Friday, May 29, 2009

Nash dari rock ke dangdut


ARKIB : 28/05/2009

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

KISAH cinta tiga segi bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan manusia. Malah ia seakan lumrah zaman sekarang kerana mereka rasa mampu untuk meletakkan seorang lagi insan ke dalam hati mereka.

Namun, apa yang menghairankan apabila cinta empat segi berlaku. Bertambah tidak dapat diterima akal kisah cinta empat segi ini melibatkan tiga wanita dan seorang lelaki, yang biasa sahaja tanpa sebarang keistimewaan.

Tiga orang wanita yang masing-masing ada daya penariknya merebut cinta seorang lelaki yang berusia lewat 40-an dan sudah mempunyai dua orang anak.

Wanita-wanita itu terdiri daripada isteri lelaki tersebut, seorang ibu ayam di sebuah kelab dangdut dan seorang lagi gadis muda yang sungguh menawan.

Bertambah uniknya kisah ini apabila lelaki berkenaan adalah Nash, vokalis rock legenda Lefthanded yang tidak asing lagi di kalangan peminat industri seni tanah air.

Apa sudah jadi? Adakah kerana Nash yang baru bercerai dengan isterinya maka ada lagi dua wanita ingin memiliki hatinya?

Jangan salah faham. Nash memang direbut oleh tiga orang wanita, tetapi semua itu hanyalah didalam lakonannya dalam telefilem Suamiku Seberang, Kekasihku...

Nash, atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, suatu ketika dahulu memang aktif berlakon drama dan filem. Namun sejak tiga tahun lalu dengan drama terakhirnya Plan A, dia terus menghilangkan diri.

Setelah sekian lama menyepikan diri, akhirnya Nash muncul kembali dalam sebuah telefilem arahan Hadji Maa Hayu yang bakal disiarkan di Astro Prima.

Tambah menarik, telefilem terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd., dengan skrip oleh Ishak Mohamad menampilkan Nash dengan watak komedi. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dia lakukannya.

Wataknya di dalam telefilem itu sebagai Heryanto, pendatang Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap Malaysia setelah berkahwin dengan wanita tempatan, Salmah, turut menuntut Nash bercakap slanga Indonesia.

Persoalannya, mampukah Nash melakonkan watak komedi?

Nash yang ditemui Hits baru-baru ini, ternyata berjaya menjiwai watak itu sehingga penulis pada mulanya tidak dapat mengenal pasti Nash adalah orang yang melakonkan watak komedi itu.


Realitinya, Nash memang berbakat. Dia boleh melakonkan watak komedi dengan baik, cuma tidak pernah diberi peluang sebelum ini.

Nash yang berkemeja-T dengan kain pelekat ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem itu di Kampung Klang Gate, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini kelihatan benar-benar seperti warga Indonesia. Dicampur dengan loghat Jawanya yang kedengaran selamba membuatkan penulis tidak kering gusi sepanjang berada di set penggambaran itu.

"Watak saya sebagai Heryanto memang mencabar kerana ini adalah kali pertama saya berlakon watak komedi, tambahan pula kena bertutur dalam slanga Indonesia," katanya.

"Namun, dengan bimbingan pengarah dan pelakon-pelakon yang hebat seperti Rosnah Mat Aris dan Liza Abdullah, saya mampu membawa watak ini. Saya berharap penonton boleh menerima kemunculan saya dalam drama ini.

"Selepas ini, saya bercadang untuk aktif berlakon. Malah, saya juga sudah ditawarkan berlakon watak komedi selepas ini.

"Saya sangat berterima kasih kepada pengarah dan penerbit Nizarman kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak ini. Sebelum ini, saya sendiri tidak tahu saya mampu berlakon watak komedi.

"Selain berlakon watak komedi dan bertutur slanga Indonesia, saya juga menari dangdut dalam telefilem ini. Sayakan penyanyi rock, mestilah susah, tapi...tengoklah apa yang terjadi apabila penyanyi rock berdangdut!" ujarnya berseloroh.

Adeline kekok berdangdut

Bagi Adeline Anthony, gadis keturunan Cina-Kadazan ini, sebagai pendatang baru, dia berasa amat bertuah kerana digabungkan dengan pelakon-pelakon yang hebat dan berpeluang menimba ilmu daripada mereka.

Namun katanya, cabaran dalam telefilem ini adalah wataknya sebagai Sulastri memerlukan dia bercakap slanga Indonesia.

Ujarnya, dia sering tersasul loghat Sabah ketika menjalani penggambaran walaupun sudah berlatih bercakap slanga Indonesia berhari-hari.

"Antara cabaran lain bagi saya dalam membawa watak Sulastri apabila saya juga perlu menari dangdut. Saya boleh menari, tapi bukan tarian dangdut.

"Pada mulanya agak kekok kerana gerak saya seperti tarian moden, tetapi nasib baik ada yang membantu saya menunjukkan cara yang betul," ujarnya yang turut berlakon dalamdrama bersiri Tiga Janda dan Zati Dan Si Mawas.

Liza mewakili isteri yang setia

Bagi Liza Abdullah pula, wataknya sebagai Salmah adalah amat tipikal dengan wanita-wanita sekarang yang terlampau percaya dengan suami dan menyerahkan seluruh jiwa dalam melayari hidup berumah tangga.

"Salmah adalah seorang isteri yang setia dan percaya pada suaminya walaupun sering mendengar kisah kecurangan suaminya di luar.

"Kisah sebegini ada di dalam realiti kehidupan dimana ramai wanita tempatan bercinta dengan pendatang. Ramai juga isteri yang terlampau percaya membuta-tuli kepada suami mereka.

"Saya berharap dengan cerita Suamiku Seberang, Kekasihku... ini dapat memberi kesedaran kepada mereka untuk lebih berhati-hati," ujar Liza yang pertama kali digandingkan dengan Nash.

Rosnah dan kelab dangdut

Jika dilihat drama-drama lakonan Rosnah Mat Aris sebelum ini, ternyata wataknya sebagai ibu ayam kelab dangdut bukanlah satu cabaran baginya.

Menurut Rosnah, dia sering mendapat watak penggoda dan gedik. Walaupun watak Nilam Surkasih mudah dijiwai namun ia perlu ditangani dengan baik.

"Wataknya sebagai pengurus kepada anak-anak buahnya di kelab dangdut menemukan dia dengan Heryanto tetapi Heryanto pula menyukai anak buahnya, Sulastri.

"Mungkin ada yang menganggap watak itu biasa-biasa saja, tapi...bagi saya penghayatan watak dalam setiap drama yang dilakonkan amat penting.

"Watak penggoda memang mudah, tapi...bagaimana kita menzahirkannya dalam pelbagai wajah amat penting," kata Rosnah.

Nash pandai melawak

Menurut Hadji Maa Hayu, Nash dipilih sebagai tonggak utama Suamiku Seberang, Kekasihku... kerana dia mengenali Nash dan penyanyi itu memang ada unsur-unsur komedi.

Tambahnya, dia suka mencuba sesuatu yang baru dalam setiap drama arahannya dan percaya watak Nash sebagai pelakon komedi sesuatu yang sangat unik dan boleh diterima ramai.

"Contohnya senimanMahmud June, Allahyarham ketika di studio Jalan Ampas sering diberikan watak bengis dan ganas.

"Kemudian baru dia diberi peluang melakonkan watak komedi dan ternyata beliau berjaya dengan watak sedemikian.

"Saya yakin disebalik jiwa rock Nash, dia mampu menonjolkan jiwanya yang satu lagi, iaitu seorang yang kelakar," ujarnya.

Upin & Ipin terap nilai 1 Malaysia


ARKIB : 28/05/2009

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

KARAKTER animasi kembar Upin dan Ipin yang menjadi kegilaan ramai bukan sahaja kanak-kanak malahan golongan dewasa ternyata berjaya mencetus satu lagi revolusi baru terhadap seni hiburan tempatan.

Dua watak comel tersebut telah mula diperkenalkan di TV9 menerusi mini siri yang berdurasi selama tujuh minit di rangkaian itu sepanjang bulan Ramadan sejak dua tahun lalu.

Kekuatan jenama Upin dan Ipin ternyata sukar digugat, apatah lagi filem pertama yang turut menampilkan dua watak tersebut, Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan di pawagam bermula 12 Februari hingga 1 April lalu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

Kejayaan berganda apabila filem terbitan Les' Copaque Productions (LCP), arahan Mohd. Nizam Abdul Razak itu menerima sijil Malaysia Book Of Records setelah muncul sebagai filem animasi 3D pertama diterbitkan di negara ini.

Di atas permintaan ramai, siri yang berjaya mencatat rating melebihi 1.5 juta itu sekali lagi bakal menemui peminat setianya sebanyak 42 episod untuk musim ketiga yang bakal memulakan siarannya di TV9 mulai Ogos ini.

Berbeza dengan tayangan dahulu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda, selain penayangan mini siri selama tujuh minit pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, ada penambahan satu lagi slot ulang tayang selama 30 minit.

Tambah menarik, siaran untuk musim ketiga itu mendapat tajaan daripada syarikat telekomunikasi terbesar negara, Telekom Malaysia Berhad (TM).

Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Bazlan Osman pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama dengan LCP memberitahu, kerjasama tersebut dilakukan kerana pihaknya percaya dengan kandungan nilai-nilai budaya yang diterapkan dalam siri tersebut sejak mula disiarkan.

"Siri tersebut yang mengetengahkan kehidupan kanak-kanak kembar dan rakan-rakannya yang berbilang bangsa di kampung melambangkan konsep 1 Malaysia.

"Malah, lebih separuh daripada tenaga kerja di belakang tabir siri tersebut merupakan graduan daripada Universiti Multimedia Malaysia (MMU), milik TM," katanya.

Tambah Bazlan, TM yang menyokong penerbitan produk-produk animasi turut merancang penggunaan high speed broadband bagi memudahkan tujuan mempromosi siri tersebut.

"Selain itu, ia dapat membantu membina jenama TM di kalangan kanak-kanak dan remaja, perkhidmatan tersebut membuka ruang jalur komunikasi untuk mendekati mereka," katanya.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie ketika berucap pada majlis yang sama berkata, sudah tiba masanya para penerbit animasi menghasilkan produk 'berwajah' tempatan.


"Animasi merupakan medium yang mampu mempengaruhi minda kanak-kanak. Nilai-nilai moral produk animasi barat tidak sesuai dengan budaya masyarakat tempatan.

"Upin dan Ipin diselitkan dengan kandungan asas budaya serta nilai-nilai kehidupan yang sesuai dengan konsep 1 Malaysia," katanya.

Upin & Ipin: Angkasa pada 2011

Belum lagi reda khalayak memperkatakan tentang kehebatan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula, LCP sudahpun merancang untuk penerbitan filem yang menampilkan si kembar Upin dan Ipin sebagai subjek utama.

Menariknya, filem yang bakal menerima sentuhan teknologi stereoscopic 3D yang dikatakan bakal menelan belanja RM6 juta itu bakal menjengah pawagam tempatan pada 2011.

Pengarah Eksekutif LCP yang juga pengarah Upin & Ipin, Nizam ketika ditemui memberitahu, filem yang bakal membawa pengembaraan Upin dan Ipin di angkasa lepas itu masih lagi dalam proses penulisan skrip.

Malah, katanya filem tersebut bakal diterbitkan dalam dwi bahasa (Melayu dan Inggeris) untuk memudahkan pasaran di peringkat global.

"Kalau boleh untuk filem akan datang ini kita (LCP) nak buat sebaik mungkin. Ramai yang gemarkan watak Upin dan Ipin dan ramai juga peminat yang mahukan kedua-dua watak itu dijadikan watak utama dalam filem sebab untuk filem Geng, Upin dan Ipin hanyalah sebagai watak tambahan.

"Atas permintaan ramai, kami membuat keputusan untuk menghasilkan Upin dan Ipin dalam bentuk filem pula," katanya.

Demensia boleh dielak


ARKIB : 26/05/2009

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

"APA nama kamu tadi?" soal moyang Aizat kepadanya. Seingat Aizat sudah lebih 10 kali moyangnya bertanya soalan yang sama pada hari itu. Reaksinya seolah-olah baru bertemu dengan cicitnya walaupun Aizat sebenarnya sudah seminggu menghabiskan cuti sekolahnya di kampung.

SEBAHAGIAN daripada kita tentu pernah mengalami pengalaman yang sama seperti Aizat. Anak cucu kita sebenarnya amat bertuah kerana masih mempunyai moyang yang mampu berinteraksi dengan cicit masing-masing.

Tetapi tidak semua cicit mahupun cucu menganggap moyang istimewa pada mereka sekiranya moyang tersebut mula berkelakuan tidak seperti orang dewasa lain.

Malah pada situasi yang lebih teruk moyang tidak boleh lagi menguruskan diri sehingga menyebabkan ahli keluarga menjauhi mereka.

Sebagai anak, cucu mahupun cicit yang bertanggung jawab, anda perlu mengetahui bahawa emak, nenek atau moyang telah menunjukkan simptom penyakit demensia atau mungkin dalam bahasa mudahnya nyanyuk.


Pakar neurologi dari Pusat Pakar Alpha, Dr. Lee Moon Keen berkata, demensia berlaku disebabkan perubahan dalam fungsi otak. Malah terma demensia itu sebenarnya berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud tanpa minda.

Penyakit ini bersifat progresif iaitu semakin lama semakin teruk jika tidak diberi rawatan pada peringkat awal. Ia biasanya dialami oleh golongan usia 65 tahun ke atas.

"Demensia berlaku apabila keupayaan dalam otak semakin berkurangan. Apabila keupayaan merosot di mana otak tidak mampu membuang kimia yang dinamakan cellular junk. Dalam cellular junk ini mengandungi sejenis protein yang dinamakan amyloid, bila cellular junk ini tidak dibuang, ia akan menyebabkan demensia," jelasnya.

Dr. Moon Keen berkata, ada lima punca yang yang kerap dilaporkan apabila terjadinya demensia pada seseorang. Pertama adalah disebabkan faktor usia - semakin bertambah usia, semakin kurang fungsi penggunaan otak.

"Punca kedua berkaitan dengan saluran vaskular di mana apabila saluran darah semakin sempit, oksigen yang dibawa ke otak berkurangan. Individu yang mempunyai kolesterol yang tinggi, kuat merokok, darah tinggi dan diabetes juga berisiko untuk mengalami demensia menerusi punca ini," jelasnya.

Ketiganya, mungkin disebabkan oleh trauma kecederaan yang menyebabkan kesan kepada kualiti sel otak.

"Contohnya boleh dilihat kepada ahli sukan tinju dan mereka yang kerap melakukan aktiviti sukan lasak dan berisiko tinggi. Punca keempat pula adalah kerana jangkitan kuman seperti HIV dan yang terakhir kerana hydrocephalus iaitu kandungan air yang banyak pada otak," ujarnya.

Dr. Lee menambah, demensia memang berisiko pada mereka yang berusia 65 tahun ke atas namun peratusan adalah paling tinggi pengidapnya ialah pada usia 85 tahun.

"Alzheimer adalah satu jenis penyakit dementia yang paling kerap terjadi di kalangan warga tua," tambahnya.

Akan tetapi menurut Dr. Lee, warga emas yang mengamalkan cara hidup sihat boleh mengelakkan dari terkena penyakit ini.

"Pepatah Inggeris ada menyatakan use it or loose it, sama seperti otak, jika kita tidak gunakannya dengan berfikir dan berinteraksi maka kita akan kehilangan fungsinya.

"Jika seorang pesara misalnya tidak perlu lagi memikirkan hal kerja tetapi dia perlu pastikan dirinya hidup dalam suasana yang bermakna. Banyak aktiviti boleh dilakukan seperti senaman yang terbukti mampu membekal oksigen ke otak sekali gus merangsang keupayaan berfikir," jelasnya.

Dr. Moon Keen turut mencadangkan individu yang meningkat usia agar melakukan stimulasi mental seperti bergaul dengan rakan-rakan, menceburi persatuan sukarela, melakukan aktiviti berkumpulan dengan tujuan untuk merangsang minda agar berfikir.

"Biasanya, penyakit ini dialami oleh salah seorang suami atau isteri yang telah kehilangan pasangan mereka. Paling utama ahli keluarga seperti anak-anak dan saudara mara memberi sokongan emosi dan kasih sayang kepada mereka agar mereka tidak berasa keseorangan dan seterusnya hilang fungsi fikiran," ujarnya.

Diagnosis

Bagi seorang pesakit yang berjumpa doktor, perkara pertama yang ditanya ialah tentang sejarah perubatan pesakit. Setelah mendapat maklumat, pesakit akan diberikan soalan soal selidik. Set soalan ini umpama ujian IQ untuk mengenalpasti tahap demensia yang dialami pesakit.

"Ujian imbasan otak (CT Scan) boleh mengenalpasti sama ada otak mula mengecut atau sebaliknya. Ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) juga boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini, bergantung kepada penilaian menerusi soalan kaji selidik tadi," katanya.

Dr. Moon Keen menambah, selepas mengenalpasti punca, rawatan akan dibuat dengan pengambilan ubat-ubatan serta terapi bergantung kepada tahap demensia seseorang pesakit.

Amalan makanan mampu mengelakkan risiko

Beliau menyarankan pengambilan sayur-sayuran pelbagai warna yang mampu menguatkan minda. Dengan mengambil sayur-sayuran yang berwarna warni tersebut akan membekalkan zat dan nutrien yang diperlukan untuk otak. Ia sekali gus dapat mengelakkan risiko diserang dimensia apabila tiba usia berisiko kelak.

"Tidak bermakna makan sejenis sayur tidak baik, tetapi lebih baik jika sayuran hijau dicampur dengan sayuran seperti lobak, kubis dan sebagainya kerana ia adalah lebih baik untuk kesihatan otak anda," ujarnya.

Tambahnya, kajian membuktikan pengambilan minyak ikan mampu mengelakkan penyakit dementia. Satu lagi kajian terbaru di Britain pula mendapati amalan meminum kopi di kalangan wanita mengurangkan risiko mereka dari terkena penyakit ini.

Fesyen universal identiti Malaysia


ARKIB : 24/05/2009
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto WAHIDAH ZAINAL

IDENTITI atau ciri-ciri tradisional masyarakat merupakan seni budaya yang mempunyai nilai keindahan tersendiri.

Bukan sahaja perincian

pakaian, malahan gaya hidup, bentuk rumah, alat muzik dan adat-istiadat menjadi simbolik sebuah masyarakat yang tidak pernah pupus.

Adaptasi elemen identiti ini boleh diterjemah melalui fesyen yang bersifat universal dan moden.

Ilham ini menjadi teras kepada graduan Jabatan Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor yang mengkaji identiti masyarakat tempatan.

Idea kreatif dan inovatif lahir daripada budaya rakyat seperti wayang kulit, Cik Siti Wan Kembang, Kebaya Nyonya, dan sebagainya.


Pensyarah Jabatan Fesyen, UiTM Shah Alam, Selangor, Faizal Hamid berkata, para graduan menghasilkan pakaian berdasarkan apa yang mereka hendak kaji berdasarkan tema identiti.

"Misalnya, ada graduan melakukan penyelidikan kostum pahlawan daripada negeri Sarawak. Ada juga yang menghasilkan pakaian yang diilhamkan daripada kebaya, pakaian Melayu dan pelbagai konsep lain," katanya yang ditemui di majlis pertunjukan fesyen graduan Jabatan Fesyen UiTM di Hotel Cititel Mid Valley, Kuala Lumpur.

Berbeza daripada tema tahun lepas, kali ini pelajar menghasilkan pakaian dengan persepsi identiti dan elemen baru termasuk warna, garisan, reka corak dan teknik lipat-lipatan.

Menurut Faizal, teknik lipatan ftersebut diilhamkan daripada samping yang dipakai oleh lelaki Melayu.

"Kali ini pakaian lebih unik dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. Lebih menarik lagi, ia merupakan perspektif pelajar sendiri. Selaras dengan pertunjukan fesyen rekaan graduan, setiap koleksi menunjukkan kredibiliti tersendiri" jelasnya.

Tidak ketinggalan, pereka-pereka muda ini melakukan kajian agar koleksi yang dicipta relevan dengan pasaran masa kini.

Sentuhan kostum Melayu lama juga diberi nafas baru mengikut trend masa kini seperti pakaian yang dihasilkan daripada ilham pembinaan rumah tradisional di Melaka. Gaya pakaiannya dimodenkan untuk gaya koktel minum petang.

Sesuai dengan perkembangan fesyen hari ini, pereka tempatan perlu menunjukkan idea kreatif melalui gaya universal.

"Menerusi pertunjukan seperti ini, ia dapat memberi peluang kepada pereka muda memperkenalkan koleksi mereka kepada orang ramai. Malah, UiTM sendiri menganjurkan pameran fesyen untuk membina jaringan bakal majikan dan graduan. Ia merupakan pendedahan meluas yang menunjukkan karisma pelajar itu sendiri melahirkan idea kreatif," ujarnya.

Mengulas gaya fesyen kini yang banyak mengambil sentuhan lama, Faizal yakin orang ramai terbuka menerima gaya lama yang moden atau kontemporari.

Namun, identiti sebenar pakaian atau budaya tersebut tidak perlu hilang atau pupus.

Sementara itu, pemenang koleksi terbaik, Nur Shaadah Kamarudin, 23 mengetengahkan koleksi yang bertemakan Austerity of 'sikap'.

Koleksi ini mempamerkan gaya pakaian ke pejabat yang kemas dan formal.

"Ia lebih menunjukkan keperibadian pakaian. Sikap merupakan inspirasi pakaian yang dipakai oleh raja-raja Melayu lama.

Dari segi warna, saya lebih suka klasik. Seperti sentuhan fesyen kali ini, ia lebih ringkas dan kemas mengikut potongan si pemakai," katanya yang menyiapkan rekaan ini dalam tempoh lima bulan.

Pemenang koordinasi terbaik, Nurul Hanim Noor Azman, 23 pula menggunakan konsep sambungan pesak dan kekek (bahagian ketiak baju kurung). Baju yang diilhamkan berdasarkan pakaian Riau ini bertemakan A Touch Of Connection Gone. Ia merupakan gaya kasual yang canggih sesuai untuk imej universal.

"Pakaian yang saya hasilkan masih beridentiti Melayu walaupun ia lebih sesuai digayakan ketika bercuti pada musim sejuk di luar negara. Uniknya, baju sejuk ini masih mempunyai koordinasi identiti kita," jelasnya.

Sementara itu, Khairul Fahmi Mohd Kosni, 25 yang memenangi anugerah kreatif dan inovatif lahir dengan idea The Bearing Of A Sound yang dikaji berdasarkan alat muzik tradisional, gambus.

Pakaian yang dihasilkan daripada kain tafeta ini sesuai untuk gaun malam.

Pertunjukan fesyen graduan Jabatan Fesyen UiTM ini diadakan setiap semester sebagai penghargaan hasil rekaan mereka.

Ia juga merupakan medan yang menyaksikan bakat mereka sebagai pereka muda tempatan.

Kebaya untuk pengantin


ARKIB : 27/05/2009
Oleh MERAN ABU BAKAR

SETIAP wanita mempunyai impian untuk bersanding di atas pelamin dengan memakai baju pengantin yang cantik bak seorang puteri raja. Ini kerana kenangan menjadi ratu sehari akan dikenang seumur hidup.

Baju bersanding yang dibuat daripada kain renda Perancis menjadi pilihan kebanyakan gadis yang akan bergelar ratu sehari. Keindahan corak dan kelembutan fabrik renda Perancis yang mengikut bentuk tubuh si pemakai menjadi antara faktor ia menjadi pilihan.

Bagi bakal pengantin yang masih mencari-cari baju untuk bersanding, Cleo Studio menyediakan pelbagai rekaan dan potongan baju bersanding yang dibuat daripada kain renda Perancis.

Selain baju yang sepenuhnya dibuat daripada kain renda Perancis, turut terdapat rekaan yang digabungkan dengan kain sifon, sutera Thai dan satin.


Pemilik Cleo Studio, Maiyizat 'Ul Najwa Abdul Mutalib atau Wawa berkata, rekaan kebaya labuh, kebaya pendek, kebaya moden dan kurung moden sesuai untuk digayakan di majlis persandingan di dewan atau hotel.

"Wanita bertubuh gempal biasanya takut untuk memakai kebaya di majlis persandingan mereka. Sebenarnya kebaya bukan hanya untuk yang bertubuh kurus. Wanita gempal pun boleh memakai kebaya kerana kebaya yang disediakan oleh butik pengantin boleh diubah suai pada bahagian badan dan lengan .

"Pemakaian korset dapat menyembunyikan tubuh yang gempal di samping potongan baju yang tidak terlalu kembang dan kain A-line,'' kata Wawa semasa ditemui di butiknya baru-baru ini.

Menurut Wawa yang sudah lima tahun membuka butik pengantin, bagi pengantin yang bertubuh tinggi lampai pula, cantik dengan baju pengantin yang berpotongan kebaya dan kain bertingkat atau kain duyung.

Selain warna-warna asas yang biasa bagi baju bersanding seperti kuning, merah jambu, coklat, hijau pucuk pisang, jingga, hijau muda dan ungu muda, kata Wawa, pada masa kini sudah ada yang mula meminati warna hitam atau perak futuristik bagi majlis persandingan.

Warna hitam dan perak futuristik boleh digabungkan dengan warna hitam, putih dan merah.

Beliau berkata, selain baju bersanding daripada kain renda Perancis, masih terdapat mereka yang berminat menggayakan baju pengantin antarabangsa seperti baju Jawa, Korea, sari, ceongsam dan sebagainya. Kebiasaannya baju pengantin antarabangsa dipakai pada malam berinai.

Selain baju pengantin, Wawa turut menyediakan khidmat membuat pelamin, mekap, dekorasi dewan dan rumah, salon kecantikan, salon rambut dan spa mini.

Tuesday, May 26, 2009

Impian United, igauan Barca


LONDON -

'Final impian' Sir Alex Ferguson pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini mungkin menjadi mimpi ngeri buat Barcelona jika Manchester United berjaya membantutkan gerakan pasukan Sepanyol itu dan mampu mencatat kemenangan menerusi serangan balas.

Ia satu senario sukar yang diharapkan namun Ferguson sedar peluang terbaik untuk United menjadi pasukan pertama yang mempertahankan kejuaraan dalam era Liga Juara-Juara ialah mengecewakan lawan yang mampu menjaringkan gol dari mana-mana gerakan di setiap sudut.


United berjaya melakukannya tahun lalu, menundukkan Barcelona menerusi agregat 1-0 di separuh akhir dan pasukan Sepanyol itu berdepan tentangan Chelsea selama 120 minit di separuh akhir musim ini sebelum jaringan kemenangan Andres Iniesta pada masa kecederaan.

Ferguson mengagumi pendekatan Barcelona dan dia menunjukkan komitmen sendiri dengan mempersembahkan permainan menarik dengan cara sering menurunkan kesebelasan utama seperti Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney Dimitar Berbatov sebagai trio serangan.

Namun, pengalaman luas pengurus kelahiran Scotland itu menyedarkannya bahawa pasukan yang hebat terbina dari bawah dan kunci utama untuk membuka senjata sendiri ialah dengan meneutralkan pasukan lawan.

''Mereka (Barca) bijak mengambil kesempatan dan boleh menyebabkan anda pening.

''Tahap tumpuan anda boleh boleh terjejas walaupun sesaat. Namun dengan taktik yang betul, permainan mereka boleh diimbangi,'' kata Ferguson.

Pertahanan United amat menakjubkan musim ini, dengan mengandaikan Rio Ferdinand cergas untuk mengisi bahagian tengah bersama Nemanja Vidic, pertahanan United sepatutnya cukup kuat.

Bahagian tengah United juga bekerja keras dan berjaya mengekang jumlah gol yang dilepaskan hanya 24 gol.

Dalam kempen Liga Juara-Juara, mereka hanya melepaskan tiga gol pada saingan peringkat kumpulan dan empat gol dalam enam perlawanan peringkat kalah mati dengan Inter Milan, Porto dan Arsenal.

Pemain yang berlari tanpa henti, Park Ji-Sung dan pakar membaca rentak perlawanan Michael Carrick merupakan pelengkap kepada empat benteng pertahanan United.

''Dengan cara permainan Barcelona, mereka mampu mengawal bola dengan tempoh yang lama dan anda perlu berhati-hati, bertahan dengan baik. Ia juga melibatkan peperangan mental.

''Seperti yang ditunjukkan oleh Chelsea, kami perlu menyerang Barca pada masa yang betul,'' kata Carrick.

United mempunyai 'seni' memperdayakan pasukan lawan menerusi serangan balas, buktikan ketika Ronaldo memula dan menamakan percubaan menerusi larian dari jarak 60 meter ketika melakukan jaringan hebat gol ketiga pada separuh akhir menentang Arsenal.

Gerakan tersebut sesuatu yang diidamkan oleh Ferguson pada final nanti terutama ketika pertahanan Barca dilihat sedikit goyah dengan penggantungan Eric Abidal dan Dani Alves serta kecederaan yang menyebabkan Rafael Marquez tidak dapat beraksi.

Pengurus Barca, Pep Guardiola, yang merehatkan hampir semua kesebelasan utama ketika kalah 0-1 kepada Osasuna, Sabtu lalu juga sedang 'berpeluh' memikirkan tahap kecergasan Iniesta dan Thierry Henry.

Seperti mana United, Barcelona menjulang kejuaraan liga sebelum musim berakhir dan kedua-duanya juga menjulang kejuaraan domestik.

Seperti juga United, yang dibandingkan dengan bekas juara Liverpool, juara Sepanyol itu terdesak untuk melakar sejarah selepas hanya memenangi dua kali Piala Eropah berbanding Real Madrid sembilan kali.

Mereka akan melaksanakan tugas tersebut dengan berhati-hati di Rome nanti, dan dengan bergantung kepada corak permainan, Iniesta dan Xavi diharap dapat membantu membuka gerakan gol untuk Henry, Messi atau Samuel Eto'o.

Eto'o, yang beraksi Sabtu lalu dalam usahanya memburu gol ke-30 liga, memuji pendekatan cara permainan pasukannya sehingga berjaya mencatat jumlah yang gol yang tinggi.

''Kami menjaringkan 150 gol musim ini. Bagi pemain penyerang tiada pasukan sebaik Barcelona,'' katanya. - Reuters

Monday, May 25, 2009

Evra tidak sabar halang Messi


MANCHESTER - Patrice Evra mengakui dia seram dengan tindakan Sir Alex Ferguson sebelum ini namun lega selepas bakal menikmati peluang untuk memegang peranan utama dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah awal pagi Khamis ini.

Pertahanan kiri berbangsa Perancis itu sekali lagi akan diberikan tugas untuk menyekat pemain berbahaya Barcelona, Lionel Messi di Stadium Olimpik Rome.

Tugas tersebut telah berjaya dilaksanakannya ketika United melepasi halangan juara Sepanyol itu dalam perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah tahun lepas.

Evra, 28, mengakui tidak ada sebarang persediaan istimewa untuk berdepan dengan pemain sayap Argentina itu tetapi merasakan bergandingan dengan Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney dalam latihan adalah persediaan yang betul.

"Messi merupakan pemain yang hebat. Saya akan menyekatnya sebanyak 10 kali tetapi jika saya gagal buat kali ke-11 dan dia menjaringkan gol, orang akan mengatakan saya bermain teruk.

"Saya perlu menumpukan sepenuh perhatian sepanjang perlawanan dan memenangi sebarang cabaran. Tahun lepas Ferguson memberitahu saya boleh memberi kemenangan buat United. Saya begitu bangga dengan kata-kata tersebut.

"Ferguson percaya kepada kami tetapi dia suka memberi kata-kata yang akan memberi keyakinan buat kamu. Saya tidak mahu mengecewakan dia atau rakan-rakan lain," kata Evra.

Evra telah menjadi salah seorang pemain hebat di posisi pertahanan kiri sejak menyertai United dari Monaco pada 2006 dan Ferguson tidak sangsi bahawa pemain Perancis itu mampu menyekat Messi.

"Ketika kami menentang mereka tahun lepas kami terpaksa mengharapkan prestasi Patrice Evra dan kali ini sekali lagi kami mengharapkannya.

"Patrice merupakan pemain bola sepak yang hebat, dia pantas. Anda memerlukannya untuk menyekat Messi kerana dia sungguh pantas," kata Ferguson.

Pemain United tetap menganggap Ferguson tidak terlalu baran sejak kebelakangan ini, walaupun sesekali dia naik angin yang mengingatkan kembali kisah lalu yang mengkaitkannya dengan 'rawatan pengiring rambut'.

Namun Evra masih lagi menganggap pengurus United itu menimbulkan suasana yang menakutkan dalam bilik persalinan.

Bekas pemain Monaco itu mengalami pengalaman pertamanya akibat sikap baran Ferguson ketika United tewas 2-1 kepada Arsenal pada 2007.

"Saya telah melihat dia seperti 'pengering rambut', bukan saya seorang sahaja tetapi satu pasukan.

"Saya masih ingat ketika kami tewas dua tahun lalu kepada Arsenal, apabila Thierry Henry menjaringkan gol di minit-minit terakhir.

"Saya ingat dia akan mati. Wajahnya bertukar menjadi merah. Ia membuatkan saya takut. Dia memang sukar dijangka.

"Mereka menceritakan kepada saya tentang pengering rambut tetapi saya tidak pernah melihatnya. Namun selepas melihatnya, saya begitu terkejut.

"Dia akan pergi ke mana sahaja, di padang latihan dan bilik persalinan.

"Dia suka berada bersama pemain. Dia seperti datuk kami.

"Dia akan mempertahankan sesiapa sahaja dan mahu semua orang menghormati jersi Manchester United.

"Dia seorang yang penyayang apabila anda buat apa yang dia mahu. Dia sangat suka apabila orang menghormati jersi Manchester United.

"Selepas itu anda akan menjadi kawan baik kepada pengurus. Bagaimanapun anda perlu bekerja keras setiap hari untuk memastikan anda tidak mengecewakan dia," kata Evra.

Evra juga kagum dengan kemampuan Ferguson untuk memastikan skuad yang besar ini sentiasa gembira dan dia merasakan suasana yang dicipta oleh pengurusnya itu menghidupkan semangat berpasukan yang digunakan di mana sahaja.

"Tidak akan ada pengurus sepertinya. Pengurus yang mampu menguruskan 24 pemain terkenal.

"Saya bermain untuk Perancis. Pada satu ketika, anda tidak bermain anda tidak akan gembira. Ketika bersama Perancis sebelum perlawanan (pemain yang tidak bermain) akan berasa sedih dan mereka tidak berkata 'ayuh rakan-rakan, anda perlu menang'.

"Bersama Manchester United, apabila seseorang pemain tidak beraksi termasuk pemain legenda, Ryan Giggs, mereka masih lagi berkata, 'ayuh rakan-rakan, kami mahu anda menang'.

"Mereka berkata begitu menerusi perasaan yang mendalam, bukan kerana mereka mahu menunjukkan mereka sebagai rakan-sepasukan yang bagus. Inilah yang membezakannya.

"Ferguson memastikan satu pasukan merupakan bintang, bukan hanya seorang pemain sahaja yang bergelar bintang. Itulah rahsianya," kata Evra.

Evra percaya Thierry Henry akan cergas menjelang perlawanan Rabu ini dan dia berasakan bekas pemain Arsenal itu tidak boleh dipandang ringan.

"Thierry merupakan pemain yang luar biasa. Ketika tahun pertamanya di Barcelona ramai orang beranggapan dia sudah hilang sentuhan, kariernya sudah berakhir.

"Tetapi musim ini dia menjaringkan banyak gol. Dia telah beraksi di sebelah kiri. Bagi saya, dia merupakan pemain yang hebat sama seperti dia beraksi di Arsenal.

"Semua orang bercakap tentang Messi tetapi anda juga perlu memberi tumpuan kepada Henry dan Andres Iniesta," kata Evra. - AFP

Friday, May 22, 2009

United boleh turunkan skuad lemah




LONDON - Hasrat Manchester United untuk menurunkan skuad lemah dalam perlawanan terakhir liga menentang Hull City, Ahad ini mendapat sokongan ketua eksekutif Liga Perdana England, Richard Scudamore.

United yang sudah merangkul kejuaraan Liga Perdana minggu lalu bakal berdepan Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Rome, Rabu depan.

Pengurus mereka, Sir Alex Ferguson sebelum ini mempertimbangkan untuk merehatkan sebahagian besar tonggak utamanya dalam pertemuan dengan Hull bagi memberi tumpuan kepada cabaran Eropah.

"Anda tidak boleh menafikan hakikat bahawa mereka (United) sudah pun menjuarai liga dan bakal berdepan perlawanan penting menentang Barcelona Rabu depan.


"Anda kena realistik: Apa pun barisan yang hendak diturunkan dalam perlawanan Ahad ini, ia mestilah yang memberi manfaat kepada mereka,'' kata Scudamore kepada Radio BBC 5 Live.

Biarpun keputusan perlawanan hujung minggu ini tidak memberi sebarang makna buat United tetapi ia penting buat Hull dan tiga lagi kelab yang sedang bergelut untuk kekal dalam kancah Liga Perdana - Sunderland, Newcastle United dan Middlesbrough.


Pada ketika pasukan tercorot liga, West Bromwich Albion sudah pun menjadi pasukan pertama tersingkir ke divisyen bawah, dua lagi kelab bakal mengikuti jejak Bromwich, Ahad ini.

Ketika ini, Sunderland yang memiliki 36 mata menghuni lima kedudukan tercorot, manakala Hull dengan 35 di tangga empat tercorot, diikuti oleh Newcastle (34) dan Middlesbrough (32).

Pendatang baru Liga Perdana, Hull akan kekal dalam saingan liga utama musim depan sekiranya berjaya menewaskan United, malah mereka juga masih mampu kekal jika mencatat keputusan seri sambil Newcastle kalah kepada Aston Villa.

Scudamore percaya, walau apa pun barisan pemain yang bakal disenaraikan oleh Ferguson, United tetap turun untuk mencari kemenangan.

"Mereka (United) adalah kelab bola sepak paling profesional di kalangan kelab-kelab profesional.


"Sir Alex Ferguson akan menurunkan pasukan yang beraksi untuk menang dalam perlawanan Ahad ini,'' katanya. - REUTERS

Monday, May 18, 2009

MANCHESTER UNITED JUARA EPL



Manchester United telah ditabalkan sebagai Juara EPL tiga tahun berturut-turut dan kejuaraan kali ini merupakan yang ke 18 sejak EPL diperkenalkan yang mana sebelum ini ianya dikenali sebagai Big League Soccer (zaman seluar ketat).
Kejuaraan kali ini dapat menyamai rekod Liverpool yang belum pernah merasai Juara EPL(cuma menang Big League Soccer-18 tahun lalu). Nampaknya Liverpool kempunan lagi untuk kali ini.
Biarpun Manchester United dan pasukan yang lain mempunyai satu baki permainan lagi namun tidak ada satu pasukan pun dapat menghalang United daripada bergelar juara walaupun United kalah.
Hujung minggu ini merupakan perlawanan yang terakhir untuk semua pasukan EPL 2009 dan hampir semua piala dijuarai oleh United kecuali Piala FA.
Penghujung bulan ini juga United sekali lagi bakal ditabalkan juara apabila bertemu dengan Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.Bagi peminat-peminat EPL jangan lupa menyaksikan perlawanan tersebut dan berilah sokongan kepada United kerana hanya United sahaja yang dapat merubah segala-galanya.
Mana-mana pasukan (EPL) yang kempunan untuk merasai Liga Juara-juara janganlah anda bersedih kerana United merupakan satu-satu pasukan yang mampu mengharumkan nama kelab England.
United sangat bertuah dan merupakan satu-satunya pasukan yang terkuat dalam EPL dan tiada satu pun pasukan yang dapat menyaingi United abad ini dan tidak hairanlah ramai peminat-peminat dari pasukan lain dalam EPL cemburu dengan kekuatan United terutamanya L........
L........ sentiasa dibayangi oleh United dan mereka tidak mampu menerima hakikat yang United adalah satu-satunya pasukan yang terkuat era ini.

Monday, May 11, 2009

Tevez julang United



MANCHESTER, England – Biar pun kecewa dengan Manchester United, Carlos Tevez masih membantu kelabnya itu mengatasi jiran, Manchester City 2-0 dalam saingan Liga Perdana England, semalam.

Selepas menyatakan hasrat untuk meninggalkan United selepas berakhir musim ini, Tevez tetap bersemangat dengan menyumbangkan gol kedua yang cantik.

Terdahulu Cristiano Ronaldo membuka jaringan buat United menerusi sepakan percuma pada minit ke-18 - gol beliau yang ke-26 musim ini.

Tevez yang menyertai United pada 2007 kemudiannya meledakkan satu sepakan dari luar kotak penalti yang memukau di penghujung babak pertama.

Sebaik menggegar jaring, Tevez terus berlari berhampiran tempat duduk pengurusnya, Alex Ferguson sambil penyokong menjerit “Fergie, Fergie ikat (kontrak) dia!”.

Gol tersebut adalah jaringan Tevez yang ke-14 musim ini sekali gus meletakkan kelabnya itu kini kekal di persada liga dengan 83 mata.

Selain mendahului Liverpool dengan tiga mata, United juga mempunyai kurang satu perlawanan dalam tangan yang memungkinkan mereka menamatkan musim ini dengan berada enam mata di depan.

Tevez hampir menambah jaringan di babak kedua tetapi tandukannya terkena tiang selepas menyambut hantaran Darren Fletcher.

Pada perlawanan semalam, United merehatkan beberapa pemain utamanya termasuk Rio Ferdinand dan Michael Carrick.

United kini hanya memerlukan empat mata lagi daripada tiga baki perlawanan musim ini untuk muncul juara liga buat kali ke-18.

Pencabar terdekat, Liverpool yang tidak akan beraksi sehingga 17 Mei ini dijangka hanya mampu melihat sahaja bagaimana United meraih gelaran itu kelak..

Ini kerana United akan berdepan Wigan Rabu ini dan jika menang hanya perlu seri ketika menentang Arsenal pada 16 Mei.

Pada ketika Liverpool turun beraksi pada 17 Mei, ia sudah tidak membawa apa-apa makna lagi untuk menyekat United.

Pengurus Liverpool, Rafa Benitez tentunya hanya mampu berharap United tewas dalam baki tiga perlawanan tersebut. – AFP

Mohammad Nizar MB Perak yang sah

Terkini
11/05/2009 4:15pm

KUALA LUMPUR 11 Mei – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian setelah mendapati jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong dan undi tak percaya hanya boleh dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN). - Utusan