Thursday, February 25, 2010

Muhyiddin hairan tindakan Ku Li berhubung isu royalti minyak

Terkini

25/02/2010 2:04pm

PUTRAJAYA 25 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan tindakan serta kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan Persekutuan mengenai isu royalti minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu juga telah pun berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara tersebut.

"Saya dimaklumkan beliau (Tengku Razaleigh) telah berjumpa dengan Perdana Menteri, tetapi saya tidak tahu apakah sebab dia hendak teruskan langkah itu.

"(Tindakannya itu) seolah-olah macam beliau seorang saja yang memperjuangkan hak rakyat Kelantan... (seolah-olah) kita ini tiada langsung pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Transformasi Politeknik di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu, yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Terbaru, Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata, iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan. – Bernama

No comments:

Post a Comment