Friday, May 22, 2009

United boleh turunkan skuad lemah




LONDON - Hasrat Manchester United untuk menurunkan skuad lemah dalam perlawanan terakhir liga menentang Hull City, Ahad ini mendapat sokongan ketua eksekutif Liga Perdana England, Richard Scudamore.

United yang sudah merangkul kejuaraan Liga Perdana minggu lalu bakal berdepan Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Rome, Rabu depan.

Pengurus mereka, Sir Alex Ferguson sebelum ini mempertimbangkan untuk merehatkan sebahagian besar tonggak utamanya dalam pertemuan dengan Hull bagi memberi tumpuan kepada cabaran Eropah.

"Anda tidak boleh menafikan hakikat bahawa mereka (United) sudah pun menjuarai liga dan bakal berdepan perlawanan penting menentang Barcelona Rabu depan.


"Anda kena realistik: Apa pun barisan yang hendak diturunkan dalam perlawanan Ahad ini, ia mestilah yang memberi manfaat kepada mereka,'' kata Scudamore kepada Radio BBC 5 Live.

Biarpun keputusan perlawanan hujung minggu ini tidak memberi sebarang makna buat United tetapi ia penting buat Hull dan tiga lagi kelab yang sedang bergelut untuk kekal dalam kancah Liga Perdana - Sunderland, Newcastle United dan Middlesbrough.


Pada ketika pasukan tercorot liga, West Bromwich Albion sudah pun menjadi pasukan pertama tersingkir ke divisyen bawah, dua lagi kelab bakal mengikuti jejak Bromwich, Ahad ini.

Ketika ini, Sunderland yang memiliki 36 mata menghuni lima kedudukan tercorot, manakala Hull dengan 35 di tangga empat tercorot, diikuti oleh Newcastle (34) dan Middlesbrough (32).

Pendatang baru Liga Perdana, Hull akan kekal dalam saingan liga utama musim depan sekiranya berjaya menewaskan United, malah mereka juga masih mampu kekal jika mencatat keputusan seri sambil Newcastle kalah kepada Aston Villa.

Scudamore percaya, walau apa pun barisan pemain yang bakal disenaraikan oleh Ferguson, United tetap turun untuk mencari kemenangan.

"Mereka (United) adalah kelab bola sepak paling profesional di kalangan kelab-kelab profesional.


"Sir Alex Ferguson akan menurunkan pasukan yang beraksi untuk menang dalam perlawanan Ahad ini,'' katanya. - REUTERS

No comments:

Post a Comment