Friday, February 6, 2009

Derhaka Nizar tidak boleh dipandang ringan - Muhyiddin

Terkini
06/02/2009 6:43pm

KOTA BHARU 6 Feb. — Kenyataan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahu derhaka terhadap Sultan Perak Sultan Azlah Shah tidak boleh dipandang ringan, kata Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya begitu terperanjat apabila beliau membuat kenyataan mahu derhaka kepada raja, sesuatu yang langsung tidak menggambarkan beliau menghormati Perlembagaan dan kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai Raja bagi negeri Perak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhyiddin berkata ’keberanian’ Mohammad Nizar menyanggah keputusan Sultan Azlan Shah berhubung perkara itu, malah mahu mencabar Baginda di mahkamah, amat dikesali.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua pihak sepatutnya menghormati keputusan Sultan Perak kerana Baginda juga amat arif dalam bidang perundangan selaku bekas Ketua Hakim Negara.
“Lagipun ini demokrasi yang kita amalkan. Walaupun keputusan itu tidak memihak kepada pembangkang, kita mesti hormatinya,” kata Muhyiddin.
Katanya pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, 47, sebagai Menteri Besar kerajaan BN di negeri itu adalah pilihan terbaik.
“Beliau adalah seorang tokoh berpengalaman kerana pernah menjadi exco di negeri itu sebelum ini, mempunyai kelulusan yang tinggi dan orang yang paling sesuai. Saya yakin dia dapat memberikan apa yang diharapkan oleh masyarakat di Perak ini,” kata Muhyiddin.
— BERNAMA

No comments:

Post a Comment