Friday, May 29, 2009

Kebaya untuk pengantin


ARKIB : 27/05/2009
Oleh MERAN ABU BAKAR

SETIAP wanita mempunyai impian untuk bersanding di atas pelamin dengan memakai baju pengantin yang cantik bak seorang puteri raja. Ini kerana kenangan menjadi ratu sehari akan dikenang seumur hidup.

Baju bersanding yang dibuat daripada kain renda Perancis menjadi pilihan kebanyakan gadis yang akan bergelar ratu sehari. Keindahan corak dan kelembutan fabrik renda Perancis yang mengikut bentuk tubuh si pemakai menjadi antara faktor ia menjadi pilihan.

Bagi bakal pengantin yang masih mencari-cari baju untuk bersanding, Cleo Studio menyediakan pelbagai rekaan dan potongan baju bersanding yang dibuat daripada kain renda Perancis.

Selain baju yang sepenuhnya dibuat daripada kain renda Perancis, turut terdapat rekaan yang digabungkan dengan kain sifon, sutera Thai dan satin.


Pemilik Cleo Studio, Maiyizat 'Ul Najwa Abdul Mutalib atau Wawa berkata, rekaan kebaya labuh, kebaya pendek, kebaya moden dan kurung moden sesuai untuk digayakan di majlis persandingan di dewan atau hotel.

"Wanita bertubuh gempal biasanya takut untuk memakai kebaya di majlis persandingan mereka. Sebenarnya kebaya bukan hanya untuk yang bertubuh kurus. Wanita gempal pun boleh memakai kebaya kerana kebaya yang disediakan oleh butik pengantin boleh diubah suai pada bahagian badan dan lengan .

"Pemakaian korset dapat menyembunyikan tubuh yang gempal di samping potongan baju yang tidak terlalu kembang dan kain A-line,'' kata Wawa semasa ditemui di butiknya baru-baru ini.

Menurut Wawa yang sudah lima tahun membuka butik pengantin, bagi pengantin yang bertubuh tinggi lampai pula, cantik dengan baju pengantin yang berpotongan kebaya dan kain bertingkat atau kain duyung.

Selain warna-warna asas yang biasa bagi baju bersanding seperti kuning, merah jambu, coklat, hijau pucuk pisang, jingga, hijau muda dan ungu muda, kata Wawa, pada masa kini sudah ada yang mula meminati warna hitam atau perak futuristik bagi majlis persandingan.

Warna hitam dan perak futuristik boleh digabungkan dengan warna hitam, putih dan merah.

Beliau berkata, selain baju bersanding daripada kain renda Perancis, masih terdapat mereka yang berminat menggayakan baju pengantin antarabangsa seperti baju Jawa, Korea, sari, ceongsam dan sebagainya. Kebiasaannya baju pengantin antarabangsa dipakai pada malam berinai.

Selain baju pengantin, Wawa turut menyediakan khidmat membuat pelamin, mekap, dekorasi dewan dan rumah, salon kecantikan, salon rambut dan spa mini.

No comments:

Post a Comment