Sunday, July 26, 2009

Fergie label Manchester City angkuh dan bodoh

Terkini
26/07/2009 3:11pm

HANGZHOU 26 Julai - Bos Manchester United, Sir Alex Ferguson melabelkan Manchester City sebagai sebuah "kelab kecil" yang angkuh dan bodoh.

Dalam satu temubual dengan akhbar Inggeris ketika jelajah pramusimnya, pengurus asal Scotland itu berkata, adalah amat sukar bagi City untuk memecahkan empat tempat teratas Liga Perdana walaupun berbelanja besar musim ini.

"Mereka adalah sebuah kelab kecil, mentaliti kecil. Apa yang mereka boleh cakap tentang Manchester United. Itu sahaja yang mereka boleh lakukan dan mereka tidak boleh pergi jauh.

"Apa yang mereka lakukan sekarang hanya perkara bodoh," katanya. - AFP

Sunday, July 19, 2009

Adebayor sah sertai Man. City



Terkini

19/07/2009

MANCHESTER England 19 Julai - Emmanuel Adebayor menjadi penyerang ketiga yang menyertai Manchester City apabila menandatangani kontrak lima tahun dengan City malam tadi.

Penyerang antarabangsa Togo yang mewakili Arsenal sebelum ini menjadi penyerang ketiga yang menyertai City setakat ini selepas penyerang Argentina Carlos Tevez dari Manchester United.

Penyerang Paraguay Roque Santa Cruz juga menyertai City dari Blackburn baru-baru ini.

Bayaran perpindahan Adebayor dilaporkan kira-kira 25 juta pound (RM145.6 juta). - AP

DAP ambil tindakan undang-undang terhadap SPRM

Terkini
19/07/2009 10:46pm

ALOR GAJAH 19 Julai - DAP akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berhubung kematian pegawai khas Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, SPRM perlu bertanggungjawab terhadap kematian Beng Hock dan tidak boleh mengeluarkan kenyataan bahawa ketika ditemui mati, Beng Hock tidak lagi berada dalam pengawasan SPRM.

Beliau berkata, pejabat SPRM adalah sebuah bangunan keselamatan yang dikawal dan tidak boleh untuk melakukan urusan masuk dan keluar ke pejabat itu sesuka hati.

“Hanya pegawai SPRM yang mempunyai akses menerusi kad mereka untuk masuk dan keluar pintu pejabat berkenaan.

“SPRM mempunyai tanggungjawab keselamatan (terhadap Beng Hock) dan tidak boleh dinafikan Beng Hock ditemui dalam kawasan bangunan SPRM,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada keluarga Teoh di Taman Seri Kelemak di sini, hari ini.

- BERNAMA

Chua Jui Meng bebas buat pilihan - Pak Lah

Terkini
19/07/2009 8:10pm

PUTRAJAYA 19 Julai — Tindakan bekas naib presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak wajar dianggap sebagai simbol perpecahan Barisan Nasional (BN) kerana ia hanya sebahagian daripada senario yang mewarnai MCA.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, Chua mempunyai segala kebebasan untuk memilih ideologi parti yang dikehendaki, justeru tindakannya itu tidak wajar dipersoalkan.

“Itu pilihan dia...biarlah dengan dia kalau itu pilihan dia. Kebebasan dia untuk buat pilihan hendak menjadi ahli MCA atau parti lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Putrajaya di sini hari ini.

Dalam forum bertajuk “Kebenaran Di Sebalik Skandal - Perak, PKFZ dan Konspirasi BN” anjuran PKR di Petaling Jaya semalam, Chua mengumumkan akan menyertai PKR dan berkata kegagalan MCA untuk berfungsi sebagai sebuah parti sebagai alasan bagi beliau berbuat demikian.

Katanya, beliau telah memberi amaran kepada MCA sebelum ini bahawa perjuangan parti itu tidak akan relevan lagi sekiranya mereka masih di takuk lama.

Mengulas mengenai kesan terhadap BN dan MCA ekoran tindakan Chua itu, Abdullah berkata ia tertakluk kepada budi-bicara dan kaedah BN menangani perkara tersebut.

“Kena pastikan BN terus menjadi parti yang lebih baik dan laksanakan apa yang dikehendaki oleh rakyat, sensitif kepada keperluan rakyat dan bersedia untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan.

“Banyak langkah-langkah yang perlu diteruskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) khususnya yang ada hubung kait dengan tindakan yang perlu diambil untuk memulihkan ekonomi; untuk menambahkan peluang pelaburan ke negara kita,” katanya.

— BERNAMA

Chua Jui Meng umum sertai PKR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Bekas Naib Presiden MCA dan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng (gambar) hari ini mengumumkan secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di hadapan 800 hadirin dan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jui Meng turut mengisytiharkan keluar daripada parti MCA.

"Hari ini saya membuat keputusan penting dalam hidup saya, meninggalkan MCA dan menyertai PKR serta melepaskan jawatan saya sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri selama 23 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada forum anjuran PKR di Bandar Sunway di sini hari ini.

Turut mengikuti langkah Jui Meng ialah bekas Ahli Parlimen Lumut pada penggal 1995-1999, Datuk Dr. Yap Yit Thong dan bekas Ahli Dewan Negara, Datuk David Yeoh.

Menurut Jui Meng, antara alasan utama beliau menyertai PKR ialah kerana agenda perjuangan parti itu mempunyai persamaan dengan wawasan yang didokong oleh beliau.

"Banyak perkara yang setuju dengan apa dibawa oleh PKR, iaitu memperjuangkan hak segala kaum di dalam satu landasan tanpa ada sebarang diskriminasi.

"Jika ada idea serta dasar perjuangan PKR yang bercanggah dengan saya, saya tidak akan masuk PKR malah kemasukan saya dalam PKR adalah tanpa sebarang syarat.

"Sewaktu saya bertanding pada pemilihan jawatan Presiden MCA pada 2005 dan 2008, kebanyakan perkara yang disentuh dalam manifesto saya tidak banyak beza dengan apa yang ingin diperjuangkan oleh PKR," katanya.

Jui Meng mengakui terpaksa mengambil keputusan yang agak lama untuk menyertai PKR kerana ingin membuat reformasi terhadap parti MCA terlebih dahulu.

Ditanya mengapa sebelum ini beliau menafikan mahu menyertai PKR, beliau berkata, media sebenarnya membuat salah tafsiran.

"Saya sebenarnya tidak memberi jawapan menafikan, cuma saya hanya berkata akan memberitahu pada masa yang sesuai," ujarnya.

Wednesday, July 15, 2009

Kerajaan teruskan rancangan bina infrastruktur di Manik Urai

Terkini
15/07/2009 9:59pm

KUALA LUMPUR 15 Julai — Kerajaan pusat akan meneruskan rancangan membina infrastruktur di Manik Urai meskipun tewas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri itu semalam, kata Pengarah Pilihan raya Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan penduduk kawasan itu dan akan melaksanakan pembinaan infrastruktur berkenaan mengikut kemampuan kewangan yang dimiliki.

“Memanglah kerajaan membuat beberapa janji semasa pilihan raya. Ini kerana banyak permintaan diminta oleh rakyat kerana Manik Urai ini kawasan pedalaman dan kebanyakan mereka memerlukan bantuan kerajaan seperti bantuan membina dan memperbaiki rumah serta bantuan kebajikan masyarakat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Keputusan pilihan raya kecil DUN Manik Urai memihak kepada calon PAS Mohd Fauzi Abdullah yang meraih 5,348 undi berbanding calon BN Tuan Aziz Tuan Mat iaitu 5,283 dengan majoriti 65 undi.

Sepanjang lapan hari berkempen, BN berjanji akan membawa pembangunan di kawasan itu, antara lain membina jambatan baru di Manik Urai Lama dan Masjid di Temalir selain berhasrat menjadikan Manik Urai sebagai Kota Agropolitan.

“Kita bercadang untuk meneruskan memberi perkhidmatan kepada kawasan ini dan kawasan-kawasan lain di Kelantan sebab kita rasa perubahan sudah berlaku. Kita buat ini sebagai tugas kerajaan pusat dan harap pilihan raya umum ke-13 rakyat Kelantan akan menilai kesungguhan dan komitmen kita untuk membantu menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kemenangan tipis PAS juga membuktikan rakyat Kelantan sudah merasa terlalu lama di bawah pemerintahan Menteri Besar Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan mula menunjukkan sokongan kepada BN.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah lebih 100 hari jadi PM.

Ini adalah satu undi keyakinan kepada PM yang telah melaksanakan beberapa pembaharuan dalam dasar,” katanya.

Katanya post-mortem pilihan raya kecil itu akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi BN bulan depan.

Sementara itu Mustapa turut menyokong cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji semula undang-undang berkempen pada mana-mana pilihan raya akan datang berikutan berlakunya pelanggaran syarat berkempen antaranya mengadakan sebarang kempen pada hari pengundian sedangkan perkara itu dilarang.

“Kita harap dipertimbangkan tidak membenarkan kempen selepas pukul 12 tengah malam. Tiada sebarang kempen dalam erti kata mengibarkan bendera, penyokong-penyokong berada di tempat mengundi untuk melaungkan slogan menghina pemimpin-pemimpin,” kata beliau.

Mustapa berkata cadangan itu juga bertujuan untuk mengurangkan ketegangan di kalangan penyokong parti yang bertanding, menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengelakkan kesesakan lalu lintas.

— BERNAMA

Mahkamah Tinggi dengar permohonan Anwar dapatkan dokumen kes liwat


Terkini
15/07/2009 4:29pm

KUALA LUMPUR 15 Julai – Mahkamah Tinggi hari ini mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dokumen berkaitan kes liwatnya selepas menolak permohonan Anwar untuk penangguhan bagi melantik peguam lain menggantikan Sulaiman Abdullah.

– Utusan

GEMPA BUMI KUAT DAN TSUNAMI DIKESAN DI NEW ZEALAND

Terkini
15/07/2009 8:52pm

Gempa bumi kuat, tsunami di kesan di New Zealand

KUALA LUMPUR 15 Julai — Satu gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter berlaku berhampiran pantai barat Pulau Selatan New Zealand pada pukul 5.23 petang ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu berpusat di latitud 46.1 Selatan dan longitud 166.3 Timur, kira-kira 7,313 kilometer dari tenggara Sarikei, Sarawak.

Tsunami dikesan di sekitar kepulauan itu tetapi gempa bumi itu tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia.

Di MELBOURNE, Australia, amaran tsunami telah dikeluarkan bagi Pulau Lord Howe dan sebahagian kawasan di Tasmania ekoran gempa bumi di perairan pantai barat Pulau Selatan New Zealand.

Gempa bumi itu berlaku pada pukul 7.22 petang (waktu tempatan Australia) .

Laporan Biro Meteorologi Australia menyatakan: “Bagi kawasan perairan pantai yang rendah akan mengalami ancaman bah besar, ombak banjir deras dan ombak air laut kuat selama beberapa jam.”

- BERNAMA

Pegawai SPRM serbu pejabat anggota Exco Selangor

Terkini
15/07/2009 9:05pm

SHAH ALAM 15 Julai — Lima pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerbu pejabat anggota Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah di bangunan Sekretariat Negeri di sini hari ini.

Pegawai berkenaan dikatakan mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri dibelanjakan.

Dalam serbuan kira-kira 5 petang, SPRM turut merampas sebuah komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) dari pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Seri Kembangan itu yang terletak di tingkat 15 bangunan berkenaan.

Setiausaha politik Yong, Teoh Beng Hock, turut ditahan oleh pegawai SPRM untuk disoal.

Yong adalah antara tujuh Adun dan anggota Exco yang disiasat oleh SPRM kerana didakwa menyalahgunakan peruntukan negeri yang disalurkan menerusi Pejabat Daerah Petaling.

— BERNAMA

Tuesday, July 14, 2009

SPR akan kaji semula undang-undang berkempen

Terkini
14/07/2009 10:58pm

KUALA KRAI 14 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang mengkaji semula undang-undang berkempen pada mana-mana pilihan raya akan datang berikutan berlakunya pelanggaran syarat berkempen seperti di Manik Urai.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, arahan tidak mengadakan sebarang kempen pada hari pengundian sepatutnya dipatuhi oleh semua parti politik yang bertanding.

“Ya, saya kecewa apa yang berlaku pada pilihan raya kecil Manik Urai hari ini apabila parti politik yang bertanding masih lagi meraih dan merayu undi (pada hari pengundian).

“Bukan itu sahaja mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat dan beberapa perkara lain yang tidak elok,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman kemenangan calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah di pusat penjumlahan undi di Dewan Petra, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 di sini, malam ini. - Bernama

Pas kekalkan kerusi DUN Manek Urai

Terkini
14/07/2009 9:06pm

KUALA KRAI 14 Julai - Pas mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai setelah calonnya, Mohd. Fauzi Abdullah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat dengan majoriti 65 undi dalam satu pilihan raya kecil hari ini.

Mohd Fauzi, 50, memperolehi 5,348 undi manakala Tuan Aziz , 39, mendapat 5,283 undi.

— BERNAMA

Keputusan pilihan raya seawal 8 malam ini

KUALA KRAI 13 Julai - Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai dijangka diketahui seawal pukul 8 malam esok, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR tidak menjangka sebarang masalah untuk mengumumkan keputusan awal berdasarkan kawasan DUN itu yang kecil.

''Sasaran kami ialah lebih 85 peratus daripada 12,293 pengundi akan mengundi pada hari berkenaan kerana 90 peratus daripada pengundi adalah petani, penoreh getah dan nelayan. Jadi mereka tidak tertakluk kepada hari bekerja.

''Lebih kurang 1,300 pengundi luar pula, bukan semuanya dari Lembah Klang. Kebanyakan dari sekitar Kelantan dan Pahang, jadi saya harap mereka dapat pulang dan keluar mengundi beramai-ramai esok,'' katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra I di sini hari ini.

Beliau berkata, suasana kempen yang bermula 6 Julai lepas berjalan dengan aman dan tidak ada sebarang insiden buruk yang boleh menjejaskan perjalanan proses pilihan raya kecil dilapor berlaku.

''Kami harap sehingga calon yang menang diumum, tidak akan berlaku sebarang perkara yang tidak diingini. Melalui pemantauan yang dibuat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya pula didapati parti yang bertanding mematuhi undang-undang dari segi pemasangan bahan kempen,'' katanya.

Bagi bahan kempen yang menyalahi peraturan, tindakan menurunkan bahan berkenaan telah dibuat dan pasukan ini mendapat kerjasama daripada wakil-wakil parti, katanya.

Abdul Aziz berkata, maklumatmaklumat pengundi seperti nama pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor siri dalam daftar pemilih boleh didapati di 25 barung SPR yang dibuka dalam jarak 50 meter di luar pusat mengundi.

''Sejumlah 72 kerusi roda iaitu masing-masing lapan kerusi roda bagi setiap sembilan pusat mengundi akan disediakan SPR untuk kemudahan pengundi-pengundi uzur atau kurang upaya,'' katanya.

Pusat pengundian juga disediakan dengan Zon Umum Menurunkan Pengundi bagi kenderaan yang membawa pengundi ke tempat mengundi, katanya.

''Tiada sebarang bendera atau lambang parti atau apa-apa benda yang menjurus kepada bentuk kempen dibenar dilekatkan pada kenderaan itu melainkan pelekat kenderaan khas yang telah diedarkan kepada parti bertanding,'' katanya.

Abdul Aziz berkata, sebarang aduan berkaitan perjalanan pilihan raya kecil itu termasuk yang berkaitan dengan aktiviti kempen boleh dibuat ke Bilik Gerakan SPR di talian 09-7471966 atau 09-7471998.

Beliau turut meminta kerjasama semua parti politik dan calon yang bertanding supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan serta arahan polis bagi menjamin kelancaran pilihan raya kecil itu.

''Tempoh berkempen yang bermula pada hari penamaan calon, 6 Julai lepas akan berakhir pukul 12 tengah malam ini, selepas itu tidak dibenarkan lagi sebarang aktiviti berkempen, organisasi media juga diminta mematuhi arahan larangan berkempen pada hari mengundi,'' katanya. - BERNAMA

KPI menteri diumum Jun 2010

Terkini

PUTRAJAYA 13 Julai - Penilaian tahap pertama terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Nasional dan KPI Menteri-Menteri Kabinet akan diumumkan pada Jun tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, ia dilakukan setelah melalui proses enam bulan selepas pelan tindakan KPI Nasional dan menteri diumumkan pada Januari 2010.

''Ini cukup mencabar bagi menunjukkan sejauh mana tahap penyampaian untuk selesaikan masalah-masalah utama rakyat bagi membolehkan kita mara ke depan dalam mencapai perpaduan negara.

''Di samping itu, kita perlu menentukan daya saing ekonomi dan menjamin pertumbuhan sosioekonomi yang seimbang dan berterusan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau menjelaskan mengenai KPI Nasional dan KPI Menteri-menteri sebagai pencapaian terhadap enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Nasional yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 11 Julai lalu.

Sempena 100 hari pentadbirannya Sabtu lalu, Najib mengumumkan enam KRA Nasional untuk mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan.

Keenam-enam bidang itu ialah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Selain itu, ia juga meliputi memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Menurut Tsu Koon, pelan tindakan bagi KPA Nasional akan diumumkan satu persatu oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri terbabit mulai September ini.

Jelas beliau, untuk itu satu pelan sistem penyampaian yang konkrit bagi KRA tersebut akan dirumuskan dalam Bengkel Kabinet keempat pada penghujung Ogos ini.

''Pada hujung bulan ini, Perdana Menteri akan umumkan sekurang-kurangnya satu KPI bagi KRA Nasional tersebut.

''Ini sebagai sasaran untuk sama-sama mencapainya dalam tempoh tertentu seperti antara satu hingga dua tahun seperti meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam di kawasan bandar," katanya.

Tsu Koon berkata, dari November hingga Disember ini, Perdana Menteri akan berbincang dan membuat penilaian dengan setiap menteri mengenai KRA dan KPI di kementerian masing-masing.

''Bagi KRA tertentu, ada yang dapat dicapai dalam jangka masa pendek seperti meningkatkan bekalan air dan elektrik bagi penduduk luar bandar.

''Bagaimanapun selepas enam aspek yang ditentukan dalam KRA itu tercapai, kita akan tumpukan kepada isu-isu lain yang dibangkitkan oleh rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat memberikan pandangan dan maklum balas terhadap KRA tersebut.

''Ini boleh dilakukan melalui media massa, tinjauan ramai secara dalam talian, maklum balas secara terus kepada jabatan dan agensi terbabit atau melalui penilaian di kaunter," katanya.

300 penyokong Pas, BN bergaduh di SK Peria

Terkini
14/07/2009 2:38pm

KUALA KRAI 14 Julai – Kira-kira 300 penyokong Pas dan Barisan Nasional (BN) terlibat dalam satu pergaduhan di Sekolah Kebangsaan Peria dekat sini kira-kira 12 tengah hari ini.

Sekolah berkenaan merupakan salah satu pusat pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Pergaduhan tersebut kemudian berjaya dileraikan oleh pihak polis dan bagi meningkatkan keselamatan sebanyak empat buah trak unit tindakan ringan polis di sekolah berkenaan.

Ekoran daripada pergaduhan itu, beberapa orang penyokong dari kedua-dua belah pihak mengalami kecederaan.

Kesemua mereka yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Krai.

Terdahulu iaitu kira-kira pukul 11 pagi berlaku insiden membaling batu dan botol antara kedua-dua belah di sekolah yang sama.

- Utusan

SPR yakin sasaran 85 peratus keluar mengundi dicapai

Terkini
14/07/2009 3:05pm

KUALA KRAI 14 Julai – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya yakin sasaran 85 peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai boleh dicapai.

Malah, katanya, SPR tidak menolak kemungkinan peratusan pengundi boleh mencecah 90 peratus memandangkan tempoh mengundi masih berbaki tiga jam.

``Pada sebelah pagi, peratusan pengundi meningkat sebanyak 10 peratus pada setiap jam.

``Pada pukul satu tengah hari tadi, jumlah keluar mengundi berada pada paras 76 peratus dan ia meningkat kepada 80 peratus pada pukul dua.

``Jika peratusnya meningkat pada setiap jam yang masih berbaki, SPR tidak menolak kemungkinan ia akan mencecah 90 peratus,’’ katanya. - Utusan

Mafrel puas hati proses pengundian lancar

Terkini
14/07/2009 3:05pm

KUALA KRAI 14 Julai – Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian Pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai sehingga petang ini.

Ketua Misi Pemerhatian Mafrel, Dr. Abdul Halim Yusof berkata, hasil pemantauan pihaknya di setiap peti undi mendapati pilihan raya kecil itu berjalan lancar.

“Ketegangan agak berkurangan, proses pengundian berjalan lebih lancar walaupun tercetus sedikit gangguan tetapi pada tahap minimum,” ujarnya kepada Utusan Malaysia. - Utusan

76.2 peratus keluar mengundi, SPR tidak terima aduan

Terkini
14/07/2009 3:00pm

KOTA BHARU 14 Julai – Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, Abdul Rahim Mat Salleh memberitahu, setakat pukul 2 petang ini, SPR tidak menerima apa-apa aduan berhubung perjalanan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

“Sehingga pukul 2 petang tadi, SPR tidak menerima apa-apa aduan dan semuanya berjalan dengan lancar dengan jumlah pengundi yang keluar ialah 76.2 peratus atau 9,359 orang.

“Bagaimanapun berlaku sedikit kekecohan di Sekolah Kebangsaan Sungai Peria antara penyokong kedua-dua belah pihak namun dapat diatasi pihak polis di sana yang segera menyurai dan mententeramkan keadaan,” ujarnya.

Kekecohan tersebut menyebabkan dua ahli Puteri UMNO Kelantan dikejarkan ke hospital Kuala Krai kerana cedera di belakang.

Namun, Abdul Rahim memberitahu setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa aduan rasmi mengenainya. - Utusan

Penyokong Pas-UMNO perang mulut

Terkini
14/07/2009 1:04pm

KUALA KRAI 14 Julai – Kedudukan penyokong Pas dan UMNO yang terlalu dekat di beberapa buah pusat pengundian menyebabkan berlaku perang mulut antara kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, situasi itu berjaya ditenangkan oleh anggota polis yang mengawal keadaan.

Insiden dikatakan berpunca daripada penyokong-penyokong Pas yang menaikkan logo parti sedangkan perkara itu dilarang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Tindakan mereka itu telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan penyokong Barisan Nasional (BN). - Utusan

Monday, July 13, 2009

Speaker bias: Khir diarah keluar dewan

Terkini
13/07/2009 12:18pm

SHAH ALAM 13 Julai - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini hangat apabila Ketua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo diarahkan keluar daripada dewan.

Arahan yang buat boleh Speaker, Teng Chang Khim yang dibuat kira-kira pukul 11.55 pagi itu dikeluarkan setelah Mohd. Khir enggan menarik balik perkataan 'Speaker bias' serta memohon maaf mengenai perkara itu.

Mohamad Khir mengeluarkan perkataan itu apabila mempertahankan tindakan beliau menerusi penguamnya yang mengemukakan surat saman kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng suee Lim di kawasan letak kereta bangunan DUN, Khamis lalu.

Chang Khim mendakwa, tindakan Mohd. Khir itu merupakan satu kesalahan yang besar kerana ia dianggap menghina DUN selain satu cubaan untuk menakutkan ADUN terutamanya daripada pakatan pembangkang daripada menjalankan tugas mereka. - Utusan

Friday, July 10, 2009

PPSMI: 80 peratus pengundi blog Tun M tidak sokong pemansuhan

Terkini
10/07/2009 5:51pm

KUALA LUMPUR 10 Julai — Kira-kira 80 peratus daripada 26,000 pengunjung blog Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengambil bahagian dalam undian blog didapati tidak menyokong keputusan kerajaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu.

Bekas perdana menteri itu yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan supaya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar semula di dalam Bahasa Melayu dan bahasa ibunda di sekolah Cina dan Tamil berkata, beliau mengadakan undian blog itu untuk mengkaji sendiri sentimen masyarakat berhubung pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang diperkenalkan pada 2003.

“Saya (anjur) blog poll ini supaya kita dapat tahu apa pendapat orang ramai dan tentu bila dapat result kalau tak dapat kemuka cara lain, sekurang-kurangnya dalam blog akan sampai, itupun kalau ada orang kerajaan baca blog saya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Wacana Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada keputusan pemansuhan PPSMI itu adalah salah, Dr. Mahathir menegaskan bahawa tujuan PPSMI diperkenalkan adalah supaya para pelajar dapat menguasai ilmu yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.

“Ia bukan mengenai cuba belajar bahasa Inggeris atau Melayu...ia semata-mata untuk pengetahuan kerana pengetahuan pada hari ini datang kepada kita dalam bahasa Inggeris.

“Hari ini pengetahuan berada dalam kalangan orang yang menulis dalam bahasa Inggeris dan atas sebab itu kami mahu belajar bahasa Inggeris untuk mendapatkan pengetahuan, bukan untuk belajar bahasa Inggeris tetapi Sains mempunyai istilah khas dalam bahasa Inggeris. Sebab itu kenapa penting untuk kita menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik,” katanya.

Mengenai pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr. Mahathir berkata, pertemuan itu hanyalah untuk sesi penerangan kepadanya berhubung isu PPSMI tetapi tidak dimaklumkan mengenai keputusan PPSMI.

Mengalu-alukan tindakan Muhyiddin untuk bertemu dan memberi penerangan kepadanya, Dr. Mahathir bagaimanapun menegaskan beliau tidak berharap dirujuk setiap kali kerajaan mahu melaksanakan perubahan dasar, terutama yang dibuat ketika di bawah pentadbiran beliau. - Bernama

Gagasan '1Malaysia' boleh jadi jenama hebat - Muhyiddin

Terkini
10/07/2009 4:09pm

KAMPAR 10 Julai — Gagasan ’1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’ boleh menjadi satu jenama hebat sekiranya seluruh lapisan masyarakat memahami konsep yang dibawa, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, konsep itu membawa maksud dan komponen yang baik antaranya semangat perpaduan, kerjasama, saling bantu-membantu dan tidak ada perbezaan layanan dalam kesaksamaan kepada semua lapisan masyarakat.

“Untuk memahami gagasan ini yang perlu diperjelaskan lagi kepada rakyat ia akan mengambil masa. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan masuk 100 hari, ini idea baru dan ia mengambil masa untuk orang faham.

“Bukan (konsep) 1Malaysia sahaja tetapi konsep rakyat didahulukan jangan diputar-belit sehingga menimbulkan salah faham kerana ia satu pendekatan penting yang boleh diperluaskan dalam pelbagai bentuk,” katanya pemberita selepas melancarkan Festival Minda Malaysia kelima anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia Mental Literacy Movement dan Kolej TAR di sini hari ini.

Katanya makna dan konsep 1Malaysia akan dijelaskan kementerian dan agensi kerajaan terutama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

- BERNAMA

Sembilan pakar ekonomi anggotai MPEN

Terkini
10/07/2009 3:28pm

PUTRAJAYA 10 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan sembilan tokoh untuk menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN).

Menurut Perdana Menteri, kesemua mereka merupakan pakar ekonomi tempatan dan luar negara.

"Penglibatan dan penggabungan tokoh-tokoh pakar tempatan serta luar negara yang berpengalaman luas dan mendalami dari segi perspektif global adalah untuk memberi pandangan dan syor yang komprehensif bagi merangka strategi model ekonomi baru yang berkesan.

"Ia bertujuan mengatasi cabaran ekonomi negara untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mereka yang dilantik ialah:

1. Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Beliau merupakan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia; ahli Majlis Inovasi Negara dan penasihat kepada Institut Penyelidikan Pengajian Tinggi Kebangsaan.

2. Datuk Andrew Sheng

Beliau merupakan bekas Ketua Pakar Ekonomi Bank Negara dan ahli Majlis Ekonomi. Beliau juga ialah Ketua Penasihat Suruhanjaya Kawalan Perbankan China dan Ahli Lembaga Kawalan Pusat Kewangan Qatar.

3. Datuk Dr. Zainal Aznam Mohd. Yusof

Beliau ialah ahli Majlis Ekonomi; bekas Timbalan Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) serta pernah menjadi perunding kepada Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unido), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan Bank Dunia.

4. Datuk Dr. Hamzah Kassim

Beliau ialah ahli penasihat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) dan bekas Pengarah Kajian ISIS. Beliau pernah menyediakan Rancangan Induk Teknologi Industri dan memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam industri di peringkat antarabangsa dan sektor awam.

5. Datuk Nicholas S. Zefferys

Beliau merupakan penasihat korporat yang mempunyai 40 tahun pengalaman dalam jawatan pengurusan strategik di syarikat multinasional merentasi beberapa bidang industri termasuk elektronik, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan serta kewangan. Pada masa ini beliau merupakan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat dalam dan luar negara.

6. Dr. Mahani Zainal Abidin

Beliau ialah Ketua Pengarah ISIS dan pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pasukan Petugas Khas Globalisasi serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

7. Dr. Yukon Huang

Pada masa ini, beliau ialah Penasihat Kanan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB). Beliau merupakan pakar dalam bidang kewangan dan pembangunan meliputi Wilayah Asia Timur serta bekas Kesatuan Soviet.

8. Dr. Horni J. Kharas

Beliau merupakan Fello Kanan Pusat Pembangunan Wollfensohn, Brookings Institution dan Ketua Pakar Ekonomi Wilayah Asia Timur di Bank Dunia. Kepakarannya meliputi bidang perancangan dasar bagi pembangunan ekonomi, pembangunan sektor swasta dan perdagangan antarabangsa.

9. Profesor Dr. Danny Quah

Beliau adalah Ketua Jabatan Ekonomi di London School of Economics (LSE). Beliau juga menjadi pensyarah di Universiti Harvard dan penasihat kepada Bank of England, Bank Dunia serta Lembaga Kewangan Singapura.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, 59, dilantik sebagai Pengerusi MPEN berkuat kuasa 1 Jun lalu. - Utusan

Kerajaan memerlukan tempoh sehingga 2012 untuk memansuhkan dasar PPSMI

Terkini
10/07/2009 2:47pm

KAMPAR 10 Julai - Kerajaan memerlukan tempoh sehingga 2012 untuk memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana tidak mahu terburu-buru serta melakukan kesilapan seperti sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tempoh dua tahun setengah itu penting bagi membuat persiapan-persiapan diperlukan.

"Ada sebab-sebab yang telah dijelaskan, kalau boleh saya mahu mulakan (pemansuhan PPSMI) besok, bukan 2012. Tetapi kita kena pastikan segala kelengkapan cukup terutama kalau hendak memulakan di sesetengah sekolah."

"Saya faham pejuang bahasa kalau boleh esok kita mulakan. Tetapi ini soal ada masalah-masalah dari segi persiapan, kita kenalah bersikap realistik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Minda Malaysia Kelima yang diadakan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini. - Utusan

DAP Kedah kembali sertai kerajaan pakatan pembangkang

Terkini
10/07/2009 2:47pm

ALOR SETAR 10 Julai – DAP Kedah hari ini mengumumkan menyertai semula kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini selepas keluar daripada pakatan itu 10 hari lalu.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su berkata, keputusan tersebut dibuat setelah ahli DAP negeri sebulat suara bersetuju untuk kembali menyokong kerajaan negeri pimpinan Pas.

Katanya, mereka berpendapat segala isu berbangkit sebelum ini sudah selesai dan yakin dapat berkerjasama dengan kerajaan negeri berikutan penubuhan sekretariat bersama bagi memastikan perbezaan pendapat antara mereka dapat diselesaikan dengan baik.

"Kami akan menghantar surat kepada jawatankuasa tertinggi parti untuk memaklumkan bahawa DAP Kedah menarik balik surat keluar daripada pakatan pembangkang negeri Kedah yang dihantar pada 1 Julai lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan keputusan itu juga, wakil rakyat tunggal parti itu di negeri ini, Lee Guan Aik yang sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkecuali kembali menjadi penyokong kerajaan negeri.

Ketegangan hubungan antara DAP Kedah dan kerajaan negeri memuncak pada 1 Julai lalu apabila parti itu mengisytiharkan keluar pakatan pembangkang.

Ini kerana mereka tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di sini. - Utusan

Mansuh PPSMI bukan desakan - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR 9 Julai - Keputusan kerajaan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bukan kerana desakan pihak tertentu sebaliknya ia hasil keputusan analisis pelaksanaan dasar itu selama enam tahun.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak boleh dengan serta-merta menukar dasar yang dilaksanakan tanpa membuat pertimbangan sewajarnya walaupun wujud desakan kuat supaya ia dimansuhkan.

Beliau yang bersetuju dengan langkah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 berkata, keputusan itu dibuat setelah dianalisis keberkesanan pelaksanaan dasar itu sejak 2003.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima berhubung keberkesanan dasar itu, menunjukkan ia gagal.

Kerajaan jelas beliau, harus menjalankan kajian terlebih dahulu untuk memastikan keputusan yang dibuat lebih adil kepada semua pihak.

"Sebelum ini kita banyak mendapat memorandum meminta untuk mengkaji semula, maka kita menetapkan supaya satu kajian dibuat mengikut tempoh pelaksanaan dasar itu iaitu selama enam tahun (2003 hingga 2009).

"Dan semalam keputusan telah dicapai menerusi kajian selama enam tahun itu. Itu membuktikan keputusan semalam dibuat bukan kerana desakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Masjid di Jerman di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI dengan Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Perubahan pelaksanaan dasar tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Abdullah berkata, sejak PPSMI dilaksanakan Kementerian Pelajaran telah dari awal bersedia untuk melihat semula dasar tersebut sama ada ia wajar diteruskan atau tidak.

Katanya, desakan mengenai PPSMI dan permintaan untuk dikaji semula berlaku ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri pada 2004.

Jelasnya, setelah berbincang dengan Menteri Pelajaran pada masa itu (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), kerajaan memutuskan supaya dasar tersebut diberi kesempatan untuk dilaksanakan dari 2003 hingga 2009.

Kerajaan jelas beliau, terpaksa meneruskan dasar itu berikutan tidak mahu pelajar terganggu dan seterusnya menjejaskan pembelajaran pelajar.

Abdullah berkata, selain memartabatkan bahasa Melayu, penggunaan bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan lagi dan rakyat harus menguasai kedua-dua bahasa itu.

"Saya yakin, dasar baru ini akan memantapkan lagi pembelajaran para pelajar dan mereka juga akan lebih mudah menguasai kedua-dua bahasa itu tanpa ada sebarang masalah pada masa depan terutama untuk ke universiti," katanya.

Sementara itu, ditanya pandangannya mengenai pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama 100 hari memimpin negara, Abdullah berkata, beliau berjaya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Beliau juga yakin segala dasar yang dilaksanakan Najib termasuk berkaitan ekonomi akan diterima oleh rakyat.

"Najib merupakan individu yang saya pilih untuk memimpin negara, beliau mampu dan dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau semakin menjadi perhatian rakyat," katanya.

Manek Urai 'anak emas'

KUALA KRAI 9 Julai - Bukan setakat anak angkat tetapi anak emas.

Itulah janji Barisan Nasional (BN) jika berjaya merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai daripada genggaman Pas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustapa Mohamad berkata, jaminan itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beliau dalam pertemuan malam tadi di sini.

Menurutnya, BN memang ikhlas dan jujur membantu nasib penduduk DUN Manek Urai yang sewajarnya memang perlu dibela setelah diabaikan oleh kerajaan Pas Kelantan.

"BN ikhlas dan jujur serta cakna membantu penduduk Manek Urai. Buktinya memang jelas dan telah diketahui oleh semua pihak bahawa BN pada setiap masa membantu rakyat walaupun di negeri yang dikuasai pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini hari ini.

Sempena majlis itu yang disertai sebanyak tiga buah sekolah menengah dan 10 buah sekolah rendah di dalam DUN Manek Urai, satu acara penyampaian hadiah kecemerlangan turut disampaikan kepada pelajar terbaik.

Mustapa berkata, kerajaan BN telah banyak membawa pembangunan di Kuala Krai seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Hospital Kuala Krai dan kemudahan jalan raya yang baik.

"Saya merayu adik kakak semua berilah peluang kepada BN untuk melakukan perubahan, jika tidak berpuas hati, tolak kami pada pilihan raya umum akan datang.

"Tetapi kami berjanji akan melakukan terbaik sekiranya diberikan peluang kali ini," katanya.

PPSMI: Terima keputusan dengan hati terbuka

KUALA LIPIS 9 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta semua pihak menerima keputusan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dengan hati terbuka.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, keputusan tersebut dibuat kerajaan berdasarkan kepentingan rakyat.

Jelasnya, ia telah melalui proses perjalanan yang panjang, bermula dari perbincangan meja bulat sehingga ke peringkat akar umbi.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah begitu teliti. Keputusan ini menggambarkan keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Agropolitan Gahai dan Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (PROSDET) Kampung Pantos di sini, hari ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Hassan Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya mulai 2012.

Beliau turut mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Menurut Mohd. Shafie, beliau sendiri bersetuju dengan dasar baru yang dibentangkan.

''Banyak kerja perlu dibuat untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar," ujarnya.

Antaranya menurut beliau, guru-guru Bahasa Inggeris yang berpengalaman dan mahir perlu ditempatkan di sekolah luar bandar bagi memastikan pelaksanaan tindakan itu berjalan lancar.

"Di kawasan luar bandar, para pelajar tidak mempunyai kemudahan pembelajaran seperti di bandar. Di luar bandar pelajar hanya bergantung kepada guru mereka," katanya.

Pennant sah berpindah dari Liverpool ke Zaragoza

Terkini
10/07/2009 6:28am

PARIS 10 Julai - Pemain sayap Liverpool, Jermaine Pennant melengkapkan perpindahannya dari Anfield ke Real Zaragoza hari ini untuk bermain selama tiga tahun bersama kelab dari Sepanyol itu.

Pemain berusia 26 tahun itu yang telah bermain pada perlawanan akhir Liga Juara-juara 2007 berkata, beliau menolak beberapa tawaran dari kelab lain kerana mahu bermain di Sepanyol.

"Saya mahu datang ke Sepanyol. Saya menerima tawaran daripada kelab-kelab ternama lain di Eropah tetapi saya mahu bersama Real Zaragoza," kata Pennant yang telah bermain dalam 163 perlawanan selama tiga musim bersama Liverpool, dalam laman web kelab itu. - AFPPennant sah berpindah dari Liverpool ke Zaragoza

PARIS 10 Julai - Pemain sayap Liverpool, Jermaine Pennant melengkapkan perpindahannya dari Anfield ke Real Zaragoza hari ini untuk bermain selama tiga tahun bersama kelab dari Sepanyol itu.

Pemain berusia 26 tahun itu yang telah bermain pada perlawanan akhir Liga Juara-juara 2007 berkata, beliau menolak beberapa tawaran dari kelab lain kerana mahu bermain di Sepanyol.

"Saya mahu datang ke Sepanyol. Saya menerima tawaran daripada kelab-kelab ternama lain di Eropah tetapi saya mahu bersama Real Zaragoza," kata Pennant yang telah bermain dalam 163 perlawanan selama tiga musim bersama Liverpool, dalam laman web kelab itu. - AFP

Thursday, July 9, 2009

PPSMI dimansuh 2012

Oleh ZULKIFLI JALIL, ZABRY
MOHAMAD dan THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 8 Julai – Mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Keputusan Kabinet hari ini mengubah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada 2003.

Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.

Kerajaan juga menawarkan pendekatan baru dalam pengajaran Sains dan Matematik bagi meningkatkan keupayaan murid untuk menguasai kedua-dua cabang ilmu itu dan teknologi demi masa depan negara.

Kata beliau, keputusan memansuhkan PPSMI dibuat setelah kerajaan meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai dasar itu yang menunjukkan ia tidak dapat dilaksanakan seperti dihasratkan.

Justeru untuk memastikan pemansuhan itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.

“Pelaksanaan (sepenuhnya dalam bahasa Melayu) akan dibuat secara bertahap di tahun satu dan tahun empat di sekolah rendah dan tingkatan satu dan empat di sekolah menengah bermula pada 2012.

“Perubahan ini bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Menurut Muhyiddin, pemantauan Kementerian Pelajaran tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik.

Begitu juga secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53 hingga 58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Pada masa sama, kata beliau, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008 merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.

“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Muhyiddin memberitahu, kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal, iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

“Berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJKC dan bahasa Tamil (SJKT),” katanya.

Abdullah setuju langkah kerajaan mansuhkan PPSMI

Terkini
09/07/2009 9:35pm

KUALA LUMPUR 9 Julai — Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersetuju dengan keputusan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkuatkuasa 2012 di sekolah-sekolah kebangsaan.

Beliau berkata, maklumat yang diterima berhubung keberkesanan dasar itu menunjukkan ia tidak menunjukkan kejayaan tetapi kegagalan.

“Berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, saya dapati adalah wajar untuk ia dimansuhkan.

“Ini memang menjadi satu keputusan yang mendapat sokongan majoriti. Walaupun ada yang tidak menyokong tetapi yang sokong lebih banyak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan “Pameran Masjid di Jerman” yang berlangsung di Muzium Kesenian Islam di sini.

Abdullah bagaimanapun berkata, selain memartabatkan Bahasa Melayu, penggunaan Bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan lagi dan rakyat harus menguasai kedua-dua bahasa itu.

- Bernama

Monday, July 6, 2009

Najib umum KRA dan KPI dalam masa terdekat

Terkini
06/07/2009 10:20am

PUTRAJAYA 6 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan mengumumkan Bidang Keputusan Utama (KRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara yang akan menjadi keutamaan kerajaan bagi tempoh beberapa tahun akan datang, dalam masa terdekat.

“Ini merupakan satu pendekatan yang akan memberi nafas baru dalam usaha kita membawa negara ke tahap yang lebih berjaya lagi,” katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Najib bagaimanapun berkata beliau tidak bercadang untuk menghuraikan apa yang termaktub sebagai KRA dan KPI, yang akan menjadi kaedah pembaharuan dalam cara untuk mentadbir negara, pada hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mahu hubungan dan perkongsian di antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk menjayakan agenda negara.

Selain pentingnya perkongsian di antara sektor awam dan sektor swasta, beliau berkata perkongsian di antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam perlu mantap dan serasi kerana yang akan mendapat faedah ialah rakyat dan negara. - Bernama

Pertandingan dua penjuru di Manek Urai

Terkini
06/07/2009 11:36am

KUALA KRAI 6 Julai – Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pas dan Barisan Nasional (BN).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Husin berkata, sehingga selepas waktu bantahan tamat pukul 11 pagi, pihaknya mengesahkan dua calon telah layak bertanding.

Katanya, mereka ialah Mohd. Fauzi Abdullah dari Pas dan Tuan Aziz Tuan Mat dari BN.

“Tuan Aziz menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi dan Mohd. Fauzi pada pukul 9.18 pagi.

“Sehingga waktu bantahan ditutup, kita menerima hanya satu bantahan dan selepas penjelasan diberikan bantahan itu ditolak,” katanya. – Utusan.

Sunday, July 5, 2009

Ananda beli Newcastle RM547 juta?

KUALA LUMPUR -- Individu kedua terkaya di Malaysia, Tan Sri T. Ananda Krishnan disebut-sebut sebagai prospek utama untuk menjadi penyelamat kepada kelab bola sepak England, Newcastle United.

Akhbar Britain, The Sun semalam melaporkan perjanjian bernilai 95 juta pound (RM547 juta) meletakkan taikun media dan telekomunikasi Malaysia itu dalam senarai teratas prospek pembeli kelab The Magpies itu.

Akhbar berkenaan dalam laman web rasminya, www.thesun.co.uk melaporkan, Ananda menjadi calon pilihan selepas mengadakan pertemuan dengan pemilik kelab, Mike Ashley dan pengarah urusan mereka, Derek Llambias di London baru-baru ini.

Malah, menurut akhbar itu lagi, hartawan dari Malaysia itu bersetuju membeli kelab berkenaan dengan harga 40 juta pound (RM230.3 juta) lebih rendah daripada harga asalnya, 135 juta pound (RM752 juta) ketika ia dibeli oleh Ashley pada 2006.

Selain Ananda, terdapat konsortium lain, dipercayai dari Amerika Syarikat turut berada dalam senarai prospek pembeli, namun ketika ini, Ananda adalah pilihan utama Ashley, menurut The Sun.

Newcastle, yang ditubuhkan pada 1892 pernah menjadi antara kelab Inggeris digeruni dengan memiliki enam kejuaraan Piala FA (1910, 1924, 1932, 1951, 1952 1955), selain muncul naib juara Liga Perdana 1995/96 dan 1996/97.

Pasukan itu juga pernah muncul juara Divisyen Satu sebanyak empat kali, menjuarai kejuaraan Piala Intertoto Eropah 2006, Piala Antara Bandar raya 1969 dan naib juara Piala Intertoto Eropah 2001.

Malah, bekas penyerang antarabangsa dan kapten England, Alan Shearer antara bintang besar yang pernah menyarung jersi pasukan itu, selain bekas Pemain Terbaik Eropah 2001, Michael Owen, yang baru menandatangani kontrak bersama Manchester United.

Bekas penyerang United, Alan Smith, pemain tengah antarabangsa Ireland, Damien Duff dan bekas pemain tengah England, Nicky Butt pula masih kekal bersama pasukan itu.

Newcastle juga pernah dibimbing oleh pengurus ternama dunia seperti Kevin Keegan (1992-1997), Kenny Dalglish (1997-1998), Ruud Gullit (1998-1999), Sir Bobby Robson (1999-2004), Graeme Souness (2004-2006), Glenn Roeder (2006 2007), Sam Allardyce (2007-2008) dan Kevin Keegan pada 2008.

Bagaimanapun prestasi buruk yang dipamer pasukan itu musim lalu menyebabkan mereka tersingkir daripada Liga Perdana dan terpaksa bersaing dalam Liga Kejuaraan, musim depan - punca utama Ashley mahu menjual kelab The Magpies itu.

Shearer, walaupun gagal membawa impak besar selepas dilantik sebagai pengurus sementara Newcastle pada April lalu, bagaimanapun tetap menjadi pilihan Ananda untuk menguruskan pasukan andai rancangannya hendak membeli kelab England itu menjadi kenyataan.

Hartawan Malaysia itu, yang memiliki kekayaan RM25.9 bilion turut dilaporkan bersedia berbelanja besar bagi memastikan Newcastle dapat kembali dalam kancah Liga Perdana pada musim 2010/2011.

Ashley sebelum ini dilaporkan meletakkan 100 juta pound (RM555.7 juta) sebagai nilai The Magpies, namun dengan kelab itu tidak lagi berada dalam liga utama, maka adalah mustahil untuknya menetapkan harga yang tinggi.

Ananda, 71, merupakan individu ketiga terkaya di Asia Tenggara dengan menguasai gergasi telekomunikasi, Maxis Communications Berhad, syarikat televisyen berbayar, ASTRO All Asia Networks Plc. (ASTRO) dan Sistem Rangkaian Siaran Measat (MEASAT Broadcast Network Systems).

Saturday, July 4, 2009

Facebook perkenal kawalan baru rahsia peribadi

NEW YORK 3 Julai - Facebook sedang membaik pulih sistem kawalan kerahsiaan, dalam beberapa minggu akan datang sebagai usaha memudahkan keupayaan mengawal oleh penggunanya untuk menentukan golongan pengguna yang boleh atau tidak boleh melihat maklumat yang dikongsi dalam laman itu.

Kerahsiaan sudah menjadi perkara utama dan sering menjadi isu sensitif bagi Facebook kerana ramai orang menggunakannya untuk berkongsi maklumat peribadi dengan rakan-rakan dan keluarga serta orang lain.

Namun, setelah perkhidmatan rangkaian sosial yang berusia lima tahun itu memperluaskan pangkalan pengguna dan ciri-cirinya telah ditambah, menyebabkan kawalan kerahsiaan menjadi semakin rumit.

Syarikat Palo Alto yang berpusat di California semalam berkata, penyediaan kawalan baru itu akan memberikan pengguna lebih banyak keupayaan untuk mengawal sebarang gambar, mengemas kini maklumat dan maklumat peribadi yang mereka kongsi dengan rakan-rakan, keluarga dan orang yang tidak dikenali di dalam Facebook dan seterusnya melalui Internet.

Bagi menghasilkan kawalan yang lebih mudah, Facebook telah menggabungkan enam halaman rahsianya dan lebih daripada 30 kawalan menjadi satu halaman rahsia tunggal.

Pilihan itu juga akan diselaraskan bagi setiap kawalan supaya pilihan itu sentiasa sama, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini.

Ini bermakna bahawa untuk setiap bahan kandungan, pengguna boleh menekan butang ikon kunci untuk memilih sama ada mahu menunjukkannya kepada semua orang, atau hanya kepada rakan-rakan mereka atau rakan kepada rakan, teman sekerja atau sekolah atau kumpulan orang yang senarai terpilih.

Sebelum ini, pengguna terpaksa melayari dari satu halaman ke satu halaman untuk membolehkan atau menidakkan seseorang memasuki halaman mereka dan melihat gambar-gambar mereka, maklumat yang dikemas kini atau rangkaian yang dikongsi.

Dan kerana kawalan kerahsiaan itu telah tersebar dalam halaman-halaman yang berbeza-beza, malah selepas menghasilkan profil yang hanya boleh dilihat oleh rakan-rakan sahaja, gambar-gambar dalam profil tersebut masih boleh dilihat oleh orang lain.

Ketua Pegawai Kerahsiaan Facebook, Chris Kelly memberitahu persidangan yang dihadiri pemberita, berkata, perubahan tersebut tidak ada kaitan dengan pengiklanan atau maklumat Facebook yang akan dibuka kepada pengiklan.

Tambahnya, laman itu mahu orang ramai "boleh berkongsi maklumat dengan ramai orang atau hanya dengan orang yang mereka pilih sahaja."

Satu daripada kebanyakan rahsia penting Facebook yang telah disalah guna ialah alat pengesan yang dikenali sebagai Beacon iaitu pada lewat 2007, yang disiarkan oleh stesen penyiaran mengenai kegiatan pengguna di luar laman web itu, termasuk aktiviti pengguna membeli hadiah percutian bagi mereka yang boleh melihat maklumat tersebut

Syarikat akhirnya membenarkan pengguna untuk menutup Beacon itu. - AP

Usahawan Malaysia mahu beli kelab Newcastle United

KUALA LUMPUR 3 Julai – Sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dikaitkan berminat untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United, lapor media Britain hari ini.

Akhbar Mirror dalam laman webnya, www.mirror.co.uk memetik kenyataan pemilik Newcastle, Mike Ashley yang mengakui telah dikunjungi prospek pembeli - iaitu sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dalam satu pertemuan rahsia.

Ashley, seorang ahli perniagaan yang membina kekayaan menerusi rangkaian kedai barangan sukan mula menyuarakan hasrat untuk menjual kelab England itu selepas ia tersingkir daripada saingan Liga Perdana, musim lalu.

Identiti ahli perniagaan dari Malaysia itu tidak didedahkan, namun kehadiran mereka dikesan oleh kakitangan dan para pemain kelab ketika keempat-empat mereka dibawa melawat stadium dan gelanggang latihan.

Ashley yang membeli Newcastle dengan harga 135 juta pound (RM752 juta) pada 2006 dikatakan tidak sabar lagi untuk menjual kelab tersebut yang hingga kini masih belum memiliki pengurus, sebulan sebelum cabaran kejuaraan bermula.

Bulan lalu, ahli Lembaga Pengarah Newcastle United mengumumkan bahawa kelab itu akan dijual dengan harga 100 juta pound (RM555.7 juta).

Untuk rekod, syarikat automobil nasional, Proton merupakan syarikat Malaysia pertama melibatkan diri dalam bola sepak England menerusi penajaan jersi bekas kelab Liga Perdana, Norwich City pada musim 2003-2006.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula menjadi penaja jersi pengadil perlawanan Liga Perdana, yang mana logo mereka tertera di lengan baju pengadil dan pembantu pengadil dalam lebih 50 perlawanan.

Owen sah milik Manchester United

Terkini
04/07/2009 11:35am

Manchester, England 5 Julai - Michael Owen telah menyertai juara Liga Perdana England, Manchester United dengan kontrak selama dua tahun selepas diumumkan kelab tersebut kelmarin.

Owen, 29, yang sering mengalami kecederaan, bebas dari kelabnya, Newcastle selepas kontraknya tamat pada penghujung bulan lepas.

Dia telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Manchester kelmarin sebelum kembali ke pusat latihan United di Carrington untuk melengkapkan proses perpindahan tersebut.

- AFP

Friday, July 3, 2009

Kes permohonan Anwar didengar 8 Julai

Terkini
03/07/2009 2:51pm

KUALA LUMPUR 3 Julai - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 Julai ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan dokumen-dokumen berhubung kes liwat yang dihadapinya.

Pada hari yang sama, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md. Diah dijadualkan mendengar permohonan Ketua Pembangkang itu untuk membatalkan tuduhan meliwat pembantunya, Mohd. Shaiful Bukhari Azlan sebelum diteruskan dengan perbicaraan. - Utusan

ADUN tunggal DAP Kedah isytihar bebas, berkecuali

Terkini
03/07/2009 2:58pm

ALOR SETAR 3 Julai - Wakil rakyat tunggal DAP di Kedah Lee Guan Aik hari ini mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.

Sebagai ADUN bebas dan berkecuali, katanya, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.

Lee, ADUN Kota Darul Aman itu, berkata pendirian DAP negeri untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah telah dimaklumkan kepada DAP pusat menerusi sepucuk surat dua hari lepas.

“Bagaimanapun, kita tidak menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

- Bernama

Owen berpindah ke Manchester United?

Terkini
03/07/2009 8:23am

LONDON 3 Julai - Bekas pemain terbaik Eropah, Michael Owen dikatakan bakal berpindah ke Manchester United dari Newcastle United, lapor beberapa media British hari ini.

Pemain antarabangsa England itu mungkin berpindah ke kelab juara Liga Perdana itu jika beliau lulus ujian kesihatan, kata laporan tersebut.

Jurucakap Manchester United memberitahu BBC bahawa kelabnya tidak akan melayan berita berbentuk spekulasi. - Reuters