Monday, May 11, 2009

Tevez julang United



MANCHESTER, England – Biar pun kecewa dengan Manchester United, Carlos Tevez masih membantu kelabnya itu mengatasi jiran, Manchester City 2-0 dalam saingan Liga Perdana England, semalam.

Selepas menyatakan hasrat untuk meninggalkan United selepas berakhir musim ini, Tevez tetap bersemangat dengan menyumbangkan gol kedua yang cantik.

Terdahulu Cristiano Ronaldo membuka jaringan buat United menerusi sepakan percuma pada minit ke-18 - gol beliau yang ke-26 musim ini.

Tevez yang menyertai United pada 2007 kemudiannya meledakkan satu sepakan dari luar kotak penalti yang memukau di penghujung babak pertama.

Sebaik menggegar jaring, Tevez terus berlari berhampiran tempat duduk pengurusnya, Alex Ferguson sambil penyokong menjerit “Fergie, Fergie ikat (kontrak) dia!”.

Gol tersebut adalah jaringan Tevez yang ke-14 musim ini sekali gus meletakkan kelabnya itu kini kekal di persada liga dengan 83 mata.

Selain mendahului Liverpool dengan tiga mata, United juga mempunyai kurang satu perlawanan dalam tangan yang memungkinkan mereka menamatkan musim ini dengan berada enam mata di depan.

Tevez hampir menambah jaringan di babak kedua tetapi tandukannya terkena tiang selepas menyambut hantaran Darren Fletcher.

Pada perlawanan semalam, United merehatkan beberapa pemain utamanya termasuk Rio Ferdinand dan Michael Carrick.

United kini hanya memerlukan empat mata lagi daripada tiga baki perlawanan musim ini untuk muncul juara liga buat kali ke-18.

Pencabar terdekat, Liverpool yang tidak akan beraksi sehingga 17 Mei ini dijangka hanya mampu melihat sahaja bagaimana United meraih gelaran itu kelak..

Ini kerana United akan berdepan Wigan Rabu ini dan jika menang hanya perlu seri ketika menentang Arsenal pada 16 Mei.

Pada ketika Liverpool turun beraksi pada 17 Mei, ia sudah tidak membawa apa-apa makna lagi untuk menyekat United.

Pengurus Liverpool, Rafa Benitez tentunya hanya mampu berharap United tewas dalam baki tiga perlawanan tersebut. – AFP

1 comment:

  1. bodo makei pepet indah nya..... nang patut juak tevez di anok oleh aden jak2.

    ReplyDelete