Monday, February 9, 2009

Roslan meninggal kerana serangan jantung

Terkini
09/02/2009 2:03pm

IPOH 9 Feb. - Anggota Parlimen Bukit Gantang daripada PAS, Roslan Shaharum, meninggal dunia pagi ini dipercayai kerana serangan jantung, menurut abangnya Ahmad Najmi.
Beliau berkata Roslan, yang pada mulanya sedang menunggu keretanya dicuci di sebuah stesen minyak di Batu Gajah, tiba-tiba dilaporkan merasa tidak sihat dan meminjam sebuah basikal milik orang lain untuk ke farmasi berdekatan.
Sebaik mengayuh basikal itu beberapa meter, beliau dikatakan terjatuh lalu dibawa ke Hospital Batu Gajah sebelum disahkan meninggal dunia, kata Ahmad Najmi kepada Bernama di sini.
Roslan, 50, yang merupakan pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, meninggalkan seorang isteri Sofiah Husein dan 11 anak.
Lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara serta Universiti Terbuka Malaysia. - Bernama

No comments:

Post a Comment