Sunday, August 23, 2009

United belasah Wigan 5-0


LONDON – Penyandang juara, Manchester United menunjukkan respons hebat daripada kekalahan mengejut 1-0 kepada Burnley Rabu lalu apabila membelasah Wigan Athletic 5-0 dalam perlawanan Liga Perdana England, semalam.

Selepas bermula lembap dan terikat tanpa jaringan pada babak pertama, Wayne Rooney menjadi inspirasi United dengan menyumbat dua gol pada separuh masa kedua untuk memulakan pesta gol pasukan pelawat.

Bekas penyerang antarabangsa England, Michael Owen turut menjaringkan gol pertama liga bersama United, manakala Dimitar Berbatov dan Nani masing-masing menyumbangkan satu gol.

Sementara itu Arsenal terus bermula garang dalam musim baru Liga Perdana apabila mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Portsmouth, berterima kasih kepada dua jaringan Abou Diaby.

Kemenangan ini meletakkan Arsenal menerajui liga selepas turut menang besar 6-1 ke atas Everton dalam perlawanan pertama, minggu lalu.

Manchester City pula mencatat kemenangan kedua musim ini selepas menang tipis 1-0 ke atas Wolverhampton, manakala Sunderland bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Blackburn Rovers 2-1.

Dalam perlawanan lain, Hull City menumpaskan Bolton Wanderers 1-0 dan Birmingham City seri tanpa jaringan dengan Stoke City. – REUTERS

Wednesday, August 19, 2009

Tidak layak dipanggil YB

UALA LUMPUR 18 Ogos - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan tidak layak dipanggil Yang Berhormat (YB).

Beliau menegaskan, ini ekoran tingkah laku Gobalakrishnan semasa sesi penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Bukit Mertajam semalam.

Menurutnya, tindakan Gobalakrishnan itu jika dibiarkan akan menyebabkan situasi kacau bilau manakala undang-undang pula tidak lagi dihormati.

"Kita tidak boleh bertolak-ansur dengan perkara ini. Ia suatu perkara yang tidak dapat diterima dalam masyarakat madani di Malaysia.

"Dia tidak layak dipanggil YB," katanya kepada pemberita selepas melancarkan My SMS dan Hotline Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Puspakom Sdn. Bhd. Wangsa Maju di sini hari ini.

Mohamed Nazri mengulas mengenai tindakan Gobalakrishnan yang melaung-laungkan kata-kata provokasi sehingga mencetuskan kemarahan para penyokong pihak pembangkang dan menimbulkan suasana kecoh.

Pas jangan pertikai calon BN

BUTTERWORTH 18 Ogos - Calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman adalah pilihan terbaik untuk menggalas tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pas tidak sepatutnya mempertikaikan calon BN yang tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah sebaliknya beliau hanya berhadapan masalah dengan Majlis Peguam.

Katanya, BN akan menggunakan pendekatan sendiri untuk menjelaskan perkara tersebut kepada para pengundi di Permatang Pasir dan pihak-pihak lain tidak berhak mempertikaikan keputusan BN untuk memilih beliau sebagai calon.

''Itu pilihan dan hak kami, siapa mereka untuk mempersoalkan pemilihan Rohaizat. Kita juga boleh pertikai mengapa mereka pilih calon yang tidak pernah menang tetapi kita tidak akan berbuat demikian," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat bilik operasi RTM di Hotel Sunway di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Kecil Pas, Datuk Mahfuz Omar dalam satu ceramah semalam yang mempersoalkan mengapa BN masih meletakkan Rohaizat sedangkan mempunyai waktu untuk menukar calon lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, adalah juga menjadi hak Mahfuz untuk berbuat demikian dan BN juga tidak mampu menghentikan sesiapa pun daripada mengeluarkan kenyataan seperti itu.

''Saya hanya nak beritahu beliau, kita jumpa dalam gelanggang sahajalah.

''Dan saya juga merasakan mereka ini perlu cermin muka sendiri atau ukur baju di badan sendiri," ujarnya.

Ditanya mengenai kempen Pas yang berterusan menyerang peribadi kerana ia bercanggah dengan prinsip mereka, Ahmad Zahid menjawab, beliau tidak mahu menyentuh mana-mana prinsip parti lain selain BN.

Katanya, dalam Islam itu sendiri ada pelbagai pendekatan untuk menyatakan perbezaan pendapat dan salah satunya ia perlu dilakukan dengan cara yang berakhlak.

''Saya berharap sesiapa pun perlulah menghormati agama lebih daripada motif politik dan kembalilah kepada jalan Islam sekali gus tidak mengetepikan Islam yang sebenarnya," ujarnya.

United masih belum panas


BURNLEY, England - Manchester United secara tradisinya akan mula menguasai saingan untuk memburu kejuaraan Liga Perdana England apabila memasuki pertengahan musim saingan.

Musim lalu, mereka terpaksa menunggu sehingga pulang dari kejohanan Kelab Piala Dunia untuk memintas Liverpool dalam laluan untuk memenangi kejuaraan tiga kali berturut-turut.

Namun, hanya mengalahkan Birmingham 1-0 pada perlawanan pembukaan di Old Trafford, pemain pertahanan John O'Shea menegaskan, United merancang untuk mengemudi liga mulai awal musim.

United akan berdepan satu lagi kelab yang dinaikkan ke Liga Perdana di Turf Moor untuk berdepan Burnley, yang kembali ke saingan liga utama selepas 33 tahun.

Dan O'Shea yakin United akan terus memperlihatkan hasrat mereka itu pada minggu pembukaan musim ini, walaupun pasukan itu bergelut dengan masalah kecederaan pemain.

Pemain antarabangsa Republik Ireland itu gembira kerana United bermula dengan kemenangan dan berazam untuk meneruskannya apabila berdepan skuad Claret.

Katanya: "Kami tidak mahu menjadi pasukan yang menghambat pasukan lain, walaupun hanya selepas satu perlawanan.

"Lain-lain pasukan kelihatan semakin kuat ketika ini, jadi adalah penting untuk kami mengukuhkan penguasaan di awal musim.

"Kami memulakan kempen dua musim sebelum ini dengan keputusan seri, jadi kami amat gembira kerana meraih tiga mata ke atas Birmingham. Kini kami berdepan satu lagi perlawanan sukar di Burnley."

United diramal akan menguatkan lagi bahagian pertahanan apabila beraksi di Turf Moor esok kerana Jonny Evans dijangka tidak beraksi akibat kecederaan pergelangan kaki.

Dengan Nemanja Vidic juga dijangka tidak akan kembali beraksi sehinggalah perlawanan di tempat lawan dengan Wigan pada Sabtu ini, Rio Ferdinand tidak beraksi selama dua minggu, Wes Brown dijangka akan beraksi.

''Saya pasti Michael (Owen) akan mendapatkan semula sentuhan gol tidak lama lagi, seperti mana Wayne (Rooney), yang telah pun menjaringkan gol.

"Bagi Wayne, saya rasa persediaan pramusim amat penting untuk dia mendapat penyudah tajam yang diperlukannya," kata O'Shea lagi. - AFP

Tuesday, August 18, 2009

Benitez cabar bintang Liverpool untuk bangkit

LONDON - Rafael Benitez mencabar para pemain bintang Liverpool supaya membuktikan kekalahan 1-2 kepada Tottenham kelmarin hanya 'gangguan kecil' dengan membawa semula cabaran mereka kembali ke landasan apabila menentang Stoke esok.

Aksi skuad bimbingan Benitez mengecewakan pada perlawanan pembukaan mereka kelmarin, yang menyebabkan pengurus Liverpool itu berang terhadap keputusan pengadil Phil Dowd yang menafikan dua penalti untuk Reds pada babak akhir perlawanan.

Dowd membuat keputusan bahawa pemain pertahanan Tottenham, Benoit Assou-Ekotto tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika dia merempuh Andriy Voronin dan kemudian pemain itu dilihat menahan dengan tangan bola hantaran silang Fernando Torres.

Kemarahan Benitez amat ketara apabila dia melambai-lambai cermin matanya ke arah wartawan, untuk menggambar bahawa pengadil perlawanan Dowd 'buta', juga pegawai perlawanan keempat Stuart Attwell, yang mengarahkan pembantunya Sammy Lee, meninggalkan tempat duduk pemain kerana mempertikaikan keputusan pengadil yang tidak memberikan penalti.

"Keputusan yang dibuat amat lemah. Semua orang boleh melihat insiden pertama sepatutnya penalti.

"Yang kedua pula, bola terkena tangan. Ia amat jelas, namun kami tahu kami tidak akan mendapat penalti. Dengan pengadil ini, saya tahu ia mustahil,'' kata Benitez.

Namun, jauh di sudut hati Benitez dia sedar, tanpa menghiraukan saat-saat kontroversi tersebut, prestasi Liverpool masih rendah berbanding standard yang diperlukan untuk menamatkan penantian 20 tahun kelab itu untuk dimahkotakan sebagai juara liga England.

Pencabar Liverpool untuk kejuaraan liga, Manchester United, Chelsea dan Arsenal memulakan kempen dengan kemenangan dan ini pastinya menerbitkan lebih kemarahan kepada Benitez.

Sekurang-kurangnya skuad Reds berpeluang untuk mengetepikan kepedihan di White Hart Lane kelmarin apabila Stoke beraksi di Anfield.

Musim lalu, Stoke, Hull dan Fulham kesemuanya seri dengan Liverpool dan Benitez mengakui pasukannya perlu segera memperbaiki kelemahan jika mahu mengelak keputusan seperti musim lalu.

"Adalah jelas kami perlu meningkatkan persembahan jika kami mahu memenangi perlawanan seperti ini.

"Kami perlu bertambah baik di bahagian tengah, menguasai bola. Persefahaman juga perlu lebih baik.

"Namun, ia masih awal dan kami akan ada satu lagi perlawanan Rabu ini (esok) dan adalah jelas kami harus meningkatkan penguasaan.

"Kami tahu bahawa kami harus beraksi baik, namun ia bukan disebabkan tekanan ke atas kami.

"Semua orang harus meningkatkan permainan. Kami harus menang perlawanan seterusnya,'' kata Benitez.

Ketika Benitez berang dengan keputusan pengadil, dia perlu memperuntukan masa untuk memikirkan aktiviti perpindahan pemain di Merseyside.

Ketiadaan Xabi Alonso yang menyertai Real Madrid menyaksikan Liverpool terdesak dan kurang kreativiti.

Pengganti Alonso, pemain Brazil, Lucas Leiva dan gandingannya di bahagian tengah Javier Mascherano, jelas gagal menandingi gandingan Tottenham, Wilson Palacios dan Tom Huddlestone.

Assou-Ekotto membuka jaringan di babak pertama dengan rembatan deras sebelum penalti oleh Steven Gerrard, yang diberikan kerana kekasaran Heurelho Gomes ke atas Glen Johnson, untuk Liverpool menyamakan kedudukan.

Sebastien Bassong, yang membuat kemunculan sulung selepas perpindahan dari Newcastle, menanduk gol kemenangan tidak lama selepas sepakan penalti Gerrard.

Di sebalik mencatat kemenangan menarik ke atas salah sebuah pasukan big four dalam liga, bos Tottenham Harry Redknapp enggan terbawa-bawa mengenai harapan untuk mencabar slot ke Liga Juara-Juara.

Redknapp berkata: ''Ia prestasi yang bagus, namun kini kami terpaksa berdepan Hull Rabu ini dan melakukannya sekali lagi. Kami akan ke sana dan membuktikan apa yang telah kami lakukan.'' - AFP