Friday, March 13, 2009

Liverpool turun habis-habisan



LONDON - Sama ada impian Liverpool menjulang gelaran Liga Perdana England buat pertama kali dalam tempoh 19 tahun tercapai atau sebaliknya akan mengambil kira pertemuan getir menentang pendahulu Manchester United, esok.

Perlawanan yang akan berlangsung di Old Trafford itu penting kerana kedua-dua pasukan begitu teruja mengintai gelaran liga pada musim ini.

Sekiranya Liverpool dapat mengulangi kejayaan seperti mana menewaskan Real Madrid 4-0 di Anfield, Selasa lalu, maka peluang memburu kejuaraan liga akan kembali terbuka.

Jika gagal, maka mereka akan kehilangan tiga mata dan tentunya impian mahu bergelar juara akan musnah.

Seperti Liverpool, United juga turun ke kancah EPL dengan semangat berkobar selepas menang 2-0 ke atas Inter Milan dalam Liga Juara-Juara di Old Trafford, kelmarin.

Mereka telah menang dalam 11 perlawanan terakhir liga setakat ini dan masih terus utuh berbanding pencapaian yang dilalui Liverpool.

Pasukan bimbingan Rafael Benitez hanya menguasai puncak liga dari penghujung November lalu sehingga pertengahan Januari sebelum kedudukan pendahulu itu dipintas United.

Daripada persembahan Liverpool, Selasa lalu, sukar mempercayai rata-rata kesebelasan Reds beraksi begitu hebat tetapi mempamerkan mutu yang tidak sama ketika bermain dalam kancah liga.

Setakat ini, Liverpool hanya tewas dalam dua perlawanan liga, seri 10 kali untuk berada di tangga ketiga dengan perbezaan tujuh mata.

Apa tanggapan ramai sekalipun, Benitez percaya pasukannya mampu meneruskan saingan memburu gelaran liga termasuk menewaskan United merupakan satu kemenangan bermakna.

''Kami mempunyai perlawanan penting selepas ini. Kami beraksi baik tadi (semalam) dengan menjaringkan empat gol. Ini menambah keyakinan kami untuk berdepan perlawanan getir itu.
''Saya mengingatkan mereka betapa pentingnya bermain dengan baik kerana kita akan berdepan dengan pasukan hebat dan mesti menang untuk merapatkan jurang perbezaan mata,'' kata Benitez selepas perlawanan menentang Real, Selasa lalu.

Begitu juga Chelsea yang mula mendapat semula rentaknya sejak di bawah bimbingan jurulatih Belanda, Guus Hiddink.

Kejayaan mengetepikan cabaran Juventus dalam Liga Juara-Juara sudah cukup menyuntik semangat baru buat The Blues untuk berdepan Manchester City di Stamford Bridge, Ahad ini. - Reuters

No comments:

Post a Comment