabitkan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi pada mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/ZAKI AMIRUDDIN

Sah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi kini wakil rakyat Bebas, manakala ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan Jamaluddin dan Mohd. Osman kekal ADUN di kawasan masing-masing.
Jamaluddin mendakwa beliau menjadi mangsa mainan politik PKR.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Hee Yit Fong tidak hadir pada sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Azlan Shah. ‘Kehilangannya’ menimbulkan tanda tanya.