Friday, April 3, 2009

Tun Rahah yakin Najib sebaik ayahandanya

Terkini
03/04/2009 3:10pm

KUALA LUMPUR 3 April — Tun Rahah Mohd Noah tidak menduga suatu hari nanti anak sulungnya Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengikuti jejak ayahandanya, allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menjadi Perdana Menteri.

Hari ini, Rahah, 75, mempunyai gelaran unik — isteri kepada Perdana Menteri kedua dan ibu kepada Perdana Menteri keenam — setelah Najib mengangkat sumpah memegang jawatan itu di Istana Negara pagi ini.

“Semasa Najib ganti ayahandanya (sebagai Anggota Parlimen) di Pekan, tidak pernah terlintas langsung di hati saya yang beliau akan ikut jejak ayahandanya menjadi PM.

“Saya percaya Najib akan dapat melakukan kerjanya dengan baik sebagaimana ayahandanya,” katanya dalam satu temubual dengan Bernama di rumahnya.

Rahah berkata antara sifat istimewa yang ada pada anaknya itu ialah beliau amat menghormati orang tua.

Najib, 55, mempunyai beberapa rekod dalam sejarah poitik tanah air, termasuk menjadi Anggota Parlimen paling muda pada usia 22 tahun, Menteri Besar paling muda pada usia 29 tahun, anggota Majlis Tertinggi Umno paling muda pada usia 28 tahun, timbalan menteri paling muda pada usia 25 tahun dan menteri paling muda pada usia 33 tahun.

“Tidak ada siapa yang beri galakan kepada Najib, dia sendirilah yang saya rasa. Arwah dulu ada bawa dia pergi kampung-kampung dan dia sendiri melihat usaha bapanya untuk memajukan bangsa, agama dan negara dan secara langsung melibatkan dirinya dalam politik,” kata Rahah.

Mengimbau kembali zaman kanak-kanak anaknya itu, beliau berkata Najib amat gemar menunggang basikal dan bermain bola sepak.

“Najib tidak cerewet pasal makan tetapi dia gemar ikan patin masak lemak, roti canai dan sambal tumis telur,” katanya.

Walau sibuk mana sekalipun, Najib akan sentiasa menghubungi Rahah, dan jika ada kelapangan, akan menyertai ibu dan adik-adiknya untuk makan bersama.

Sambil melahirkan rasa syukur dengan pelantikan Najib itu, Rahah berharap anaknya akan bekerja keras seperti ayahandanya demi bangsa dan negara.

“Saya sentiasa berdoa agar dia menjadi pemimpin yang baik, dihormati dan disegani.

“Saya juga berharap rakyat di setiap peringkat dapat membantu Najib membentuk negara yang lebih maju dalam persekitaran yang aman dan damai,” kata Rahah.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment