Friday, January 29, 2010

Rooney bawa United ke akhir

MANCHESTER, England - Sir Alex Ferguson memuji aksi 'berkelas dunia' Wayne Rooney, selepas penyerang itu menjaringkan gol pada masa kecederaan, kelmarin yang membawa Manchester United ke final Piala Liga menentang Aston Villa.

Tandukan Rooney memastikan kemenangan 3-1 United ke atas Manchester City pada perlawanan di Old Trafford dan mara ke final dengan agregat 4-3.

Ini bermakna United, mencatat rekod mara ke final kejohanan tersebut kali ketujuh, di bawah jurulatih dari Scotland itu.

Seperti mana perlawanan separuh akhir pertama, aksi kelmarin juga tidak menentu, di tengah-tengah beberapa isu yang masih berpanjangan, dan United mungkin berdepan siasatan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas penyerang City, Craig Bellamy terkena balingan objek ketika mahu melakukan sepakan sudut.

Rooney, yang menjaringkan gol ke-21 setakat ini, meneruskan sentuhan berbisa, selepas dia meledak empat gol ketika United menang ke atas Hull pada perlawanan Liga Perdana, hujung minggu lalu.

Ferguson menyanjung pemain utama kelabnya, Rooney.

"Prestasi Wayne jauh lebih baik berbanding perlawanan Sabtu lalu, di mana dia meledak empat gol ketika menentang Hull.

"Kawalan bola, kemaraan dan cara dia menembusi kubu lawan, tidak syak lagi amat menakjubkan hari ini.

''Ia prestasi yang menakjubkan, benar-benar prestasi kelas dunia,'' kata Ferguson.

Pada perlawanan bersejarah di Trafford itu sarat dengan pelbagai suasana, rentetan daripada kehangatan aksi separuh akhir pertama, jaringan Paul Scholes dan Michael Carrick meletakkan United menguasai penuh perlawanan, sehinggalah Carlos Tevez menyamakan agregat pada minit ke-75.

'Gangguan' oleh Rooney pada babak akhir perlawanan, meneruskan rekod cemerlang Ferguson pada kejohanan tersebut.

"Saya bangga tentang rekod tersebut, dan bangga terhadap pasukan hari ini.

"Kehadiran penyokong luar biasa, apabila keadaan mereka sebegitu, kami tidak mahu mengecewakan mereka.

''Ia merupakan pertembungan derby, anda pastinya mahu memenangi perlawanan derby.

''Suasana perlawanan ini, dan pertembungan separuh akhir menghangatkan lagi perlawanan ini.

"Menjaringkan gol pada babak akhir, membawa kepada satu keraian yang amat istimewa,'' kata Ferguson. - AFP

Ku Li setuju sertai Kaukus Petroleum

Terkini

29/01/2010 4:21am

KOTA BHARU 28 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang.

Beliau pada masa sama berkata, fungsi kaukus tersebut seharusnya diperluaskan dengan mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia.

“Saya sedia terima jadi pengerusi kaukus sekarang tetapi tidak ada makna kalau tak ada orang nak sertai.

“Saya juga cadangkan kaukus ini bukan sahaja melibatkan petroleum semata-mata tetapi juga melibatkan kuasa Kerajaan Pusat.

“Sudah sampai masanya kita kaji semula kedudukan Kerajaan Pusat kerana semua cukai dan hasil yang dikutip hanya mereka yang dapat, bagaimana pula kedudukan negeri-negeri yang juga menyumbang kepada hasil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan barisan Exco kerajaan negeri. Kira-kira 20,000 rakyat negeri ini hadir pada majlis tersebut.

Pada 18 November lalu pemimpin-pemimpin pembangkang meminta Tengku Razaleigh mempengerusikan satu kaukus mengenai wang royalti minyak di Kelantan.

Penyertaan Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas dalam ceramah malam ini juga mencetuskan kontroversi kerana berada di atas pentas kerajaan negeri yang ditunjangi Pas.

Tengku Razaleigh berkata, kajian semula itu perlu kerana kerajaan pusat perlu faham bahawa usaha memajukan negara bermakna semua negeri perlu dimajukan.

“Kita kena fikir semula perjanjian yang dibuat pada tahun 1948 itu kerana mungkin datuk nenek kita tidak terfikir apa yang terjadi pada tahun 2010 ini,” katanya.

Thursday, January 28, 2010

Ferdinand sangkal bertindak ganas

Terkini

28/01/2010 3:46am

LONDON, 28 Jan. - Pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand menyangkal dakwaan bahawa dia bertindak ganas dalam insiden yang berlaku ketika saingan Liga Perdana England (EPL) menentang Hull City, jelas Persatuan Bola Sepak England (FA) awal pagi tadi.

Suruhanjaya Peraturan FA akan mendengar pertuduhan pemain tersebut hari ini, membolehkan Ferdinand bebas untuk beraksi menentang pasukan tetangga, Manchester City dalam saingan separuh akhir Piala Liga yang akan berlangsung awal pagi ini. - Reuters

Tuesday, January 12, 2010

Rosak gereja di Sarawak perbuatan budak nakal

Terkini

12/01/2010 11:29am

KUCHING 12 Jan. - Polis yakin kejadian membaling batu di Gereja Good Shepherd Lutong Miri Ahad lalu merupakan perbuatan budak-budak nakal yang mahu mengambil kesempatan isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, selepas kejadian di Miri, setakat ini pihak polis Sarawak tidak ada menerima sebarang laporan kes lanjutan dan keadaan di negeri ini masih lagi terkawal.

"Ini kerja budak-budak nakal dan kita yakin ia bukanlah tindakan pihak ekstrimis agama,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan polis kontinjen Sarawak di sini hari ini. - Bernama

Hatrik Tevez lonjak Man City di tangga keempat liga

Terkini

12/01/2010 10:04am

MANCHESTER 12 Jan. - Jaringan hatrik Carlos Tevez membantu melonjakkan Manchester City di tangga keempat Liga Perdana England apabila menundukkan Blackburn Rovers 4-1 di Eastlands di sini semalam.

Keputusan tersebut membolehkan City mengekalkan rekod empat kemenangan berturut-turut di bawah pengurus Roberto Mancini dari Itali walaupun mereka melepaskan gol pertama di bawah bekas pengurus Inter Milan itu apabila Morten Gamst Pedersen menjaringkan gol untuk Rovers menjadikan kedudukan 3-1.

Bagaimana pun perlawanan tersebut menjadi milik Tevez dari Argentina yang bermain cemerlang untuk meledakkan 11 gol dalam sembilan perlawanan.

Bekas pemain Manchester United itu membuka jaringan pada minit ketujuh dan selepas jaringan cantik Micah Richards untuk gol kedua, Tevez meledakkan dua gol termasuk satu jaringan pada saat akhir perlawanan untuk kemenangan City.

City kini hanya ketinggalan tujuh mata berbanding pendahulu liga Chelsea dan kelab yang membuat perbelanjaan besar hasil sokongan jutawan Abu Dhabi, Sheikh Mansour itu kini semakin bermegah untuk menjuarai liga musim ini. - AFP

Monday, January 11, 2010

Jangan percaya khabar angin menerusi SMS - Polis

Terkini

11/01/2010 2:44pm

PUTRAJAYA 11 Jan — Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyeru orang ramai supaya mengesahkan terlebih dahulu berita yang mereka terima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi mengelak penyebaran khabar angin.

"Ini menjadi satu trend, percaya kepada SMS yang dihantar. Berita-berita ini bukannya fakta, yang sepatutnya dikeluarkan oleh pihak polis.

"Tolong gunakan pusat kawalan negara, pusat kawalan negeri dan pusat kawalan daerah untuk mengesah dan mendapat maklumat.

"Saya ingin ingatkan semua pihak agar jangan dengar berita-berita yang tidak sah, cakap mulut, cakap-cakap melalui telefon. Kita perlu lebih matang dalam menangani keadaan di dalam negara,” katanya kepada pemberita.

Ismail memberi penerangan kepada wakil kedutaan asing mengenai kejadian pembakaran gereja di negara ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam tempoh beberapa hari ini.

- BERNAMA

Hujan lebat peringkat kuning di beberapa daerah di Sarawak

Terkini

11/01/2010 3:14pm

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Hujan lebat dijangka berlaku di beberapa daerah di Sarawak selama tiga hari bermula petang Rabu ini, menurut Jabatan Meteorologi.

Hujan lebat itu dijangka berlaku di daerah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah.

Menurut kenyataan jabatan itu, keadaan tersebut sekiranya berterusan boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah berdekatan tebing-tebing sungai. – Bernama

Saturday, January 9, 2010

Bolton Wanderers sahkan Coyle sebagai pengurus baru

Terkini

09/01/2010 3:25am

LONDON, 8 Jan. - Bolton Wanderers telah melantik Owen Coyle sebagai pengurus baru awal pagi tadi selepas tidak sampai seminggu beliau meninggalkan pasukan jiran, Burnley.

Coyle, 43, yang bermain untuk Bolton pada pertengahan 1990-an mengambil alih tugas Gary Megson yang telah dipecat 30 Disember lalu. Bolton berada di tangga ke-18 dan bergelut di zon penyingkiran. - REUTERS

Beberapa perlawanan EPL ditunda akibat cuaca salji

Terkini

09/01/2010 3:25am

LONDON, 8 Jan. - Keadaan cuaca yang bersalji di Britain menyebabkan beberapa perlawanan Liga Perdana England hujung minggu ini ditunda.

Perlawanan antara Hull City menentang pendahulu Liga Chelsea hari ini dan Liverpool bertemu Tottenham telah ditunda akibat cuaca teruk.

Terlebih dahulu perlawanan di antara Portsmouth bertemu Fulham, serta Burnley menentang Stoke City dan Sunderland melawan Bolton Wanderers juga terpaksa ditunda. - REUTERS

PM umum RM500,000 untuk gereja dilontar bom petrol

Terkini

09/01/2010 7:03pm

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini, yang terbakar awal pagi semalam dipercayai akibat dilempar bom petrol, bagi membolehkan pihak pentadbiran gereja membangunkan rumah ibadat itu di tempat lain.

Perdana Menteri berkata, ia sebagai tanda simpati kerajaan terhadap apa yang telah berlaku dan peruntukan itu akan disalurkan kepada pihak Assembly of God agar mereka dapat membangunkan gereja di kawasan baru.

"Ini adalah sokongan kerajaan... ini adalah tanda keikhlasan kerajaan dan saya harap semua pihak akan bersikap tenang”.

“Kerajaan amat komited untuk menjaga keadaan yang harmoni dan hubungan yang baik antara kaum dan agama di dalam negara kita,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan yang dialami gereja itu dan disambut dengan tepukan oleh ramai yang hadir. – Bernama

Friday, January 8, 2010

KPN sahkan tiga gereja diserang

Terkini

08/01/2010 2:39pm

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan hari ini mengesahkan bahawa tiga buah gereja telah diserang di ibu negara hari ini, manakala sebuah lagi menerima ancaman.

Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya telah mengarahkan pasukan beliau untuk meningkatkan pemantauan keselamatan di semua rumah ibadat di seluruh negara. - Utusan

PM kutuk tindakan tidak bertanggungjawab bakar gereja

Terkini

08/01/2010 12:24pm

PUTRAJAYA 8 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengutuk tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap dua insiden kebakaran gereja dan satu ugutan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan polis untuk meningkatkan kawalan di semua rumah ibadat. – Bernama

Hishammuddin jamin pastikan ketenteraman awam

Terkini

08/01/2010 2:38pm

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan akan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini ketika diminta mengulas insiden kebakaran dua buah gereja termasuk sebuah gereja Metro Tarnacle terbakar di Jalan 4C, Taman Melawati di sini tengah malam tadi. - Utusan

Wednesday, January 6, 2010

Dawos Mamit Timbalan Menteri Pelancongan baru

Terkini

06/01/2010 8:25pm

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Ahli Parlimen Mambong, Datuk Dr. James Dawos Mamit hari ini diumumkan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan yang baru menggantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib.

Kenyataan akhbar pejabat Perdana Menteri memberitahu, Dawos Mamit akan mengangkat sumpah jawatan pada 13 Januari ini. – Utusan.

Penggunaan kalimah Allah ditangguhkan demi kepentingan negara

Terkini

06/01/2010 4:26pm

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan pelaksanaan perintah yang membenarkan penerbitan `Herald - The Catholic Weekly’ menggunakan perkataan `Allah’ berikutan persetujuan pihak-pihak terlibat demi kepentingan negara. - Utusan