Saturday, October 17, 2009

EGM MCA baru tetapkan sama ada sokong presiden atau bubar CC

Terkini

16/10/2009 8:48pm

KUALA LUMPUR 16 Okt — Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA akan datang bakal menentukan sama ada sokongan akan terus diberikan kepada presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat, atau untuk membubarkan jawatankuasa pusat parti (CC), kata setiausaha agung MCA Datuk Wong Foon Meng.

Beliau berkata 2,380 perwakilan pusat akan diminta memuktamadkan pilihan mereka.

"EGM baru ini akan hanya ada satu resolusi, iaitu sama ada untuk membubarkan jawatankuasa pusat, atau mengesahkan kepimpinan sedia ada,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata ibu pejabat MCA sedang bekerja keras untuk melaksanakan EGM itu secepat mungkin.

Wong berkata beliau tidak menetapkan tarikh untuk EGM akan datang dan sedang berbincang dengan ketua biro undang-undang parti Datuk Leong Tang Chong untuk melihat EGM yang dipanggil Ong itu dari sudut perundangan.

Katanya beliau mencadangkan supaya EGM diadakan serentak dengan mesyuarat agung tahunan (AGM).

AGM dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober lepas, tapi ditangguhkan untuk memberi laluan kepada EGM 10 Oktober lalu, yang menyaksikan dua usul diluluskan iaitu undi tidak percaya terhadap kepimpinan presiden parti dan membatalkan penggantungan keanggotaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dan pada masa yang sama menolak usul ketiga untuk mengembalikan jawatan Dr Chua sebagai timbalan presiden.

Pada mesyuarat CC semalam, Ong tidak meletak jawatannya walaupun menerima banyak desakan, manakala naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai pula dilantik sebagai naib presiden.

Ong yang tidak menemui wartawan selepas mesyuarat itu sebaliknya mengumumkan menerusi blognya, bahawa beliau menggunakan keistimewaan sebagai presiden untuk memanggil EGM, dengan mengatakan bahawa hasil EGM 10 Oktober tidak konklusif dan mengatakan bahawa peringkat akar umbi kelihatan berbelah bahagi.

Pada EGM lepas yang dihadiri 2,307 perwakilan pusat, resolusi undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ong diluluskan apabila ia memperolehi kelebihan hanya 14 undi.

Wong mengesahkan bahawa lebih 20 anggota CC menandatangani satu surat yang menuntut supaya Ong melepaskan jawatannya, sebelum mesyuarat CC semalam.

"Bagaimanapun mereka tidak membawa surat itu pada mesyuarat CC,” katanya.

Sementara itu bekas naib presiden Datuk Seri Fong Chan Onn yang merupakan seorang perwakilan pusat berkata, beliau menyokong langkah Ong untuk mengadakan EGM itu “untuk membebaskan parti dan anggotanya daripada kesengsaraan yang sedang dihadapi”. Katanya cara paling pantas untuk menyelesaikan krisis ini adalah untuk mengadakan pemilihan parti yang baru, bagi memilih kumpulan pemimpin pusat baru yang memiliki mandat dari anggota.

Beliau berkata barisan para perwakilan dilihat sudah hilang kepercayaan terhadap barisan CC semasa berdasarkan kepada keputusan EGM baru-baru ini.

Semalam Liow berkata majoriti CC tidak bersetuju untuk mengadakan EGM baru dan meminta presiden menghormati kehendak perwakilan pada 10 Okt lepas.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment