Thursday, June 25, 2009

Warga emas dibaham buaya

SRI AMAN 24 Jun - Seorang nelayan berusia 62 tahun di sini, membuktikan pepatah 'berpantang maut sebelum ajal' apabila menumpaskan seekor buaya sepanjang tiga meter dalam pertarungan dengan haiwan reptilia itu yang cuba membahamnya.

Meskipun terpaksa bertarung beberapa minit di dalam sungai, nasib menyebelahi mangsa yang dikenali sebagai Abang Melias apabila akhirnya dia dapat melepaskan diri daripada mulut haiwan pemangsa itu.

Kejadian berlaku di Sungai Batang Lupar di sini pada pukul 7 pagi, ketika mangsa ingin menarik sampan miliknya ke tebing sungai supaya tidak dihanyutkan oleh arus deras akibat ombak pasang besar.

Menurut mangsa, dia terpaksa mengharung ke dalam sungai terbabit hingga ke paras dada untuk menarik sampan.

"Sebab leka menarik sampan ke tebing, saya tidak menyedari kehadiran reptilia itu di kawasan tempat saya berdiri di dalam sungai.

"Tiba-tiba saya berasa ada sesuatu sedang bergerak laju lalu menyerang saya dari arah belakang tanpa sempat saya berbuat sesuatu.

"Ketika itu saya terbayangkan saat-saat kematian, tiba-tiba saya mendapat kekuatan lalu bergelut dengan buaya itu beberapa minit di dalam air," katanya ketika ditemui di Hospital Sri Aman di sini hari ini.

Abang Melais berkata, buaya tersebut telah menerkam kepalanya dari arah belakang hingga menyebabkan dia dapat merasakan sebahagian kecil daging di bahagian telinga kanannya koyak.

Katanya, dengan seluruh kekuatan yang ada, dia berusaha melawan buaya selebar hampir satu meter itu daripada menariknya hingga ke bahagian tengah sungai sebelum berjaya melepaskan diri sebaik sahaja reptilia itu melepaskan kepalanya.

Tambah mangsa, selepas berjaya melepaskan diri daripada reptilia tersebut, dia bergegas naik ke kawasan tebing untuk menyelamatkan diri dan buaya tersebut hilang di dalam sungai terbabit.

Bapa kepada tujuh anak lelaki dan tiga perempuan ini mengalami kecederaan di bahagian tengkuk, lengan tangan dan telinga sebelah kanan.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Klinik Desa Lingga bagi tujuan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sri Aman untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Mangsa yang tiba di Hospital Sri Aman pada pukul 10 pagi ini ditemani isterinya, Belian Bujang, 57, serta menantunya dilaporkan stabil tetapi masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment