Sunday, July 19, 2009

Chua Jui Meng bebas buat pilihan - Pak Lah

Terkini
19/07/2009 8:10pm

PUTRAJAYA 19 Julai — Tindakan bekas naib presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak wajar dianggap sebagai simbol perpecahan Barisan Nasional (BN) kerana ia hanya sebahagian daripada senario yang mewarnai MCA.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, Chua mempunyai segala kebebasan untuk memilih ideologi parti yang dikehendaki, justeru tindakannya itu tidak wajar dipersoalkan.

“Itu pilihan dia...biarlah dengan dia kalau itu pilihan dia. Kebebasan dia untuk buat pilihan hendak menjadi ahli MCA atau parti lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Putrajaya di sini hari ini.

Dalam forum bertajuk “Kebenaran Di Sebalik Skandal - Perak, PKFZ dan Konspirasi BN” anjuran PKR di Petaling Jaya semalam, Chua mengumumkan akan menyertai PKR dan berkata kegagalan MCA untuk berfungsi sebagai sebuah parti sebagai alasan bagi beliau berbuat demikian.

Katanya, beliau telah memberi amaran kepada MCA sebelum ini bahawa perjuangan parti itu tidak akan relevan lagi sekiranya mereka masih di takuk lama.

Mengulas mengenai kesan terhadap BN dan MCA ekoran tindakan Chua itu, Abdullah berkata ia tertakluk kepada budi-bicara dan kaedah BN menangani perkara tersebut.

“Kena pastikan BN terus menjadi parti yang lebih baik dan laksanakan apa yang dikehendaki oleh rakyat, sensitif kepada keperluan rakyat dan bersedia untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk melaksanakan apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan.

“Banyak langkah-langkah yang perlu diteruskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) khususnya yang ada hubung kait dengan tindakan yang perlu diambil untuk memulihkan ekonomi; untuk menambahkan peluang pelaburan ke negara kita,” katanya.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment