Friday, May 29, 2009

Fesyen universal identiti Malaysia


ARKIB : 24/05/2009
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto WAHIDAH ZAINAL

IDENTITI atau ciri-ciri tradisional masyarakat merupakan seni budaya yang mempunyai nilai keindahan tersendiri.

Bukan sahaja perincian

pakaian, malahan gaya hidup, bentuk rumah, alat muzik dan adat-istiadat menjadi simbolik sebuah masyarakat yang tidak pernah pupus.

Adaptasi elemen identiti ini boleh diterjemah melalui fesyen yang bersifat universal dan moden.

Ilham ini menjadi teras kepada graduan Jabatan Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor yang mengkaji identiti masyarakat tempatan.

Idea kreatif dan inovatif lahir daripada budaya rakyat seperti wayang kulit, Cik Siti Wan Kembang, Kebaya Nyonya, dan sebagainya.


Pensyarah Jabatan Fesyen, UiTM Shah Alam, Selangor, Faizal Hamid berkata, para graduan menghasilkan pakaian berdasarkan apa yang mereka hendak kaji berdasarkan tema identiti.

"Misalnya, ada graduan melakukan penyelidikan kostum pahlawan daripada negeri Sarawak. Ada juga yang menghasilkan pakaian yang diilhamkan daripada kebaya, pakaian Melayu dan pelbagai konsep lain," katanya yang ditemui di majlis pertunjukan fesyen graduan Jabatan Fesyen UiTM di Hotel Cititel Mid Valley, Kuala Lumpur.

Berbeza daripada tema tahun lepas, kali ini pelajar menghasilkan pakaian dengan persepsi identiti dan elemen baru termasuk warna, garisan, reka corak dan teknik lipat-lipatan.

Menurut Faizal, teknik lipatan ftersebut diilhamkan daripada samping yang dipakai oleh lelaki Melayu.

"Kali ini pakaian lebih unik dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. Lebih menarik lagi, ia merupakan perspektif pelajar sendiri. Selaras dengan pertunjukan fesyen rekaan graduan, setiap koleksi menunjukkan kredibiliti tersendiri" jelasnya.

Tidak ketinggalan, pereka-pereka muda ini melakukan kajian agar koleksi yang dicipta relevan dengan pasaran masa kini.

Sentuhan kostum Melayu lama juga diberi nafas baru mengikut trend masa kini seperti pakaian yang dihasilkan daripada ilham pembinaan rumah tradisional di Melaka. Gaya pakaiannya dimodenkan untuk gaya koktel minum petang.

Sesuai dengan perkembangan fesyen hari ini, pereka tempatan perlu menunjukkan idea kreatif melalui gaya universal.

"Menerusi pertunjukan seperti ini, ia dapat memberi peluang kepada pereka muda memperkenalkan koleksi mereka kepada orang ramai. Malah, UiTM sendiri menganjurkan pameran fesyen untuk membina jaringan bakal majikan dan graduan. Ia merupakan pendedahan meluas yang menunjukkan karisma pelajar itu sendiri melahirkan idea kreatif," ujarnya.

Mengulas gaya fesyen kini yang banyak mengambil sentuhan lama, Faizal yakin orang ramai terbuka menerima gaya lama yang moden atau kontemporari.

Namun, identiti sebenar pakaian atau budaya tersebut tidak perlu hilang atau pupus.

Sementara itu, pemenang koleksi terbaik, Nur Shaadah Kamarudin, 23 mengetengahkan koleksi yang bertemakan Austerity of 'sikap'.

Koleksi ini mempamerkan gaya pakaian ke pejabat yang kemas dan formal.

"Ia lebih menunjukkan keperibadian pakaian. Sikap merupakan inspirasi pakaian yang dipakai oleh raja-raja Melayu lama.

Dari segi warna, saya lebih suka klasik. Seperti sentuhan fesyen kali ini, ia lebih ringkas dan kemas mengikut potongan si pemakai," katanya yang menyiapkan rekaan ini dalam tempoh lima bulan.

Pemenang koordinasi terbaik, Nurul Hanim Noor Azman, 23 pula menggunakan konsep sambungan pesak dan kekek (bahagian ketiak baju kurung). Baju yang diilhamkan berdasarkan pakaian Riau ini bertemakan A Touch Of Connection Gone. Ia merupakan gaya kasual yang canggih sesuai untuk imej universal.

"Pakaian yang saya hasilkan masih beridentiti Melayu walaupun ia lebih sesuai digayakan ketika bercuti pada musim sejuk di luar negara. Uniknya, baju sejuk ini masih mempunyai koordinasi identiti kita," jelasnya.

Sementara itu, Khairul Fahmi Mohd Kosni, 25 yang memenangi anugerah kreatif dan inovatif lahir dengan idea The Bearing Of A Sound yang dikaji berdasarkan alat muzik tradisional, gambus.

Pakaian yang dihasilkan daripada kain tafeta ini sesuai untuk gaun malam.

Pertunjukan fesyen graduan Jabatan Fesyen UiTM ini diadakan setiap semester sebagai penghargaan hasil rekaan mereka.

Ia juga merupakan medan yang menyaksikan bakat mereka sebagai pereka muda tempatan.

No comments:

Post a Comment