Thursday, February 25, 2010

Muhyiddin hairan tindakan Ku Li berhubung isu royalti minyak

Terkini

25/02/2010 2:04pm

PUTRAJAYA 25 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan tindakan serta kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan Persekutuan mengenai isu royalti minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri berkata, Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu juga telah pun berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara tersebut.

"Saya dimaklumkan beliau (Tengku Razaleigh) telah berjumpa dengan Perdana Menteri, tetapi saya tidak tahu apakah sebab dia hendak teruskan langkah itu.

"(Tindakannya itu) seolah-olah macam beliau seorang saja yang memperjuangkan hak rakyat Kelantan... (seolah-olah) kita ini tiada langsung pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Transformasi Politeknik di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang itu, yang terus mempersoalkan langkah kerajaan Persekutuan berhubung isu royalti minyak Kelantan.

Terbaru, Tengku Razaleigh dipetik sebagai berkata, iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan Persekutuan menerusi akhbar-akhbar bahasa Malaysia baru-baru ini menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan. – Bernama

Rasmi konvensyen PBB: PM akan ke Sarawak sekali lagi

Terkini

25/02/2010 1:59pm

KUCHING 25 Feb. – Hanya awal minggu ini, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan ke Sarawak, beliau sekali lagi akan berkunjung ke negeri itu pada 2 Mac ini, kali ini bagi merasmikan konvensyen ke-12 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Pada hari yang sama, Perdana Menteri turut dijadual merasmikan Pusat Konvensyen Borneo Kuching yang baru siap dengan nilai RM200 juta, yang bakal menjadi venue bagi persidangan PBB kelak.

Jika dalam lawatan dua hari sebelum ini, beliau lebih banyak melawat kawasan rumah panjang di pedalaman Sri Aman, Saratok dan Kanowit serta bazar di Simunjan sebagai menunaikan janjinya untuk lebih kerap melawat Sarawak, lawatan pada Mac ini pula adalah untuk menilai perasaan rakyat menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

Kehadiran Najib pada konvensyen PBB, sudah tentu adalah bagi mendapat gambaran sebenar dengan keadaan semasa di Sarawak menjelang pilihan raya negeri, yang perlu diadakan selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Antara isu penting yang dijangka dibawa semasa persidangan PBB kali ini, termasuklah pendirian kerajaan negeri berhubung polisi pemilikan tanah seperti tanah adat pribumi yang sentiasa menjadi isu panas pada setiap kali pilihan raya di Sarawak. – Bernama

Tuesday, February 23, 2010

Murugiah keluar PPP jika beliau sah bukan presiden

Terkini

23/02/2010 12:05pm

IPOH 23 Feb. – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk T. Murugiah berkata, beliau akan meninggalkan Parti Progresif Penduduk (PPP) jika Mahkamah Tinggi mengesahkan beliau bukan presiden parti itu yang sah.

Mahkamah dijangka mendengar pada 1 Mac ini permohonan Murugiah supaya pengisytiharan Tribunal Timbang Tara Malaysia (Mate) bahawa beliau adalah Presiden PPP yang sah dikuatkuasakan.

"Tapi sekiranya saya tewas, saya akan tinggalkan parti bersama-sama 210,000 ahli PPP di seluruh negara yang kini berada bersama-sama saya. Kami akan mencari satu platform yang baru selepas itu,” katanya kepada pemberita malam tadi selepas satu perjumpaan dengan penyokongnya di sini.

Murugiah dan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas terbabit dalam pertelingkahan merebut jawatan utama parti berkenaan sejak Mei tahun lalu.

Murugiah telah mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa yang menyaksikan beliau dipilih sebagai presiden tetapi Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan bahawa Kayveas adalah presiden yang sah.

Mate pula mendapati Murugiah adalah presiden yang sah dan ini mendorong beliau mengemukakan permohonan di mahkamah supaya keputusan tribunal itu dilaksanakan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Diana Md. Razali menetapkan tarikh 1 Mac ini untuk sebutan kes yang difailkan oleh Murugiah pada 28 Disember tahun lalu untuk menguatkuasakan keputusan Mate itu. – Bernama

Thursday, February 18, 2010

Kalakau Untol keluar BN untuk sertai pembangkang

Terkini

18/02/2010 2:57pm

TAMPARULI 18 Feb. – Bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Datuk Kalakau Untol hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan keanggotaan beliau dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn. Bhd., sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB), serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), di dalam satu sidang akhbar di sini.

Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) negeri selama 12 tahun sejak 1985.

Dengan perletakan jawatan dan keanggotaan dalam BN tersebut, beliau juga mengumumkan keputusan untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar kumpulan pembangkang Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani Pilihan Raya umum ke-13. – Bernama

Wednesday, February 17, 2010

Kes liwat Anwar: 500 bantah campur tangan Australia

Terkini

17/02/2010 1:20pm

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Kira-kira 500 individu yang mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun dan berarak secara aman di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia di Jalan Yap Kwan Seng di sini hari ini.

Kesemua mereka terdiri daripada ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO, MIC dan beberapa NGO dilihat berhimpun di sebuah restoran di jalan tersebut kira-kira pukul 9 pagi sebelum berarak ke pejabat suruhanjaya tinggi itu 45 minit kemudian.

Perhimpunan secara aman itu bagi mendesak kerajaan Australia supaya tidak masuk campur dengan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Utusan

Friday, February 12, 2010

Zahrain letak jawatan, keluar PKR serta-merta

Terkini

12/02/2010 1:11pm

PETALING JAYA 12 Feb. – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim hari ini meletakkan semua jawatannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mengumumkan untuk keluar parti itu serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat kerana beliau kecewa dengan pemerintahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta tidak lagi percaya dengan perjuangan pakatan pembangkang. - Utusan

Retak buku lali, Cole berehat tiga bulan

Terkini

12/02/2010 2:49am

LONDON 12 Feb. - Pemain pertahanan Chelsea, Ashley Cole terpaksa direhatkan kira-kira tiga bulan selepas mengalami keretakan buku lali ketika menentang Everton Rabu lalu.

Kelab dari London itu dalam laman webnya (www.chelseafc.com) berkata, pemain England berusia 29 tahun itu kemungkinan gagal beraksi untuk baki musim Liga Perdana yang akan berakhir 9 Mei, dan terpaksa berhadapan dengan kecerdasan untuk Piala Dunia di Afrika Selatan yang bermula 11 Jun.

Cole yang mempunyai 77 cap, menjadi pilihan utama untuk pertahanan kiri oleh pengurus England, Fabio Capello. - Reuters

Tuesday, February 9, 2010

Dr. Mahathir gembira, senang hati kepimpinan Najib

Terkini

09/02/2010 12:30pm

KULIM 9 Feb. – Bekas Perdana, Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau gembira dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Abduk Razak kerana mempraktikkan ciri-ciri pentadbiran yang memenuhi kehendak serta kepentingan rakyat dan negara.

"Saya telah beberapa kali menemui Najib sejak beliau mengambil alih kepimpinan negara dan merasa senang dengan cara beliau mentadbir sehingga kini,” katanya ketika berucap pada program Mesra Rakyat anjuran bersama UMNO Bahagian Padang Serai dan Yayasan Pembangunan Insan Pulau Pinang di sini malam tadi.

Beliau berharap Najib akan meneruskan tradisi bekerja dan berjasa kepada rakyat. – Bernama

Zambry berazam meneruskan tugas demi rakyat Perak

Terkini

09/02/2010 2:02pm

PUTRAJAYA 9 Feb. - Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir melahirkan kesyukuran kepada Allah di atas keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, yang mengisytiharkan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Perak adalah sah mengikut Perlembagaan.

Justeru, beliau berazam untuk meneruskan tugas dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat Perak.

Beliau juga berharap segala episod pergolakan politik di negeri itu akan berakhir dan rakyat dapat kembali bersatu tanpa mengira fahaman politik.

“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak berhenti berdoa untuk keadilan dan kesejahteraan negeri Perak.

“Sebagai insan saya merasai akan kekerdilan diri saya dan ia memberikan kesedaran untuk saya melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya kepada rakyat negeri Perak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Utusan

Monday, February 1, 2010

Mahkamah rayuan penentu kedudukan ADUN Kota Siputeh

Terkini

01/02/2010 3:54pm

JITRA 1 Feb. - Persoalan sama ada Ketua Umno Bahagian Jerlun Datuk Abu Hassan Sarip kekal sebagai wakil rakyat atau terpaksa mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh dijangka diketahui dalam tempoh terdekat ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan bagi menyelesaikan kemelut mengenai status kerusi DUN Kota Siputeh itu sama ada ia dikekalkan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) atau terpaksa memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

“Kita sedang menunggu keputusan Mahkamah Rayuan ini setelah panel hakim meneliti laporan bertulis penghakiman oleh Hakim Mahkamah Tinggi,” kata beliau ketika dihubungi Bernama. - Bernama

Sarawak dapat RM3.4 bilion di bawah NKRA

Terkini

01/02/2010 2:20pm

SIBU 1 Feb. - Sarawak akan menerima RM1.7 bilion untuk membina dan menaik taraf jalan raya dan sebanyak RM1.7 bilion lagi untuk melaksanakan projek bekalan elektrik di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi meningkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata negeri itu juga akan mendapat RM9 juta untuk melaksanakan projek bagi bekalan air dirawat.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan bagi kawasan Lanang yang disampaikan oleh anggota Parlimen kawasan itu Datuk Tiong Thai King, di sini malam tadi, katanya negeri itu juga akan mendapat RM100 juta bagi projek perumahan.

Mohd Shafie menjelaskan kosnya 10 kali lebih mahal bagi pelaksanaan projek infrastruktur di Sarawak berbanding di semenanjung berikutan keadaan muka bumi yang sukar dan tanah lembut di banyak tempat.

"Sebagai contoh, dalam pembinaan jalan raya, kontraktor perlu mengatasi masalah tanah lembut di banyak tempat. Mereka perlu memasang cerucuk bagi mengukuhkan jalan. Mereka perlu menghantar alat jentera dan bahan binaan di jarak yang jauh dengan muka bumi yang sukar, yang menyebabkan kos meningkat,” katanya. - Bernama

United belasah Arsenal; Adebayor gegar


LONDON: Penyerang England, Wayne Rooney merakamkan jaringan ke-100 kerjayanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menyumbat gol kedua membantu Manchester United membenam Arsenal 3-1 di Stadium Emirates, malam tadi.

Pemain berusia 24 tahun itu yang berada dalam prestasi memuncak ketika ini sudah menyumbat 22 gol dalam semua kejohanan musim ini dan membuat ketiadaan Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Real Madrid kurang dirasai.

United yang mengutip 53 mata - satu di belakang pendahulu, Chelsea membuka tirai jaringan menerusi Nani minit ke-33 sebelum Rooney menggandakan jaringan pada minit ke-37 sebelum Park Ji-sung mengesahkan tiga mata milik United dengan gol minit ke-52.

Gol sagu hati Arsenal disumbang oleh Thomas Vermaelen minit ke-80.

Sementara itu, Emmanuel Adebayor menandakan kepulangannya ke EPL selepas tragedi ngeri di Piala Negara-Negara Afrika dengan gol pertama ketika membantu Manchester City menewaskan Portsmouth 2-0 di Eastlands, malam tadi.

Adebayor yang terselamat dalam tragedi serang hendap ke atas bas pasukan Togo yang mengorbankan dua anggota pasukan sebelum kejohanan bermula, kelihatan ofsaid sebelum merembat masuk melepasi penjaga gol, David James pada minit ke-39.

Vincent Kompany menggandakan jaringan untuk kedudukan 2-0 sebaik tamat separuh masa ke atas pasukan tercorot yang dibelenggu masalah kewangan itu. - Reuters