Tuesday, February 9, 2010

Dr. Mahathir gembira, senang hati kepimpinan Najib

Terkini

09/02/2010 12:30pm

KULIM 9 Feb. – Bekas Perdana, Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abduk Razak kerana mempraktikkan ciri-ciri pentadbiran yang memenuhi kehendak serta kepentingan rakyat dan negara.

"Saya telah beberapa kali menemui Najib sejak beliau mengambil alih kepimpinan negara dan merasa senang dengan cara beliau mentadbir sehingga kini,” katanya ketika berucap pada program Mesra Rakyat anjuran bersama UMNO Bahagian Padang Serai dan Yayasan Pembangunan Insan Pulau Pinang di sini malam tadi.

Beliau berharap Najib akan meneruskan tradisi bekerja dan berjasa kepada rakyat. – Bernama

Zambry berazam meneruskan tugas demi rakyat Perak

Terkini

09/02/2010 2:02pm

PUTRAJAYA 9 Feb. - Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir melahirkan kesyukuran kepada Allah di atas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, yang mengisytiharkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Perak adalah sah mengikut Perlembagaan.

Justeru, beliau berazam untuk meneruskan tugas dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat Perak.

Beliau juga berharap segala episod pergolakan politik di negeri itu akan berakhir dan rakyat dapat kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik.

“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak berhenti berdoa untuk keadilan dan kesejahteraan negeri Perak.

“Sebagai insan saya merasai akan kekerdilan diri saya dan ia memberikan kesedaran untuk saya melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya kepada rakyat negeri Perak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Utusan

Monday, February 1, 2010

Mahkamah rayuan penentu kedudukan ADUN Kota Siputeh

Terkini

01/02/2010 3:54pm

JITRA 1 Feb. - Persoalan sama ada Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hassan Sarip kekal sebagai wakil rakyat atau terpaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh dijangka diketahui dalam tempoh terdekat ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan bagi menyelesaikan kemelut mengenai status kerusi DUN Kota Siputeh itu sama ada ia dikekalkan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) atau terpaksa memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

“Kita sedang menunggu keputusan Mahkamah Rayuan ini setelah panel hakim meneliti laporan bertulis penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi,” kata beliau ketika dihubungi Bernama. - Bernama

Sarawak dapat RM3.4 bilion di bawah NKRA

Terkini

01/02/2010 2:20pm

SIBU 1 Feb. - Sarawak akan menerima RM1.7 bilion untuk membina dan menaik taraf jalan raya dan sebanyak RM1.7 bilion lagi untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata negeri itu juga akan mendapat RM9 juta untuk melaksanakan projek bagi bekalan air dirawat.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan bagi kawasan Lanang yang disampaikan oleh anggota Parlimen kawasan itu Datuk Tiong Thai King, di sini malam tadi, katanya negeri itu juga akan mendapat RM100 juta bagi projek perumahan.

Mohd Shafie menjelaskan kosnya 10 kali lebih mahal bagi pelaksanaan projek infrastruktur di Sarawak berbanding di semenanjung berikutan keadaan muka bumi yang sukar dan tanah lembut di banyak tempat.

"Sebagai contoh, dalam pembinaan jalan raya, kontraktor perlu mengatasi masalah tanah lembut di banyak tempat. Mereka perlu memasang cerucuk bagi mengukuhkan jalan. Mereka perlu menghantar alat jentera dan bahan binaan di jarak yang jauh dengan muka bumi yang sukar, yang menyebabkan kos meningkat,” katanya. - Bernama

United belasah Arsenal; Adebayor gegar


LONDON: Penyerang England, Wayne Rooney merakamkan jaringan ke-100 kerjayanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menyumbat gol kedua membantu Manchester United membenam Arsenal 3-1 di Stadium Emirates, malam tadi.

Pemain berusia 24 tahun itu yang berada dalam prestasi memuncak ketika ini sudah menyumbat 22 gol dalam semua kejohanan musim ini dan membuat ketiadaan Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Real Madrid kurang dirasai.

United yang mengutip 53 mata - satu di belakang pendahulu, Chelsea membuka tirai jaringan menerusi Nani minit ke-33 sebelum Rooney menggandakan jaringan pada minit ke-37 sebelum Park Ji-sung mengesahkan tiga mata milik United dengan gol minit ke-52.

Gol sagu hati Arsenal disumbang oleh Thomas Vermaelen minit ke-80.

Sementara itu, Emmanuel Adebayor menandakan kepulangannya ke EPL selepas tragedi ngeri di Piala Negara-Negara Afrika dengan gol pertama ketika membantu Manchester City menewaskan Portsmouth 2-0 di Eastlands, malam tadi.

Adebayor yang terselamat dalam tragedi serang hendap ke atas bas pasukan Togo yang mengorbankan dua anggota pasukan sebelum kejohanan bermula, kelihatan ofsaid sebelum merembat masuk melepasi penjaga gol, David James pada minit ke-39.

Vincent Kompany menggandakan jaringan untuk kedudukan 2-0 sebaik tamat separuh masa ke atas pasukan tercorot yang dibelenggu masalah kewangan itu. - Reuters

Friday, January 29, 2010

Rooney bawa United ke akhir

MANCHESTER, England - Sir Alex Ferguson memuji aksi 'berkelas dunia' Wayne Rooney, selepas penyerang itu menjaringkan gol pada masa kecederaan, kelmarin yang membawa Manchester United ke final Piala Liga menentang Aston Villa.

Tandukan Rooney memastikan kemenangan 3-1 United ke atas Manchester City pada perlawanan di Old Trafford dan mara ke final dengan agregat 4-3.

Ini bermakna United, mencatat rekod mara ke final kejohanan tersebut kali ketujuh, di bawah jurulatih dari Scotland itu.

Seperti mana perlawanan separuh akhir pertama, aksi kelmarin juga tidak menentu, di tengah-tengah beberapa isu yang masih berpanjangan, dan United mungkin berdepan siasatan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas penyerang City, Craig Bellamy terkena balingan objek ketika mahu melakukan sepakan sudut.

Rooney, yang menjaringkan gol ke-21 setakat ini, meneruskan sentuhan berbisa, selepas dia meledak empat gol ketika United menang ke atas Hull pada perlawanan Liga Perdana, hujung minggu lalu.

Ferguson menyanjung pemain utama kelabnya, Rooney.

"Prestasi Wayne jauh lebih baik berbanding perlawanan Sabtu lalu, di mana dia meledak empat gol ketika menentang Hull.

"Kawalan bola, kemaraan dan cara dia menembusi kubu lawan, tidak syak lagi amat menakjubkan hari ini.

''Ia prestasi yang menakjubkan, benar-benar prestasi kelas dunia,'' kata Ferguson.

Pada perlawanan bersejarah di Trafford itu sarat dengan pelbagai suasana, rentetan daripada kehangatan aksi separuh akhir pertama, jaringan Paul Scholes dan Michael Carrick meletakkan United menguasai penuh perlawanan, sehinggalah Carlos Tevez menyamakan agregat pada minit ke-75.

'Gangguan' oleh Rooney pada babak akhir perlawanan, meneruskan rekod cemerlang Ferguson pada kejohanan tersebut.

"Saya bangga tentang rekod tersebut, dan bangga terhadap pasukan hari ini.

"Kehadiran penyokong luar biasa, apabila keadaan mereka sebegitu, kami tidak mahu mengecewakan mereka.

''Ia merupakan pertembungan derby, anda pastinya mahu memenangi perlawanan derby.

''Suasana perlawanan ini, dan pertembungan separuh akhir menghangatkan lagi perlawanan ini.

"Menjaringkan gol pada babak akhir, membawa kepada satu keraian yang amat istimewa,'' kata Ferguson. - AFP

Ku Li setuju sertai Kaukus Petroleum

Terkini

29/01/2010 4:21am

KOTA BHARU 28 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang.

Beliau pada masa sama berkata, fungsi kaukus tersebut seharusnya diperluaskan dengan mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia.

“Saya sedia terima jadi pengerusi kaukus sekarang tetapi tidak ada makna kalau tak ada orang nak sertai.

“Saya juga cadangkan kaukus ini bukan sahaja melibatkan petroleum semata-mata tetapi juga melibatkan kuasa Kerajaan Pusat.

“Sudah sampai masanya kita kaji semula kedudukan Kerajaan Pusat kerana semua cukai dan hasil yang dikutip hanya mereka yang dapat, bagaimana pula kedudukan negeri-negeri yang juga menyumbang kepada hasil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco kerajaan negeri. Kira-kira 20,000 rakyat negeri ini hadir pada majlis tersebut.

Pada 18 November lalu pemimpin-pemimpin pembangkang meminta Tengku Razaleigh mempengerusikan satu kaukus mengenai wang royalti minyak di Kelantan.

Penyertaan Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas dalam ceramah malam ini juga mencetuskan kontroversi kerana berada di atas pentas kerajaan negeri yang ditunjangi Pas.

Tengku Razaleigh berkata, kajian semula itu perlu kerana kerajaan pusat perlu faham bahawa usaha memajukan negara bermakna semua negeri perlu dimajukan.

“Kita kena fikir semula perjanjian yang dibuat pada tahun 1948 itu kerana mungkin datuk nenek kita tidak terfikir apa yang terjadi pada tahun 2010 ini,” katanya.