Monday, June 29, 2009

Buang masa debat dengan Nik Aziz - Dr. M

Terkini

ALOR SETAR 28 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu melayan pelawaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berdebat secara terbuka kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, debat terbuka antara kedua-dua pemimpin parti politik terbesar Melayu itu jika diadakan hanya membazir masa dan akan menjadi satu bentuk hiburan semata-mata.

Malah, katanya, Malaysia mempunyai acuannya tersendiri dan tidak perlu mengikut amalan sesetengah negara luar yang mengadakan debat secara terbuka antara pemimpin parti politik dalam mempertahankan pendapat masing-masing.

"Hanya buang masa. Jadi satu hiburanlah, kita bukan lantik pemimpin untuk berhibur," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Negeri Kedah di Bangunan Tunku di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden UMNO yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Presiden Mubarak, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau ditanya cabaran Nik Abdul Aziz yang mengajak Perdana Menteri berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan itu kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai amalan rasuah dalam UMNO, Mahathir berkata, parti itu akan mengalami kesukaran pada pilihan raya umum akan datang jika masih meletakkan calon yang mempunyai imej rasuah.

Beliau yang kecewa dengan keadaan rasuah dalam UMNO bagaimanapun berkata, pada masa ini terdapat usaha-usaha positif di kawasan tertentu untuk memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap parti.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir berkata, UMNO tidak boleh mengharapkan semata-mata kepada ahlinya untuk memenangi sesuatu pilihan raya, sebaliknya perlu meraih sokongan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, angka yang menunjukkan ahli UMNO pada masa ini iaitu kira-kira 3.5 juta bukan ukuran menjamin kemenangan jika parti itu gagal meraih sokongan padu daripada rakyat.

Justeru, jelasnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membersihkan imejnya dan sentiasa mendekati rakyat supaya mendapat sokongan mereka yang berpuas hati dengan prestasi dan imej parti.

Brazil bangkit tewaskan AS untuk juarai Piala Konfederasi

Terkini
29/06/2009 4:35am

JOHANNESBURG 29 Jun - Juara bertahan Brazil berjaya bangkit dari ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-2 dan seterusnya memenangi Piala Konfederasi buat kali ketiga dalam perlawanan akhir yang menghiburkan di Ellis Park, di sini sebentar tadi.

AS yang mengejutkan Sepanyol di peringkat separuh akhir, kelihatannya sekali lagi mahu mencipta keputusan luar dugaan apabila berjaya memperoleh gol menerusi Clint Dempsey dan Landon Donovan dan sekali gus meletakkan pasukan itu mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Penjaga gol AS, Tim Howard berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Brazil sebelum Luis Fabiano menjaringkan gol kelima dalam lima perlawanan pada kejohanan itu apabila menjaringkan gol hanya beberapa saat selepas bermulanya separuh masa kedua dan menambah satu lagi gol pada minit ke-74.

Ketua pasukan Brazil, Lucio pula melengkapkan tugas apabila pantas menyambar lantunan bola yang terkena tiang dan menanduk masuk ke penjuru gol AS enam minit sebelum wisel penamat. - Reuters

Saturday, June 27, 2009

Pendidikan kekal agenda penting misi nasional - Najib

Terkini
27/06/2009 5:07pm

KUALA LUMPUR 27 Jun — Pendidikan akan terus menjadi agenda utama dalam melaksanakan misi nasional dan objektifnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya walaupun dengan model ekonomi yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan namun ia tidak mungkin dapat dicapai sehingga atau kecuali bila negara mampu melahirkan masyarakat berkualiti dan sesuai, yang dikaitkan dengan pendidikan dan nilai-nilai hidup.

“Pendidikan bukan semata-mata melahirkan seorang insan akademik...ianya mengenai seorang yang menerima pendidikan dalam hati dan minda. Inilah tujuan sebenar pendidikan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Sekolah-Sekolah Mubaligh Malaysia di sekolah St John Institution di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata selain kurikulum pendidikan, faktor lain yang mempunyai pengaruh kuat terhadap pelajar ialah nilai moral dan budaya sekolah yang membantu mencorakkan sikap dan kepercayaan pelajar berkenaan.

“Bagi misi itu, sekolah mubaligh diiktiraf sebagai sekolah dengan ciri-ciri khas...di mana ia sejajar dengan hasrat saya melihat konsep sebenar 1Malaysia,” kata Najib.

Menurutnya sebahagian daripada pakej gagasan 1Malaysia adalah termasuk nilai asas bahawa semua rakyat Malaysia harus menerimanya dengan penuh hati kepelbagaian dalam negara ini sebagai satu kekuatan dan bukan punca masalah.

“Gesaan 1Malaysia menjangkau konsep toleransi...sebaliknya ia meminta peralihan corak pemikiran dengan penerimaan secara menyeluruh kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita,” katanya.

“Saya meminta semua rakyat Malaysia supaya berubah kerana perjalanan ini adalah mengenai transformasi corak pemikiran...dengan tidak begitu membezakan dari segi etnik dan agama tetapi sebaliknya apa yang kita boleh sumbangkan kepada negara ini.

“1Malaysia bermaksud sebuah kewarganegaraan, satu impian dan satu negara.

Jika kita percaya dan mengikuti jalan ini, saya percaya Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih kuat,” katanya.

Najib berkata beliau bertuah kerana menghabiskan hampir sedekad alam persekolahannya di sekolah berkenaan yang diiktiraf kerana komitmen bukan sahaja dalam menawarkan pendidikan berkualiti tetapi juga terkenal kerana menyemai ciri-ciri seperti bekerja keras, ketabahan, sikap rendah diri dan berperikemanusiaan di kalangan pelajar.

“Saya dan generasi Malaysia terhutang budi dengan guru dan St John Institution,” katanya.

Pada sidang media kemudian, Najib mengumumkan bahawa sekolah St John Institution, yang dibuka pada 1904, akan diisytiharkan sebagai tapak warisan negara pada satu majlis 12 Julai ini.

Beliau juga turut berkata Kementerian Pelajaran akan mengkaji semua isu dan permohonan berhubung sekolah mubaligh di negara ini yang dibangkitkan oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok, yang juga pengerusi persidangan itu, dalam ucapannya sebelum itu.

“Saya harap Kementerian Pelajaran akan mengkaji secara serius permintaan mereka di mana kita boleh menampung dan jika ianya selaras dengan dasar kerajaan maka saya fikir kita harus menampung permintaan mereka,” katanya.

Antara isu dan permohonan yang dibuat oleh Dompok, bagi pihak persidangan itu, ialah pemuliharaan budaya, cir-ciri sekolah mubaligh, pembiayaan dan pembentukan unit khas untuk sekolah mubaligh dalam Kementerian Pelajaran.

Di samping itu, isu lain berkaitan dengan rundingan antara kerajaan dan pihak berkuasa sekolah mubaligh dalam pelantikan pengetua/guru besar, mengekalkan ciri-ciri sekolah mubaligh berhubung kemasukan pelajar dan tenaga pengajar dari pelbagai kumpulan etnik dan soal status tanah pajakan sekolah mubaligh.

Ketika ini, kira-kira 250,000 pelajar menuntut di 410 buah sekolah mubaligh di negara ini.

— BERNAMA

Friday, June 26, 2009

Nik Aziz tidak patut kelirukan rakyat - Tengku Razaleigh

Terkini
26/06/2009 3:36pm

KUALA KRAI 26 Jun - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya membuat kenyataan mengelirukan dengan menyamakan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kenyataan Nik Aziz yang dibuat pada satu ceramah di Manek Urai lima hari lepas, tidak wajar memandangkan Nik Aziz sendiri pernah bertanding di Kelantan atas tiket Barisan Nasional semasa Pas bersama BN.

“Pas pun parti politik seperti UMNO dan kita (UMNO) tak kurang juga berjuang untuk Islam. Segala-galanya yang kita lakukan untuk Islam juga. Tak munasabah dia cakap macam ini.

“Dia dulu bersama BN juga. Tahun 1967 dia bertanding pada pilihan raya kecil di Kelantan dia bersama kita. Pada tahun 1974 masa Kelantan dikuasai BN, dia bertanding di Bachok atas tiket BN.

"Kenapa nak timbulkan perkara yang boleh mengelirukan pemikiran rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Manek Urai di Sekolah Kebangsaan Manek Urai di sini, hari ini. - Bernama

Michael Jackson ambil preskripsi dadah

Terkini
26/06/2009 12:16pm

LOS ANGELES 26 Jun – Raja Pop dunia, Michael Jackson dikatakan telah mengambil preskripsi dadah untuk membolehkannya bertahan dalam konsert yang bakal diadakan di London bulan depan.

Menurut seorang jurucakap peguam ahli keluarga penyanyi itu, Brian Oxman, Michael Jackson berjuang menghadapi penyakit yang dihadapi dengan memakan preskripsi ubat tersebut sepanjang kerjayanya.

Dia mengambil dadah tersebut selepas mengalami kecederaan ketika menjalani latihan untuk konsert yang bakal diadakan itu.

Pegawai Koroner Los Angeles, Leftenan Fred Corral memberitahu CNN bahawa Jackson, 50, disahkan meninggal dunia selepas jantungnya gagal berfungsi. - AFP

Kematian Michael Jackson mengejutkan - Lisa Presley

Terkini
26/06/2009 1:10pm

LOS ANGELES 26 Jun - Bekas isteri Michael Jackson, Lisa Marie Presley yang juga anak kepada ikon rock Elvis Presley menyifatkan kematian Raja Pop itu sebagai satu insiden mengejutkan dan menyedihkan.

``Saya sangat sedih dan keliru dengan perasaan saya yang bercampur baur sekarang.

``Hati saya hancur bila mengenangkan anak-anak Jackson yang sungguh bermakna buat dirinya dan keluarganya. Kematian beliau adalah satu kehilangan besar kepada semua lapisan masyarakat,’’ katanya yang pernah berkahwin dengan Jackson pada pertengahan tahun 1990-an. - Reuters

Bedah siasat Michael Jackson hari ini

Terkini
26/06/2009 12:30pm

LOS ANGELES 26 Jun - Proses bedah siasat ke atas mayat Michael Jackson akan dilakukan hari ini bagi mengetahui punca kematian Raja Pop itu.

Jackson, 50, disahkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (2.26 pagi Jumaat waktu Malaysia) selepas dikejarkan ke sebuah hospital di sini akibat kegagalan fungsi jantung.

Menurut adiknya, Jermaine, Jackson tidak sedarkan diri ketika berada di rumah dan pakar perubatan peribadinya telah cuba menyedarkan penyanyi tersebut, namun gagal.

Bintang itu kemudian dibawa ke hospital oleh pasukan paramedik, di mana sekumpulan doktor bertungkus lumus menyelamatkannya dalam masa lebih satu jam sebelum mengesahkan kematiannya. - Reuters

Dua kematian selebiti buat media kelam kabut

Terkini
26/06/2009 12:59pm

NEW YORK 26 Jun - Kematian Raja Pop, Michael Jackson yang menyusul selepas pemergian pelakon drama bersiri Charlie’s Angel, aktres Farah Fawcett, menimbulkan situasi kelam kabut di kalangan media yang membuat laporan mengenai kedua-dua selebriti itu.

Dua stesen penyiar televisyen, ABC dan NBC yang sebelum ini merancang untuk menyiarkan satu rancangan khas untuk mendiang Fawcett hari ini menangguhkannya selepas kematian Michael Jackson, yang memiliki pengaruh lebih besar dalam industri hiburan dunia. - AP

Michael Jackson meninggal dunia


Terkini
26/06/2009 10:07am

LOS ANGELES 26 Jun - Michael Jackson disahkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (2.26 pagi Jumaat waktu Malaysia) selepas jantungnya gagal berfungsi, demikian menurut para pegawai di sini.

Kematian Raja Pop itu mengejutkan dunia dan dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada para peminat dan dunia hiburan antarabangsa.

Pegawai Koroner Long Angeles, Leftenan Fred Corral memberitahu CNN bahawa Jackson, 50, disahkan meninggal dunia dua jam selepas pasukan perubatan menerima panggilan dari rumah bintang tersebut.

"Saya hanya boleh memberitahu buat masa ini kami telah dimaklumkan oleh penyiasat dari Jabatan Polis Los Angeles Barat bahawa Jackson telah dibawa ke hospital dan ketika tiba di sana, beliau tidak sedarkan diri dan kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang,'' kata Corral kepada CNN.

Katanya, bedah siasat kemungkinan akan dilakukan esok tetapi tidak menyebutkan punca kematian. - AFP

Thursday, June 25, 2009

Piala Konfederasi: AS kejutkan Sepanyol untuk ke final

Terkini
25/06/2009 8:21am

BLOEMFONTEIN, South Africa 25 Jun - Amerika Syarikat mencipta kemenangan paling bermakna dalam tempoh 60 tahun apabila berjaya menewaskan juara Eropah Sepanyol 2-0 awal pagi ini untuk mara ke final Piala Konfederasi.

Gol-gol jaringan Jozy Altidore dan Clint Dempsey telah membenam pasukan yang menduduki ranking terbaik dunia itu.

Ia turut menamatkan rekod kemenangan 15 kali dan 35 perlawanan tanpa kalah berturut-turut, satu rekod dunia yang dikongsi bersama Brazil.

Bagaimanapun, perlawanan tersebut berakhir dengan satu sedikit kecewa bagi jurulatih AS, Bob Bradley apabila anaknya Michael yang bermain di bahagian tengah diperintah keluar padang tiga minit sebelum masa tamat.

Ini menyebabkan dia terlepas peluang untuk bermain di perlawanan akhir bertemu pemenang perlawanan Brazil dan tuan rumah, Afrika Selatan. - Reuters

Warga emas dibaham buaya

SRI AMAN 24 Jun - Seorang nelayan berusia 62 tahun di sini, membuktikan pepatah 'berpantang maut sebelum ajal' apabila menumpaskan seekor buaya sepanjang tiga meter dalam pertarungan dengan haiwan reptilia itu yang cuba membahamnya.

Meskipun terpaksa bertarung beberapa minit di dalam sungai, nasib menyebelahi mangsa yang dikenali sebagai Abang Melias apabila akhirnya dia dapat melepaskan diri daripada mulut haiwan pemangsa itu.

Kejadian berlaku di Sungai Batang Lupar di sini pada pukul 7 pagi, ketika mangsa ingin menarik sampan miliknya ke tebing sungai supaya tidak dihanyutkan oleh arus deras akibat ombak pasang besar.

Menurut mangsa, dia terpaksa mengharung ke dalam sungai terbabit hingga ke paras dada untuk menarik sampan.

"Sebab leka menarik sampan ke tebing, saya tidak menyedari kehadiran reptilia itu di kawasan tempat saya berdiri di dalam sungai.

"Tiba-tiba saya berasa ada sesuatu sedang bergerak laju lalu menyerang saya dari arah belakang tanpa sempat saya berbuat sesuatu.

"Ketika itu saya terbayangkan saat-saat kematian, tiba-tiba saya mendapat kekuatan lalu bergelut dengan buaya itu beberapa minit di dalam air," katanya ketika ditemui di Hospital Sri Aman di sini hari ini.

Abang Melais berkata, buaya tersebut telah menerkam kepalanya dari arah belakang hingga menyebabkan dia dapat merasakan sebahagian kecil daging di bahagian telinga kanannya koyak.

Katanya, dengan seluruh kekuatan yang ada, dia berusaha melawan buaya selebar hampir satu meter itu daripada menariknya hingga ke bahagian tengah sungai sebelum berjaya melepaskan diri sebaik sahaja reptilia itu melepaskan kepalanya.

Tambah mangsa, selepas berjaya melepaskan diri daripada reptilia tersebut, dia bergegas naik ke kawasan tebing untuk menyelamatkan diri dan buaya tersebut hilang di dalam sungai terbabit.

Bapa kepada tujuh anak lelaki dan tiga perempuan ini mengalami kecederaan di bahagian tengkuk, lengan tangan dan telinga sebelah kanan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Desa Lingga bagi tujuan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sri Aman untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Mangsa yang tiba di Hospital Sri Aman pada pukul 10 pagi ini ditemani isterinya, Belian Bujang, 57, serta menantunya dilaporkan stabil tetapi masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian tersebut.

Warga emas dibaham buaya

SRI AMAN 24 Jun - Seorang nelayan berusia 62 tahun di sini, membuktikan pepatah 'berpantang maut sebelum ajal' apabila menumpaskan seekor buaya sepanjang tiga meter dalam pertarungan dengan haiwan reptilia itu yang cuba membahamnya.

Meskipun terpaksa bertarung beberapa minit di dalam sungai, nasib menyebelahi mangsa yang dikenali sebagai Abang Melias apabila akhirnya dia dapat melepaskan diri daripada mulut haiwan pemangsa itu.

Kejadian berlaku di Sungai Batang Lupar di sini pada pukul 7 pagi, ketika mangsa ingin menarik sampan miliknya ke tebing sungai supaya tidak dihanyutkan oleh arus deras akibat ombak pasang besar.

Menurut mangsa, dia terpaksa mengharung ke dalam sungai terbabit hingga ke paras dada untuk menarik sampan.

"Sebab leka menarik sampan ke tebing, saya tidak menyedari kehadiran reptilia itu di kawasan tempat saya berdiri di dalam sungai.

"Tiba-tiba saya berasa ada sesuatu sedang bergerak laju lalu menyerang saya dari arah belakang tanpa sempat saya berbuat sesuatu.

"Ketika itu saya terbayangkan saat-saat kematian, tiba-tiba saya mendapat kekuatan lalu bergelut dengan buaya itu beberapa minit di dalam air," katanya ketika ditemui di Hospital Sri Aman di sini hari ini.

Abang Melais berkata, buaya tersebut telah menerkam kepalanya dari arah belakang hingga menyebabkan dia dapat merasakan sebahagian kecil daging di bahagian telinga kanannya koyak.

Katanya, dengan seluruh kekuatan yang ada, dia berusaha melawan buaya selebar hampir satu meter itu daripada menariknya hingga ke bahagian tengah sungai sebelum berjaya melepaskan diri sebaik sahaja reptilia itu melepaskan kepalanya.

Tambah mangsa, selepas berjaya melepaskan diri daripada reptilia tersebut, dia bergegas naik ke kawasan tebing untuk menyelamatkan diri dan buaya tersebut hilang di dalam sungai terbabit.

Bapa kepada tujuh anak lelaki dan tiga perempuan ini mengalami kecederaan di bahagian tengkuk, lengan tangan dan telinga sebelah kanan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Desa Lingga bagi tujuan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sri Aman untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Mangsa yang tiba di Hospital Sri Aman pada pukul 10 pagi ini ditemani isterinya, Belian Bujang, 57, serta menantunya dilaporkan stabil tetapi masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian tersebut.

Tak semua pemimpin Pas tolak

KUALA LUMPUR 24 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan kerajaan perpaduan yang dicetuskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersifat kenegaraan, mempunyai kepentingan bersama dan melangkaui soal politik.

Perdana Menteri berkata, ini memandangkan idea tersebut bertujuan untuk menyatukan ummah selain memperjuangkan hak kepentingan umat Islam secara keseluruhan.

''Saya nampak kebanyakan orang Islam mempunyai pendapat yang sama dalam hal ini kerana perpaduan dan usaha-usaha untuk memperjuangkan kepentingan umat Islam merupakan suatu yang wajib diperjuangkan dan dilakukan.

''Dari satu segi lain, langkah ini juga adalah untuk kita mendapatkan barakah dalam apa jua kita lakukan. Sebab itu, jika ini yang dianjurkan agama, kita sepatut mengikutnya dan jangan biarkan soal politik mengatasi tuntutan agama,'' katanya selepas majlis perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009 di sini, hari ini.

Beliau mengulas kekecewaan dan kekesalan ahli akademik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) apabila kerajaan perpaduan yang dicadangkan demi perpaduan orang Melayu akhirnya terkubur begitu sahaja.

Reaksi mereka itu merupakan rentetan daripada tindakan keputusan majlis pimpinan pakatan pembangkang kelmarin yang menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Mereka menyifatkan idea itu sebagai suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan pakatan pembangkang.

Dalam pada itu Najib meminta masyarakat bukan Melayu supaya tidak bimbang dengan idea tersebut kerana hak mereka tetap akan dilindungi sekiranya wujud kerajaan perpaduan.

''Sekiranya kita ada kerajaan perpaduan tidak bererti kita tolak bukan Islam. Masyarakat bukan Islam tetap berperanan di dalam kerajaan dan kepentingan mereka sentiasa dilindungi oleh kerajaan,'' katanya.

Menjawab satu soalan lain, Najib percaya suara penolakan kerajaan perpaduan di dalam Pas bukannya mewakili keseluruhan pemimpin di dalam parti itu.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah pandangan daripada kelompok tertentu di dalam parti berkenaan.

''Dalam Pas pun ada pelbagai pendapat dan tidak semestinya pendapat tersebut (tolak kerajaan perpaduan) merupakan pendapat semua pucuk pimpinan Pas, sebab ada yang setuju dan ada yang tidak.

''Kita tidak boleh kata ini pendapat keseluruhan pucuk pimpinan. Mungkin pendapat ini datang daripada satu dua pemimpin sahaja,'' katanya lagi.

Friday, June 19, 2009

Korea Utara layak, Iran putih mata

SYDNEY - Korea Utara bakal beraksi buat kali pertama di Piala Dunia sejak 44 tahun, selepas memperoleh satu mata berharga yang diperlukan untuk ke pusingan akhir di Afrika Selatan 2010.

Pemain Korea Utara beraksi mantap untuk mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Arab Saudi di Riyadh, semalam.

Keputusan tersebut cukup untuk membolehkan negara itu menduduki tempat kedua Kumpulan 2 dan menyertai pendahulu, Korea Selatan layak secara automatik ke Piala Dunia 2010.

Ia merupakan kali pertama buat kedua-dua negara Korea terlibat sama di kejohanan berprestij itu.

Korea Utara yang membuat penampilan pertama di Piala Dunia pada 1966 di England menjadi perintis buat negara Asia ke pusingan seterusnya apabila berjaya ke suku akhir ketika itu.

Sementara itu, suasana berbeza di Iran berbanding sambutan penuh meriah di Pyongyang.

Iran melepaskan peluang beraksi di pusingan akhir Piala Dunia 2010 selepas mencatat keputusan seri 1-1 di Seoul.

Jaguh bola sepak Asia itu seharusnya mencatat kemenangan pada pertemuan tersebut bagi melangkah ke persaingan akhir di Afrika Selatan.

Dalam pada itu, Arab Saudi harus menumpaskan Bahrain untuk menduduki tempat ketiga dalam satu perlawanan playoff kategori Asia dan kemudiannya bertemu juara Oceania, New Zealand jika pasukan itu berjaya melangkah kali kelima berturut-turut ke Piala Dunia tahun depan.

Bahrain layak untuk beraksi di perlawanan playoff Asia September ini apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Uzbekistan di Manama.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan Bahrain menduduki tempat ketiga bagi persaingan Kumpulan Satu di belakang Australia dan Jepun.

Sementara itu, gol semangat jaringan daripada pemain tengah Everton, Tim Cahill membantu Australia bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Jepun 2-1 di Melbourne.

Keputusan tersebut membolehkan Australia mengakhiri saingan kumpulan dengan mencatat rekod tanpa kalah dan mendahului dengan lima mata.

Masih peringkat cadangan



Oleh FAUZI JAAFAR
utusansarawak@utusan.com.my


SERIAN 18 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan pembinaan jambatan ketiga bagi menghubungkan Malaysia dan Singapura masih di peringkat cadangan.

Beliau berkata, kerajaan akan membuat kajian kesesuaian terlebih dahulu sama ada jambatan tersebut menguntungkan atau tidak jika mahu dilaksanakan.

"Sebenarnya ini (jambatan ketiga) bukan keputusan muktamad lagi, ini peringkat cadangan dan kita akan ambil langkah buat kajian dulu.

"Jadi ada masa untuk kita runding dengan Tuanku dan kerajaan negeri sekiranya projek ini menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan ketiga tersebut.

Titah baginda itu disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail pada perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Najib pada sidang akhbar di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Pichin di sini berkata, kerajaan belum melantik mana-mana pihak untuk membuat kajian kesesuaian projek tersebut.

"Kita belum melantik mana-mana pihak membuat kajian (kesesuaian jambatan ketiga), kita kena berunding dengan Singapura," katanya.

Najib ketika mengadakan lawatan dua hari ke Singapura Mei lalu mengumumkan cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambatan baru bagi menghubungkan Johor ke republik berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, selain kemudahan awam, pembinaan jambatan itu juga mampu membangunkan kawasan timur Johor seperti Desaru dan Mersing hingga ke Kuantan di Pahang dan Terengganu.

Sementara itu Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang bertemu Najib baru-baru ini telah menyuarakan keinginan republik itu yang sepakat dengan Malaysia untuk membina jambatan berkenaan.

Friday, June 12, 2009

RM461 juta untuk Ronaldo


MANCHESTER, England - Manchester United bersetuju menjual Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia sebanyak 96 juta euro atau 80 juta pound (RM461.5 juta), kata kelab itu semalam.

''Manchester United menerima tawaran perpindahan rekod dunia, tawaran tanpa syarat 80 juta pound untuk Cristiano Ronaldo dari Real Madrid,'' kata kenyataan kelab itu dalam laman webnya di bawah tajuk 'Reds terima bidaan £80 juta untuk Ronaldo.'

Tambah kenyataan tersebut: ''Atas permintaan Cristiano - yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab ini - dan selepas berbincang dengan wakil pemain itu, United telah bersetuju memberi kebenaran kepada Real Madrid berbincang dengan pemain itu.

''Semuanya ini dijangka akan dimuktamadkan menjelang 30 Jun. Kelab tidak akan memberi ulasan sehingga notis selanjutnya.''

Ronaldo sudah lama menjadi buruan kelab gergasi Sepanyol itu, terutama selepas presiden kelab itu Florentino Perez awal minggu ini berjanji untuk melakukan 'apa saja yang terdaya' untuk membawa pemain berusia 24 tahun itu ke Bernabeu.

Laporan perpindahan Ronaldo menjelma beberapa hari selepas Real membelanjakan 56 juta pound (RM323.5 juta) untuk perpindahan tonggak Brazil, Kaka dari kelab Itali AC Milan, ketika kelab itu mahu menyaingi musuh ketat Barcelona dalam liga domestik, juga Manchester United dan Chelsea dalam kempen Liga Juara-Juara.


Sebelum ini penyokong United telah berulang kali dimaklumkan bahawa tiada perbincangan dipersetujui mengenai penjualan Pemain Terbaik Dunia FIFA itu.

Real Madrid semalam turut mengesahkan mereka telah menawarkan bidaan untuk mendapatkan khidmat Ronaldo daripada Manchester United.

"Real Madrid mengesahkan telah melakukan tawaran kepada Manchester United untuk mendapatkan hak terhadap pemain, Cristiano Ronaldo. Kelab berharap untuk mencapai satu kata sepakat dengan pemain itu beberapa hari lagi," kata gergasi Sepanyol itu pada laman web mereka.

Dalam pada itu, laporan di England menyebut Ronaldo, yang kini bercuti di Los Angeles, pada awal tahun ini telah bersetuju dengan syarat pra kontrak bersama kelab Sepanyol itu dengan bayaran 8.3 juta pound (RM48 juta) setahun untuk tempoh lima tahun berikutnya.

Ronaldo berminat untuk menyertai Real selama 18 bulan sehingga bos United, Sir Alex Ferguson terpaksa membuat rayuan saat akhir bagi memujuk pemain itu supaya kekal di Old Trafford tahun lalu.

Bekas bintang Sporting Lisbon itu yang menyertai United dengan bayaran 12 juta pound (RM69.3 juta) pada 2003, jelas mahukan cabaran baru selepas memenangi Liga Juara-Juara pada 2008. - AFP

Thursday, June 11, 2009

Emirates gembira taja Arsenal


KUALA LUMPUR - Emirates Airlines gembira dengan perjanjian penajaan Arsenalnya selagi pasukan bola sepak Liga Perdana itu menduduki antara 10 pasukan teratas, kata presiden syarikat itu.

"Kami tidak berharap mereka memenangi Liga Juara-Juara atau Liga Perdana. Asalkan mereka berkesudahan dalam separuh teratas," kata Tim Clarke kelmarin.

Arsenal yang menandatangani satu perjanjian 15 tahun bernilai 100 juta pound (RM574 juta) dengan Emirates pada Oktober 2004, tidak memenangi sebuah piala sejak mereka menjulang Piala FA pada 2005.

Gelaran liga terakhir mereka tiba pada 2004 dan pasukan pengurus Arsene Wenger itu menduduki tempat keempat musim ini, ketinggalan jauh 18 mata daripada juara Manchester United.

Pasukan utara London itu yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara penggal ini, perlu layak bagi satu tempat dalam peringkat kumpulan persaingan yang menghasilkan keuntungan ini musim depan.

Perjanjian Emirates termasuk penajaan jersi dan hak penamaan stadium yang dibuka pada musim 2006/07.

Ditanya jika penerbangan Dubai itu turut menimbangkan penajaan sebuah lagi pasukan bola sepak, kata Clarke: "Kita tunggu dan lihat."

Keuntungan penerbangan terjejas ekoran satu kemerosotan dalam permintaan bagi perjalanan dan tambang udara di tengah-tengah krisis kewangan tetapi Emirates masih mahu berkembang dengan pesanan pesawat bernilai $55 bilion (RM192.20 bilion). - REUTERS

'Mascherano bukan untuk dijual'


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez berkata, mereka tidak akan menjual Javier Mascherano, walaupun didakwa oleh ejen pemain tengah tersebut bahawa dia berminat untuk berpindah ke Barcelona.

"Mascherano tidak mempunyai sebarang harga untuk dibeli.

"Barcelona tidak mampu membeli setanding nilainya dari Liverpool. Kami tidak mahu menjualnya dan Javier sangat gembira di sini.

"Saya telah bercakap dengan Javier dua atau tiga kali pada musim panas ini, kali terakhir pada minggu lepas dan dia sangat gembira, sangat positif.

"Dia memberikan saya nombor peribadi ejennya, Walter Tamer dan sekali lagi perbualan tersebut sangat positif dan semuanya mengenai bola sepak," kata Benitez dalam laman web www.liverpoolfc.tv.

Sebelum ini, Tamer memberi kenyataannya kepada media Britian dengan berkata, ketua pasukan Argentina itu merupakan pemain tengah terbaik dalam bola sepak dunia dan begitu berbangga selepas Barca berminat dengannya serta berpendapat perpindahan itu sangat munasabah.

Namun Benitez mendakwa dia telah menjelaskan segalanya bahawa Liverpool tidak akan menjual pemain yang sangat penting untuk pasukan.

"Walter memberitahu saya dua pasukan gergasi berminat untuk mendapatkan Mascherano dan saya memberitahu supaya melupakannya, Javier sudah gembira di Liverpool dan bukan untuk dijual.

"Jadi saya begitu terkejut melihat komen ejen tersebut.

"Dia mempunyai kontrak yang lama dan pasukan lain boleh melupakan untuk membidanya. Mereka boleh menawarkan sebanyak 40 juta pound (RM140 juta) atau 50 juta pound (RM175 juta), kami tidak akan menjualnya," kata pengurus The Reds itu.

Terdapat spekulasi bahawa Benitez terpaksa menjual beberapa pemain utama musim panas ini kerana kedudukan kewangan yang semakin meruncing buat pemilik kelab dari Amerika Syarikat, yang perlu membuat pembayaran hutang sebanyak 350 juta pound (RM1.2 bilion) sebelum 24 Julai depan.

Bagaimanapun pengurus dari Sepanyol itu hanya akan menjual pemain bukan utama jika dia tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan.

Seorang lagi penyerang dan pemain pertahanan kanan merupakan sasaran utama kelab tersebut termasuk pemain Valencia, David Silva. - AFP

Friday, June 5, 2009

Milan perlu jual Kaka, Chelsea tidak berminat


MILAN - Presiden AC Milan, Silvio Berlusconi dan pengerusinya, Adriano Galliani mengakui, gergasi bola sepak Itali itu terpaksa menjual Kaka untuk menyelesaikan masalah kewangan serta hutang kelab itu.

"Milan mempunyai imbangan kewangan yang sukar dibayangkan dengan mengalami kerugian 50-60 juta euro (RM247-RM295 juta) setahun.

"Kali ini, kami tidak mampu lagi menanggung kerugian,'' kata Berlusconi, yang juga Perdana Menteri Itali.

Berlusconi dalam temuramah dengan stesen Telelombardia TV turut mengakui, Milan sebenarnya mahu mengekalkan Kaka, namun mereka juga hanya mahukan pemain yang benar-benar berminat dengan AC Milan."

"Kaka merupakan orang muda yang amat luar biasa, tetapi jika memikirkan kariernya yang singkat memang wajar baginya untuk memikirkan tentang faktor kewangan.

"Jika kami menaikkan gaji Kaka, maka gaji keseluruhan pemain dalam pasukan ini juga perlu dinaikkan dan Milan tidak punya kemampuan untuk melakukannya,'' kata Berlusconi.

Gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid hampir pasti menjadi destinasi baru Kaka selepas pesaing utama mereka, Chelsea semalam menafikan cuba mengatasi tawaran 65 juta euro (RM322 juta) yang dikemukakan Real.

Akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport dan Corriere dello Sport melaporkan Galliani berada di Madrid, Selasa lalu untuk bertemu bapa dan pengurus Kaka, Bosco Leite bagi menyelesaikan urusan perjanjian.

Selepas empat jam berunding dengan presiden Real, Florentino Perez, persetujuan dicapai dan Kaka ditawarkan gaji 9.5 juta euro (RM47 juta) setahun untuk lima musim, lapor akhbar Gazzetta lagi.

Namun, beberapa jam kemudian, akhbar-akhbar di Britain pula melaporkan bahawa Chelsea mahu mengatasi tawaran Real dan menawarkan 73.5 juta pound (417.65 juta) kepada Milan, manakala Kaka ditawarkan gaji 10 juta pound (RM57 juta) setahun.

Chelsea, yang baru mengikat kontrak dengan bekas jurulatih Milan, Carlo Ancelotti bagaimanapun menafikan laporan itu dan menegaskan mereka tidak pernah membuat tawaran kepada Milan untuk membeli Kaka, sambil menyifatkan semua laporan tidak benar.

Kenyataan Chelsea itu disambut gembira oleh Perez, yang menganggap Real kini hanya menunggu masa untuk membawa masuk Kaka dan memulakan pembentukan era kedua galactico. Namun, dia mengakui belum ada wang yang berpindah tangan setakat ini.

"Kenyataan Chelsea itu memberi kelebihan kepada kami. Jika mereka tidak bersaing, maka sudah tentu kami punya peluang lebih cerah. Lagi pun, kami mempunyai hubungan baik dengan Milan.. ia memudahkan sebarang perjanjian dilakukan, dan lebih penting lagi pemain itu sendiri berminat untuk beraksi di sini,'' kata Perez kepada stesen tv Sepanyol, Antena TV.

Semalam, kira-kira 30 penyokong Milan berhimpun di luar pejabat kelab Serie A itu bagi membantah perpindahan Kaka, situasi yang sama ketika pemain itu dikaitkan dengan Manchester City, Januari lalu.

Kaka kini berada di Brazil untuk menyertai skuad kebangsaan negaranya menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Konfederasi.

Sebelum berlepas pulang, perancang utama Brazil itu menegaskan, dia gembira berada di Milan. - AP

Rakyat Sarawak gusar dengan caj Kastam Brunei

Terkini
05/06/2009 10:24am

MIRI 5 Jun — Operator pengangkutan barangan dan pengunjung tempatan merasa terkilan dengan apa yang mereka sifatkan sebagai caj perkhidmatan yang tinggi yang dikenakan oleh Kastam dan Eksais Diraja Brunei Darussalam ke atas barangan yang mereka bawa melalui sempadan negara itu untuk ke Limbang.

Caj sebanyak B$25 atau kira-kira RM60 dikatakan dikenakan ke atas barang kawalan yang dibawa dengan kenderaan persendirian dan B$100 atau kira-kira RM242 bagi barangan kawalan yang dibawa dengan kenderaan perdagangan, semasa melalui pusat pemeriksaan di sempadan Malaysia-Brunei sejak 1 April lalu.

Limbang yang merupakan bahagian paling utara di Sarawak, hanya boleh disampai menerusi jalan darat dari mana-mana kawasan di Sarawak atau Sabah, melalui Brunei.

Menurut Persatuan Pemilik Lori Miri, ekoran caj tersebut, mereka terpaksa membayar hampir RM500 bagi mambawa muatan untuk ke Lawas, daerah paling utara di Limbang.

Naib pengerusi persatuan tersebut, Kong Min Seng memberitahu Bernama, hampir kesemua barangan kawalan yang ditetapkan oleh Brunei, merupakan barangan keperluan harian untuk penduduk seperti minyak masak, beras, telur malah surat khabar.

Kong berkata pihaknya telah berdialog dengan kastam Brunei mengenai perkara itu, namun sehingga kini caj tersebut masih juga dikenakan. - Bernama

Aon penaja baru jersi Manchester United

LONDON - Manchester United semalam mengumumkan syarikat broker insurans yang berpengkalan di Chicago, Amerika Syarikat, Aon Corporation menjadi penaja jersi mereka selama empat tahun.

Logo Aon akan menghiasi jersi merah United selama empat tahun bermula daripada musim 2010-11, menggantikan syarikat insurans Amerika, AIG.

Juara Liga Perdana England itu tidak mendedahkan jumlah sebenar penajaan, namun akhbar-akhbar Britain melaporkan ia bernilai 80 juta pound untuk tempoh empat tahun.

Jika laporan tersebut benar, maka jumlah itu adalah 40 peratus lebih banyak daripada yang dibayar oleh AIG dan 17 peratus lebih banyak daripada yang diterima oleh gergasi bola sepak Jerman, Bayern Munich dengan memiliki syarikat telefon, T-Home sebagai penaja jersi mereka.

"Pengumuman hari ini jelas mengukuhkan lagi posisi kami sebagai salah satu kelab terbesar dalam bola sepak dunia,'' kata Ketua Eksekutif United, Davil Gill.

Pada sidang akhbar menerima telefon semalam, Ketua Eksekutif Aon, Greg Case enggan mengulas mengenai terma perjanjian.

United, yang mendominasi bola sepak England sejak 16 tahun lalu, menyamai rekod Liverpool dengan memiliki 18 kejuaraan Liga Perdana.

Malah, kejayaan merangkul kejuaraan elit Liga Juara-Juara Eropah dua kali dalam tempoh sedekad turut menjadikan nilai kelab itu kini mencecah AS$1.8 bilion (RM6.3 bilion), menurut Forbes Magazine.

Kelab England itu menanggung beban hutang yang besar ketika dibeli oleh jutawan Amerika, Malcolm Glazer pada 2005, namun ia tetap medium yang menarik penaja untuk membawa jenama mereka ke seluruh dunia.

AIG menerima jaminan daripada kerajaan Amerika Syarikat pada September lalu, dan empat bulan kemudian mereka mengumumkan untuk tidak menyambung perjanjian empat tahun dengan United yang akan berakhir musim depan.

United bagaimanapun masih perlu memakai jersi dengan logo AIG sehingga Mei, 2010. - AP

Thursday, June 4, 2009

Ancelotti mampu beri masalah – Gerrard


LONDON – Steven Gerrard percaya, usaha Liverpool untuk merangkul kejuaraan bola sepak Liga Perdana England buat kali pertama selepas 20 tahun bertambah sukar dengan Carlo Ancelotti kini menjadi pengurus baru Chelsea.

“Ia merupakan pelantikan yang bagus untuk Chelsea tetapi saya tidak pasti sama ada ia juga bagus untuk Liverpool.

“Saya percaya pemain-pemain Chelsea pasti sangat teruja. Kalau anda lihat di seluruh dunia ada ramai pengurus yang bagus, dan Ancelotti adalah salah seorang daripadanya,’’ kata Gerrard, yang bertemu jurulatih dari Itali itu dua kali ketika Liverpool menentang AC Milan dalam dua final Liga Juara-Juara Eropah pada 2005 dan 2007.

Chelsea berharap kehadiran Ancelotti mampu membina kestabilan dalam pasukan itu selepas bertukar lima pengurus dalam tempoh kurang dua tahun.

Musim lalu, Liverpool berjaya mengalahkan Chelsea dalam kedua-dua perlawanan Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 19 tahun.

Namun, pasukan Reds itu gagal menghalang Manchester United daripada mempertahankan kejuaraan liga buat kali ketiga berturut-turut, biar pun turut menewaskan skuad bimbingan Sir Alex Ferguson itu dalam kedua-dua perlawanan liga.

Kali terakhir Liverpool menjulang gelaran Liga Perdana adalah pada 1990, dan Gerrard percaya usaha untuk menamatkan kemarau panjang itu tidak mudah dengan kehadiran Ancelotti.

Liverpool mengalahkan Milan menerusi penentuan sepakan penalti selepas bangkit daripada ketinggalan 3-0 pada final Liga Juara-Juara Eropah 2005 untuk menyamakan kedudukan 3-3.

“Dalam dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara, pasukannya (Milan) sangat tersusun dan saya sedar dia (Ancelotti) mempunyai kemampuan menukar formasi dan impak individu pada bila-bila masa.

“Jika anda tengok persembahan AC Milan pada separuh masa pertama ketika menentang kami di Istanbul, ia memang menyesakkan,’’ kata Gerrard, mengenai final Liga Juara-Juara 2005. – AP

Wednesday, June 3, 2009

Valdano tidak tahu perjanjian Ronaldo


MADRID - Ketua Pengarah baru Real Madrid, Jorge Valdano berkata, dia tidak tahu menahu sebarang perjanjian untuk mendapatkan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo (gambar) daripada Manchester United.

Media Sepanyol sebelum ini heboh melaporkan bahawa bekas Presiden Real, Ramon Calderon telah bersetuju dengan pra perjanjian untuk mendapatkan Pemain Terbaik Dunia itu, tetapi ia dinafikan oleh kelab.

Valdano yang dibawa masuk dalam pengurusan baru Real sejurus Florentino Perez dilantik sebagai presiden kelmarin, memberitahu radio Cadena Ser bahawa dia tidak tahu menahu mengenai Ronaldo.

"Saya masih tidak tahu, malah saya juga tidak tahu sama ada Florentino yang akan datang ke Bernabeu petang ini telah menemui pemain-pemain lain yang akan tamat kontrak tidak lama lagi.

"Saya masih tidak melihatnya,'' kata Valdano, yang juga merupakan bekas jurulatih Real.

Perez, yang menerajui Real Madrid buat kali kedua berjanji akan melakukan projek terhebat dengan dikelilingi pemain-pemain terbaik dunia.

Langkah pertamanya bermula dengan melantik Manuel Pellegrini sebagai jurulatih selepas membayar pampasan kepada Villarreal.

Malah, dia juga melantik bekas pemain antarabangsa Perancis dan Real, Zinedine Zidane sebagai penasihat presiden. - Reuters

Terry tagih impian besar daripada Ancelotti


LONDON - Ketua pasukan Chelsea, John Terry mengakui tugas pertama Carlo Ancelotti di Stamford Bridge memastikan Blues sebagai pesaing utama Liga Perdana England musim depan.

Ancelotti kelmarin menandatangani perjanjian tiga tahun yang bernilai 6.5 juta pound (RM37.2 juta) setahun bagi menggantikan tempat Guus Hiddink sebagai pengurus kelab barat London tersebut.

Pengendali dari Itali itu menjadi sasaran pemilik Chelsea, Roman Abramovich kerana latar belakangnya yang mempunyai kejayaan memberangsangkan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah.

Ancelotti mempunyai rekod ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali ketika membimbing AC Milan dan dua daripada penyertaan itu berakhir dengan kemenangan.

Malah, dia juga pernah merasai nikmat kejuaraan kejohanan Eropah tersebut ketika menjadi pemain Milan suatu ketika dahulu.

Namun begitu, pemain pertahanan England, Terry lebih memberi tumpuan kepada prestasi cemerlang Chelsea di peringkat liga tempatan, selepas Blues menamatkan musim ini di luar daripada dua pasukan terbaik buat kali pertama sejak kelab itu dibeli Abramovich pada 2003.

Hiddink meninggalkan Chelsea dengan merangkul Piala FA, Sabtu lalu.

Malah, Ancelotti berkeyakinan bahawa kelab itu mampu mengakhiri kejayaan tiga tahun berturut-turut Manchester United muncul sebagai juara Liga Perdana England.

Terry yang begitu yakin bahawa Chelsea akan mengakhiri kemarau gelaran tersebut berharap agar Ancelotti adalah seorang pengendali yang mampu membawa kembali gelaran tersebut ke Stamford Bridge.

Dalam satu surat terbuka kepada peminat setia Chelsea, Terry berkata: "Dia (Hiddink) hadir pada masa yang sukar apabila banyak perkara seolah-olah terlepas daripada kami.

"Oleh yang demikian, membimbing pasukan ini ke perlawanan akhir Piala FA dan berada begitu hampir ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara adalah satu pencapaian yang hebat.

"Malah, ada yang menyatakan bahawa kedudukan tiga terbaik liga adalah satu pencapaian yang belum cukup bagus buat Chelsea.

"Ia merupakan kesudahan paling buruk buat kelab ini sejak dibeli oleh Abramovich. Kami tahu bahawa pasukan ini boleh melakukan yang lebih baik daripada mencapai keputusan ini.

"Ia menjadi satu perkara yang menarik untuk menjuarai Piala FA. Namun begitu, kami mahu lebih daripada itu. Itulah perkara yang sangat diperlukan oleh kelab ini pada masa ini.

"Pemain akan bergembira pada musim cuti ini dan kembali untuk menghadapi pramusim dengan keazaman tinggi. Apa yang pastinya, kelab ini memandang ke hadapan untuk memperoleh kejayaan hebat bersama pengurus, Carlo Ancelotti.'' - AFP

Kaka masih setia bersama Milan


MILAN - Bintang bola sepak Brazil, Kaka mengulangi pendiriannya untuk kekal bersama AC Milan dan merayu semua pihak agar menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan Chelsea.

"Saya mahu memberitahu kepada jutaan peminat AC Milan bahawa saya sudah pun membuat pilihan saya.

"Sudah banyak kali menyatakan bahawa saya mahu kekal di sini (Milan), jadi sekarang tolong biarkan saya sendirian.

"Tolong tulis apa yang saya kata ini, saya mahu kekal bersama AC Milan dan bermula dari hari ini, isu sudah berakhir,'' kata Kaka kepada akhbar La Gazzetta dello Sport, semalam.

Media Sepanyol, kelmarin melaporkan bahawa perancang utama Brazil itu menjadi sasaran baru juara Eropah sembilan kali, Real Madrid.

Sementara media England pula heboh memperkatakan mengenai masa depan bekas Pemain Terbaik Dunia itu yang dikatakan mahu mengikuti jejak bekas jurulatih AC Milan, Carlo Ancelotti berhijrah ke Chelsea.

"Saya akan berkata buat kali terakhir, ini yang terakhir. Saya tidak mahu meninggalkan Milan,'' tegas Kaka lagi. - AP

Cucu perempuan Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia

Terkini
03/06/2009 2:12pm

KUALA LUMPUR 2 Jun - Cucu perempuan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam, kerana terjatuh ke dalam sebuah kolam, meninggal dunia hari ini.

Celestia Lulua Taib, 4, meninggal dunia di wad pediatrik di hospital itu pada pukul 8.20 pagi dan mayatnya dituntut oleh ahli keluarganya tiga jam selepas itu.

Allahyarham yang merupakan anak saudara kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mahmud Abu Bikir Taib dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mont Kiara. - Utusan

Tuesday, June 2, 2009

Ancelotti akhirnya kembali ke Chelsea


LONDON - Carlo Ancelotti berikrar untuk memenuhi harapan pemilik Chelsea, Roman Abramovich yang begitu dahagakan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah sebaik diumumkan sebagai pengurus baru kelab gergasi England itu, semalam.

Selepas 24 jam melepaskan jawatannya sebagai jurulatih di AC Milan, Ancelotti terus menandatangani kontrak tiga tahun bersama Chelsea yang menawarkan gaji 6.5 juta pound setahun.


Bagaimanapun Ancelotti yang dijadual memulakan tugasnya hanya pada 1 Julai ini, mengakui akan tekanan yang bakal dihadapinya dalam memenuhi cita-cita Abramovich itu.

"Sebenarnya tekanan itu sama saja ketika saya mengemudikan Milan kerana status kedua-dua kelab tidak jauh bezanya.

"Memang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sesuatu yang indah kerana saya pernah melaluinya sebagai pemain pada 1989 dan 1990.

"Malah, ketika menjadi jurulatih juga, ia ternyata menakjubkan. Semua orang mahu memenanginya kerana ia adalah pertandingan yang terbaik di dunia.

"Tidak terkecuali Chelsea yang sudah pun mempunyai rekod hebat, lima kali layak ke separuh akhir dalam tempoh enam tahun.

"Jadi sudah tiba masanya, kami perlu menjuarainya," katanya yang pernah membimbing Juventus dan Parma tetapi ini kali pertama berhijrah ke England.

Berbekalkan pengalaman dan rekod kejayaan di liga terbesar Eropah itu, Ancelotti yang pantas menggantikan Guus Hiddink dianggap pilihan terbaik untuk Chelsea mengakhiri kemarau tersebut.

Ancelotti pernah mengemudi Milan muncul juara pada 2003 menewaskan Juventus dan 2007 menewaskan Liverpool di samping muncul naib juara pada 2005.

Jika itu dianggap masih tidak cukup, Ancelotti punya satu lagi rekod yang boleh dibanggakan iaitu pernah menjuarai Piala Eropah ketika beraksi dengan Milan.

Di pihak Abramovich, sejak membeli Chelsea pada 2003, rezekinya untuk merangkul kejuaraan Eropah itu masih tidak kunjung tiba.

Pada perlawanan akhir 2008, mereka tewas kepada Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti.

Malah, sebelum itu, mereka juga pernah tewas di separuh akhir kepada Monaco, Liverpool dua kali dan Barcelona pada musim ini. - AFP