Tuesday, August 18, 2009

Benitez cabar bintang Liverpool untuk bangkit

LONDON - Rafael Benitez mencabar para pemain bintang Liverpool supaya membuktikan kekalahan 1-2 kepada Tottenham kelmarin hanya 'gangguan kecil' dengan membawa semula cabaran mereka kembali ke landasan apabila menentang Stoke esok.

Aksi skuad bimbingan Benitez mengecewakan pada perlawanan pembukaan mereka kelmarin, yang menyebabkan pengurus Liverpool itu berang terhadap keputusan pengadil Phil Dowd yang menafikan dua penalti untuk Reds pada babak akhir perlawanan.

Dowd membuat keputusan bahawa pemain pertahanan Tottenham, Benoit Assou-Ekotto tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika dia merempuh Andriy Voronin dan kemudian pemain itu dilihat menahan dengan tangan bola hantaran silang Fernando Torres.

Kemarahan Benitez amat ketara apabila dia melambai-lambai cermin matanya ke arah wartawan, untuk menggambar bahawa pengadil perlawanan Dowd 'buta', juga pegawai perlawanan keempat Stuart Attwell, yang mengarahkan pembantunya Sammy Lee, meninggalkan tempat duduk pemain kerana mempertikaikan keputusan pengadil yang tidak memberikan penalti.

"Keputusan yang dibuat amat lemah. Semua orang boleh melihat insiden pertama sepatutnya penalti.

"Yang kedua pula, bola terkena tangan. Ia amat jelas, namun kami tahu kami tidak akan mendapat penalti. Dengan pengadil ini, saya tahu ia mustahil,'' kata Benitez.

Namun, jauh di sudut hati Benitez dia sedar, tanpa menghiraukan saat-saat kontroversi tersebut, prestasi Liverpool masih rendah berbanding standard yang diperlukan untuk menamatkan penantian 20 tahun kelab itu untuk dimahkotakan sebagai juara liga England.

Pencabar Liverpool untuk kejuaraan liga, Manchester United, Chelsea dan Arsenal memulakan kempen dengan kemenangan dan ini pastinya menerbitkan lebih kemarahan kepada Benitez.

Sekurang-kurangnya skuad Reds berpeluang untuk mengetepikan kepedihan di White Hart Lane kelmarin apabila Stoke beraksi di Anfield.

Musim lalu, Stoke, Hull dan Fulham kesemuanya seri dengan Liverpool dan Benitez mengakui pasukannya perlu segera memperbaiki kelemahan jika mahu mengelak keputusan seperti musim lalu.

"Adalah jelas kami perlu meningkatkan persembahan jika kami mahu memenangi perlawanan seperti ini.

"Kami perlu bertambah baik di bahagian tengah, menguasai bola. Persefahaman juga perlu lebih baik.

"Namun, ia masih awal dan kami akan ada satu lagi perlawanan Rabu ini (esok) dan adalah jelas kami harus meningkatkan penguasaan.

"Kami tahu bahawa kami harus beraksi baik, namun ia bukan disebabkan tekanan ke atas kami.

"Semua orang harus meningkatkan permainan. Kami harus menang perlawanan seterusnya,'' kata Benitez.

Ketika Benitez berang dengan keputusan pengadil, dia perlu memperuntukan masa untuk memikirkan aktiviti perpindahan pemain di Merseyside.

Ketiadaan Xabi Alonso yang menyertai Real Madrid menyaksikan Liverpool terdesak dan kurang kreativiti.

Pengganti Alonso, pemain Brazil, Lucas Leiva dan gandingannya di bahagian tengah Javier Mascherano, jelas gagal menandingi gandingan Tottenham, Wilson Palacios dan Tom Huddlestone.

Assou-Ekotto membuka jaringan di babak pertama dengan rembatan deras sebelum penalti oleh Steven Gerrard, yang diberikan kerana kekasaran Heurelho Gomes ke atas Glen Johnson, untuk Liverpool menyamakan kedudukan.

Sebastien Bassong, yang membuat kemunculan sulung selepas perpindahan dari Newcastle, menanduk gol kemenangan tidak lama selepas sepakan penalti Gerrard.

Di sebalik mencatat kemenangan menarik ke atas salah sebuah pasukan big four dalam liga, bos Tottenham Harry Redknapp enggan terbawa-bawa mengenai harapan untuk mencabar slot ke Liga Juara-Juara.

Redknapp berkata: ''Ia prestasi yang bagus, namun kini kami terpaksa berdepan Hull Rabu ini dan melakukannya sekali lagi. Kami akan ke sana dan membuktikan apa yang telah kami lakukan.'' - AFP

No comments:

Post a Comment