Friday, May 29, 2009

Upin & Ipin terap nilai 1 Malaysia


ARKIB : 28/05/2009

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

KARAKTER animasi kembar Upin dan Ipin yang menjadi kegilaan ramai bukan sahaja kanak-kanak malahan golongan dewasa ternyata berjaya mencetus satu lagi revolusi baru terhadap seni hiburan tempatan.

Dua watak comel tersebut telah mula diperkenalkan di TV9 menerusi mini siri yang berdurasi selama tujuh minit di rangkaian itu sepanjang bulan Ramadan sejak dua tahun lalu.

Kekuatan jenama Upin dan Ipin ternyata sukar digugat, apatah lagi filem pertama yang turut menampilkan dua watak tersebut, Geng: Pengembaraan Bermula yang ditayangkan di pawagam bermula 12 Februari hingga 1 April lalu mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM6.3 juta.

Kejayaan berganda apabila filem terbitan Les' Copaque Productions (LCP), arahan Mohd. Nizam Abdul Razak itu menerima sijil Malaysia Book Of Records setelah muncul sebagai filem animasi 3D pertama diterbitkan di negara ini.

Di atas permintaan ramai, siri yang berjaya mencatat rating melebihi 1.5 juta itu sekali lagi bakal menemui peminat setianya sebanyak 42 episod untuk musim ketiga yang bakal memulakan siarannya di TV9 mulai Ogos ini.

Berbeza dengan tayangan dahulu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV9, Bukhari Che Muda, selain penayangan mini siri selama tujuh minit pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, ada penambahan satu lagi slot ulang tayang selama 30 minit.

Tambah menarik, siaran untuk musim ketiga itu mendapat tajaan daripada syarikat telekomunikasi terbesar negara, Telekom Malaysia Berhad (TM).

Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Bazlan Osman pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama dengan LCP memberitahu, kerjasama tersebut dilakukan kerana pihaknya percaya dengan kandungan nilai-nilai budaya yang diterapkan dalam siri tersebut sejak mula disiarkan.

"Siri tersebut yang mengetengahkan kehidupan kanak-kanak kembar dan rakan-rakannya yang berbilang bangsa di kampung melambangkan konsep 1 Malaysia.

"Malah, lebih separuh daripada tenaga kerja di belakang tabir siri tersebut merupakan graduan daripada Universiti Multimedia Malaysia (MMU), milik TM," katanya.

Tambah Bazlan, TM yang menyokong penerbitan produk-produk animasi turut merancang penggunaan high speed broadband bagi memudahkan tujuan mempromosi siri tersebut.

"Selain itu, ia dapat membantu membina jenama TM di kalangan kanak-kanak dan remaja, perkhidmatan tersebut membuka ruang jalur komunikasi untuk mendekati mereka," katanya.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie ketika berucap pada majlis yang sama berkata, sudah tiba masanya para penerbit animasi menghasilkan produk 'berwajah' tempatan.


"Animasi merupakan medium yang mampu mempengaruhi minda kanak-kanak. Nilai-nilai moral produk animasi barat tidak sesuai dengan budaya masyarakat tempatan.

"Upin dan Ipin diselitkan dengan kandungan asas budaya serta nilai-nilai kehidupan yang sesuai dengan konsep 1 Malaysia," katanya.

Upin & Ipin: Angkasa pada 2011

Belum lagi reda khalayak memperkatakan tentang kehebatan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula, LCP sudahpun merancang untuk penerbitan filem yang menampilkan si kembar Upin dan Ipin sebagai subjek utama.

Menariknya, filem yang bakal menerima sentuhan teknologi stereoscopic 3D yang dikatakan bakal menelan belanja RM6 juta itu bakal menjengah pawagam tempatan pada 2011.

Pengarah Eksekutif LCP yang juga pengarah Upin & Ipin, Nizam ketika ditemui memberitahu, filem yang bakal membawa pengembaraan Upin dan Ipin di angkasa lepas itu masih lagi dalam proses penulisan skrip.

Malah, katanya filem tersebut bakal diterbitkan dalam dwi bahasa (Melayu dan Inggeris) untuk memudahkan pasaran di peringkat global.

"Kalau boleh untuk filem akan datang ini kita (LCP) nak buat sebaik mungkin. Ramai yang gemarkan watak Upin dan Ipin dan ramai juga peminat yang mahukan kedua-dua watak itu dijadikan watak utama dalam filem sebab untuk filem Geng, Upin dan Ipin hanyalah sebagai watak tambahan.

"Atas permintaan ramai, kami membuat keputusan untuk menghasilkan Upin dan Ipin dalam bentuk filem pula," katanya.

No comments:

Post a Comment