Friday, February 13, 2009

Dua akhbar diberi amaran

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran tidak akan teragak- agak mengambil tindakan tegas terhadap dua akhbar parti pembangkang sekiranya masih menyiarkan artikel-artikel yang boleh menggugat perpaduan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, akhbar Suara Keadilan dan Harakah didapati melanggar syarat permit serta menyalahgunakan kebebasan akhbar dengan menerbitkan artikel berunsur fitnah, hasutan dan pembohongan.
"KDN akan bertindak tegas terhadap mana-mana media yang melanggar syarat permit yang telah ditetapkan, bukan hanya akhbar yang dikuasai pembangkang semata-mata.
"Kita tidak berat sebelah. Media berfungsi untuk menyatukan semua kaum dan memberi sumbangan kepada pembangunan rakyat, bukannya menjadi tempat menyebarkan fitnah, hasutan dan pembohongan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan kementerian itu merampas akhbar Suara Keadilan dan Harakah kerana melanggar syarat permit dengan menerbitkan laporan yang tidak tepat.
Kenyataan Syed Hamid semalam menyebut, langkah itu perlu kerana laporan dua akhbar itu terutama ketika pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan lalu tidak bertanggungjawab, mengelirukan dan tidak berasas.
Selain itu, menurutnya, KDN juga mendapati Suara Keadilan dan Harakah melanggar syarat permit kerana diedarkan kepada bukan ahli.
Syed Hamid menambah, tindakan kementeriannya terhadap dua akhbar itu dilakukan secara telus dan adil.
Ditanya sama ada permit kedua-dua akhbar terbabit akan ditarik balik, Syed Hamid memberitahu: "Itu (tarik permit) soal lain dan sekiranya ia didapati menggugat keamanan negara, tindakan tegas akan diambil.
"Mengikut syarat permit yang ditetapkan, akhbar Suara Keadilan dan Harakah tidak boleh dijual sewenang- wenangnya di merata-rata tempat kerana ia untuk diedar kepada ahli sahaja.
"Tindakan mereka menjual akhbar itu di merata-rata tempat jelas melanggar syarat," jelasnya

No comments:

Post a Comment