Friday, May 29, 2009

Nash dari rock ke dangdut


ARKIB : 28/05/2009

Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM

KISAH cinta tiga segi bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan manusia. Malah ia seakan lumrah zaman sekarang kerana mereka rasa mampu untuk meletakkan seorang lagi insan ke dalam hati mereka.

Namun, apa yang menghairankan apabila cinta empat segi berlaku. Bertambah tidak dapat diterima akal kisah cinta empat segi ini melibatkan tiga wanita dan seorang lelaki, yang biasa sahaja tanpa sebarang keistimewaan.

Tiga orang wanita yang masing-masing ada daya penariknya merebut cinta seorang lelaki yang berusia lewat 40-an dan sudah mempunyai dua orang anak.

Wanita-wanita itu terdiri daripada isteri lelaki tersebut, seorang ibu ayam di sebuah kelab dangdut dan seorang lagi gadis muda yang sungguh menawan.

Bertambah uniknya kisah ini apabila lelaki berkenaan adalah Nash, vokalis rock legenda Lefthanded yang tidak asing lagi di kalangan peminat industri seni tanah air.

Apa sudah jadi? Adakah kerana Nash yang baru bercerai dengan isterinya maka ada lagi dua wanita ingin memiliki hatinya?

Jangan salah faham. Nash memang direbut oleh tiga orang wanita, tetapi semua itu hanyalah didalam lakonannya dalam telefilem Suamiku Seberang, Kekasihku...

Nash, atau nama sebenarnya Jamaluddin Elias, suatu ketika dahulu memang aktif berlakon drama dan filem. Namun sejak tiga tahun lalu dengan drama terakhirnya Plan A, dia terus menghilangkan diri.

Setelah sekian lama menyepikan diri, akhirnya Nash muncul kembali dalam sebuah telefilem arahan Hadji Maa Hayu yang bakal disiarkan di Astro Prima.

Tambah menarik, telefilem terbitan Nizarman (M) Sdn. Bhd., dengan skrip oleh Ishak Mohamad menampilkan Nash dengan watak komedi. Ini adalah sesuatu yang tidak pernah dia lakukannya.

Wataknya di dalam telefilem itu sebagai Heryanto, pendatang Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap Malaysia setelah berkahwin dengan wanita tempatan, Salmah, turut menuntut Nash bercakap slanga Indonesia.

Persoalannya, mampukah Nash melakonkan watak komedi?

Nash yang ditemui Hits baru-baru ini, ternyata berjaya menjiwai watak itu sehingga penulis pada mulanya tidak dapat mengenal pasti Nash adalah orang yang melakonkan watak komedi itu.


Realitinya, Nash memang berbakat. Dia boleh melakonkan watak komedi dengan baik, cuma tidak pernah diberi peluang sebelum ini.

Nash yang berkemeja-T dengan kain pelekat ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem itu di Kampung Klang Gate, Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini kelihatan benar-benar seperti warga Indonesia. Dicampur dengan loghat Jawanya yang kedengaran selamba membuatkan penulis tidak kering gusi sepanjang berada di set penggambaran itu.

"Watak saya sebagai Heryanto memang mencabar kerana ini adalah kali pertama saya berlakon watak komedi, tambahan pula kena bertutur dalam slanga Indonesia," katanya.

"Namun, dengan bimbingan pengarah dan pelakon-pelakon yang hebat seperti Rosnah Mat Aris dan Liza Abdullah, saya mampu membawa watak ini. Saya berharap penonton boleh menerima kemunculan saya dalam drama ini.

"Selepas ini, saya bercadang untuk aktif berlakon. Malah, saya juga sudah ditawarkan berlakon watak komedi selepas ini.

"Saya sangat berterima kasih kepada pengarah dan penerbit Nizarman kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak ini. Sebelum ini, saya sendiri tidak tahu saya mampu berlakon watak komedi.

"Selain berlakon watak komedi dan bertutur slanga Indonesia, saya juga menari dangdut dalam telefilem ini. Sayakan penyanyi rock, mestilah susah, tapi...tengoklah apa yang terjadi apabila penyanyi rock berdangdut!" ujarnya berseloroh.

Adeline kekok berdangdut

Bagi Adeline Anthony, gadis keturunan Cina-Kadazan ini, sebagai pendatang baru, dia berasa amat bertuah kerana digabungkan dengan pelakon-pelakon yang hebat dan berpeluang menimba ilmu daripada mereka.

Namun katanya, cabaran dalam telefilem ini adalah wataknya sebagai Sulastri memerlukan dia bercakap slanga Indonesia.

Ujarnya, dia sering tersasul loghat Sabah ketika menjalani penggambaran walaupun sudah berlatih bercakap slanga Indonesia berhari-hari.

"Antara cabaran lain bagi saya dalam membawa watak Sulastri apabila saya juga perlu menari dangdut. Saya boleh menari, tapi bukan tarian dangdut.

"Pada mulanya agak kekok kerana gerak saya seperti tarian moden, tetapi nasib baik ada yang membantu saya menunjukkan cara yang betul," ujarnya yang turut berlakon dalamdrama bersiri Tiga Janda dan Zati Dan Si Mawas.

Liza mewakili isteri yang setia

Bagi Liza Abdullah pula, wataknya sebagai Salmah adalah amat tipikal dengan wanita-wanita sekarang yang terlampau percaya dengan suami dan menyerahkan seluruh jiwa dalam melayari hidup berumah tangga.

"Salmah adalah seorang isteri yang setia dan percaya pada suaminya walaupun sering mendengar kisah kecurangan suaminya di luar.

"Kisah sebegini ada di dalam realiti kehidupan dimana ramai wanita tempatan bercinta dengan pendatang. Ramai juga isteri yang terlampau percaya membuta-tuli kepada suami mereka.

"Saya berharap dengan cerita Suamiku Seberang, Kekasihku... ini dapat memberi kesedaran kepada mereka untuk lebih berhati-hati," ujar Liza yang pertama kali digandingkan dengan Nash.

Rosnah dan kelab dangdut

Jika dilihat drama-drama lakonan Rosnah Mat Aris sebelum ini, ternyata wataknya sebagai ibu ayam kelab dangdut bukanlah satu cabaran baginya.

Menurut Rosnah, dia sering mendapat watak penggoda dan gedik. Walaupun watak Nilam Surkasih mudah dijiwai namun ia perlu ditangani dengan baik.

"Wataknya sebagai pengurus kepada anak-anak buahnya di kelab dangdut menemukan dia dengan Heryanto tetapi Heryanto pula menyukai anak buahnya, Sulastri.

"Mungkin ada yang menganggap watak itu biasa-biasa saja, tapi...bagi saya penghayatan watak dalam setiap drama yang dilakonkan amat penting.

"Watak penggoda memang mudah, tapi...bagaimana kita menzahirkannya dalam pelbagai wajah amat penting," kata Rosnah.

Nash pandai melawak

Menurut Hadji Maa Hayu, Nash dipilih sebagai tonggak utama Suamiku Seberang, Kekasihku... kerana dia mengenali Nash dan penyanyi itu memang ada unsur-unsur komedi.

Tambahnya, dia suka mencuba sesuatu yang baru dalam setiap drama arahannya dan percaya watak Nash sebagai pelakon komedi sesuatu yang sangat unik dan boleh diterima ramai.

"Contohnya senimanMahmud June, Allahyarham ketika di studio Jalan Ampas sering diberikan watak bengis dan ganas.

"Kemudian baru dia diberi peluang melakonkan watak komedi dan ternyata beliau berjaya dengan watak sedemikian.

"Saya yakin disebalik jiwa rock Nash, dia mampu menonjolkan jiwanya yang satu lagi, iaitu seorang yang kelakar," ujarnya.

No comments:

Post a Comment