Friday, January 29, 2010

Rooney bawa United ke akhir

MANCHESTER, England - Sir Alex Ferguson memuji aksi 'berkelas dunia' Wayne Rooney, selepas penyerang itu menjaringkan gol pada masa kecederaan, kelmarin yang membawa Manchester United ke final Piala Liga menentang Aston Villa.

Tandukan Rooney memastikan kemenangan 3-1 United ke atas Manchester City pada perlawanan di Old Trafford dan mara ke final dengan agregat 4-3.

Ini bermakna United, mencatat rekod mara ke final kejohanan tersebut kali ketujuh, di bawah jurulatih dari Scotland itu.

Seperti mana perlawanan separuh akhir pertama, aksi kelmarin juga tidak menentu, di tengah-tengah beberapa isu yang masih berpanjangan, dan United mungkin berdepan siasatan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas penyerang City, Craig Bellamy terkena balingan objek ketika mahu melakukan sepakan sudut.

Rooney, yang menjaringkan gol ke-21 setakat ini, meneruskan sentuhan berbisa, selepas dia meledak empat gol ketika United menang ke atas Hull pada perlawanan Liga Perdana, hujung minggu lalu.

Ferguson menyanjung pemain utama kelabnya, Rooney.

"Prestasi Wayne jauh lebih baik berbanding perlawanan Sabtu lalu, di mana dia meledak empat gol ketika menentang Hull.

"Kawalan bola, kemaraan dan cara dia menembusi kubu lawan, tidak syak lagi amat menakjubkan hari ini.

''Ia prestasi yang menakjubkan, benar-benar prestasi kelas dunia,'' kata Ferguson.

Pada perlawanan bersejarah di Trafford itu sarat dengan pelbagai suasana, rentetan daripada kehangatan aksi separuh akhir pertama, jaringan Paul Scholes dan Michael Carrick meletakkan United menguasai penuh perlawanan, sehinggalah Carlos Tevez menyamakan agregat pada minit ke-75.

'Gangguan' oleh Rooney pada babak akhir perlawanan, meneruskan rekod cemerlang Ferguson pada kejohanan tersebut.

"Saya bangga tentang rekod tersebut, dan bangga terhadap pasukan hari ini.

"Kehadiran penyokong luar biasa, apabila keadaan mereka sebegitu, kami tidak mahu mengecewakan mereka.

''Ia merupakan pertembungan derby, anda pastinya mahu memenangi perlawanan derby.

''Suasana perlawanan ini, dan pertembungan separuh akhir menghangatkan lagi perlawanan ini.

"Menjaringkan gol pada babak akhir, membawa kepada satu keraian yang amat istimewa,'' kata Ferguson. - AFP

No comments:

Post a Comment