LONDON 10 Nov. - Penyerang Manchester City, Mario Balotelli gagal dalam usahanya membatalkan hukuman digantung tiga perlawanan selepas dibuang padang ketika menentang West Brom pada perlawanan Liga Perdana hujung minggu lalu.
Persatuan Bola Sepak England (FA) mendapati berlaku kekasaran oleh Balotelli, pemain yang menjaringkan kedua-dua gol ketika menang 2-0 pada perlawanan itu, ketika dia bertembung dengan Youssouf Mulumbu.
FA dalam satu kenyataan berkata: “Suruhanjaya Kawal Selia yang mendengar permohonan hari ini mendapati bahawa hukuman itu adalah jelas kerana tindakan keterlaluan Mario Balotelli.
“Akibatnya, Balotelli digantung tiga perlawanan berkuat kuasa serta-merta.”
Keputusan tersebut bermakna pemain Itali berusia 20 tahun itu bukan sahaja tidak dapat beraksi menentang Manchester United Rabu ini malahan juga Birmingham dan Fulham di tempat lawan. - AFP