Monday, June 29, 2009

Brazil bangkit tewaskan AS untuk juarai Piala Konfederasi

Terkini
29/06/2009 4:35am

JOHANNESBURG 29 Jun - Juara bertahan Brazil berjaya bangkit dari ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-2 dan seterusnya memenangi Piala Konfederasi buat kali ketiga dalam perlawanan akhir yang menghiburkan di Ellis Park, di sini sebentar tadi.

AS yang mengejutkan Sepanyol di peringkat separuh akhir, kelihatannya sekali lagi mahu mencipta keputusan luar dugaan apabila berjaya memperoleh gol menerusi Clint Dempsey dan Landon Donovan dan sekali gus meletakkan pasukan itu mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.

Penjaga gol AS, Tim Howard berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Brazil sebelum Luis Fabiano menjaringkan gol kelima dalam lima perlawanan pada kejohanan itu apabila menjaringkan gol hanya beberapa saat selepas bermulanya separuh masa kedua dan menambah satu lagi gol pada minit ke-74.

Ketua pasukan Brazil, Lucio pula melengkapkan tugas apabila pantas menyambar lantunan bola yang terkena tiang dan menanduk masuk ke penjuru gol AS enam minit sebelum wisel penamat. - Reuters

No comments:

Post a Comment