Saturday, December 13, 2008

United berdepan aksi kritikal - Ferguson

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mengakui berdepan Tottenham Hotspurs hari ini merupakan perlawanan penting dan kritikal dalam menghidupkan peluang merebut kejuaraan Liga Perdana England musim ini.
Selepas tewas kepada Liverpool dan Arsenal di samping seri dengan Chelsea, Aston Villa serta Everton sebelum ini, pasukan bimbingannya tidak boleh lagi menerima satu lagi kekalahan.
Ternyata pertemuan di White Hart Lane kali ini dianggap Ferguson cukup mencabar berbanding musim-musim sebelumnya kerana faktor kedudukan mata ketika ini.
Pendahulu liga, Liverpool enam mata di depan manakala dengan Chelsea lima mata berbanding United di tangga ketiga.
"Ia saya anggap adalah antara perlawanan terpenting kami musim ini. Tottenham sedang berada pada prestasi terbaik mereka manakala kami perlu terus mengejar pencabar di atas.
"Biasanya pertemuan dua pasukan ini akan menjadi tumpuan dan berlangsung sengit setiap kali bertemu.
"Tetapi kami mempunyai rekod lebih baik ketika beraksi di tempat mereka. Harap kami masih punya peluang untuk mencabar selepas perlawanan itu nanti," kata Ferguson.
United akan terbang ke Tokyo untuk kejohanan kelab-kelab dunia dan itulah yang membuatkan Ferguson menganggap perlawanan dengan Tottenham amat penting kerana tugas berat yang bakal dihadapi anak-anak buahnya selepas itu.
Ditambah Liverpool pula beraksi di tempat sendiri menentang Hull manakala Chelsea menentang West Ham dengan atas kertas, kemenangan dua pasukan teratas itu sudah berada dalam tangan.
Malah, kebimbangan Ferguson itu makin ketara selepas mengetahui kehilangan khidmat Rio Ferdinand, Michael Carrick dan Dimitar Berbatov yang masih cedera.
"Saya tidak pasti Carrick dapat bermain. Begitu juga Berbatov. Rio pula sakit belakang. Semua ini perlu diambil kira," tegasnya.
Ketika United cuba mengejar, lain pula matlamat rakan sejawatannya di Liverpool, Rafael Benitez yang mahu pemainnya mengambil kesempatan itu untuk menjarakkan diri lebih jauh dengan pencabar utama lain.

No comments:

Post a Comment