Saturday, July 4, 2009

Facebook perkenal kawalan baru rahsia peribadi

NEW YORK 3 Julai - Facebook sedang membaik pulih sistem kawalan kerahsiaan, dalam beberapa minggu akan datang sebagai usaha memudahkan keupayaan mengawal oleh penggunanya untuk menentukan golongan pengguna yang boleh atau tidak boleh melihat maklumat yang dikongsi dalam laman itu.

Kerahsiaan sudah menjadi perkara utama dan sering menjadi isu sensitif bagi Facebook kerana ramai orang menggunakannya untuk berkongsi maklumat peribadi dengan rakan-rakan dan keluarga serta orang lain.

Namun, setelah perkhidmatan rangkaian sosial yang berusia lima tahun itu memperluaskan pangkalan pengguna dan ciri-cirinya telah ditambah, menyebabkan kawalan kerahsiaan menjadi semakin rumit.

Syarikat Palo Alto yang berpusat di California semalam berkata, penyediaan kawalan baru itu akan memberikan pengguna lebih banyak keupayaan untuk mengawal sebarang gambar, mengemas kini maklumat dan maklumat peribadi yang mereka kongsi dengan rakan-rakan, keluarga dan orang yang tidak dikenali di dalam Facebook dan seterusnya melalui Internet.

Bagi menghasilkan kawalan yang lebih mudah, Facebook telah menggabungkan enam halaman rahsianya dan lebih daripada 30 kawalan menjadi satu halaman rahsia tunggal.

Pilihan itu juga akan diselaraskan bagi setiap kawalan supaya pilihan itu sentiasa sama, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini.

Ini bermakna bahawa untuk setiap bahan kandungan, pengguna boleh menekan butang ikon kunci untuk memilih sama ada mahu menunjukkannya kepada semua orang, atau hanya kepada rakan-rakan mereka atau rakan kepada rakan, teman sekerja atau sekolah atau kumpulan orang yang senarai terpilih.

Sebelum ini, pengguna terpaksa melayari dari satu halaman ke satu halaman untuk membolehkan atau menidakkan seseorang memasuki halaman mereka dan melihat gambar-gambar mereka, maklumat yang dikemas kini atau rangkaian yang dikongsi.

Dan kerana kawalan kerahsiaan itu telah tersebar dalam halaman-halaman yang berbeza-beza, malah selepas menghasilkan profil yang hanya boleh dilihat oleh rakan-rakan sahaja, gambar-gambar dalam profil tersebut masih boleh dilihat oleh orang lain.

Ketua Pegawai Kerahsiaan Facebook, Chris Kelly memberitahu persidangan yang dihadiri pemberita, berkata, perubahan tersebut tidak ada kaitan dengan pengiklanan atau maklumat Facebook yang akan dibuka kepada pengiklan.

Tambahnya, laman itu mahu orang ramai "boleh berkongsi maklumat dengan ramai orang atau hanya dengan orang yang mereka pilih sahaja."

Satu daripada kebanyakan rahsia penting Facebook yang telah disalah guna ialah alat pengesan yang dikenali sebagai Beacon iaitu pada lewat 2007, yang disiarkan oleh stesen penyiaran mengenai kegiatan pengguna di luar laman web itu, termasuk aktiviti pengguna membeli hadiah percutian bagi mereka yang boleh melihat maklumat tersebut

Syarikat akhirnya membenarkan pengguna untuk menutup Beacon itu. - AP

No comments:

Post a Comment