Tuesday, June 2, 2009

Ancelotti akhirnya kembali ke Chelsea


LONDON - Carlo Ancelotti berikrar untuk memenuhi harapan pemilik Chelsea, Roman Abramovich yang begitu dahagakan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah sebaik diumumkan sebagai pengurus baru kelab gergasi England itu, semalam.

Selepas 24 jam melepaskan jawatannya sebagai jurulatih di AC Milan, Ancelotti terus menandatangani kontrak tiga tahun bersama Chelsea yang menawarkan gaji 6.5 juta pound setahun.


Bagaimanapun Ancelotti yang dijadual memulakan tugasnya hanya pada 1 Julai ini, mengakui akan tekanan yang bakal dihadapinya dalam memenuhi cita-cita Abramovich itu.

"Sebenarnya tekanan itu sama saja ketika saya mengemudikan Milan kerana status kedua-dua kelab tidak jauh bezanya.

"Memang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sesuatu yang indah kerana saya pernah melaluinya sebagai pemain pada 1989 dan 1990.

"Malah, ketika menjadi jurulatih juga, ia ternyata menakjubkan. Semua orang mahu memenanginya kerana ia adalah pertandingan yang terbaik di dunia.

"Tidak terkecuali Chelsea yang sudah pun mempunyai rekod hebat, lima kali layak ke separuh akhir dalam tempoh enam tahun.

"Jadi sudah tiba masanya, kami perlu menjuarainya," katanya yang pernah membimbing Juventus dan Parma tetapi ini kali pertama berhijrah ke England.

Berbekalkan pengalaman dan rekod kejayaan di liga terbesar Eropah itu, Ancelotti yang pantas menggantikan Guus Hiddink dianggap pilihan terbaik untuk Chelsea mengakhiri kemarau tersebut.

Ancelotti pernah mengemudi Milan muncul juara pada 2003 menewaskan Juventus dan 2007 menewaskan Liverpool di samping muncul naib juara pada 2005.

Jika itu dianggap masih tidak cukup, Ancelotti punya satu lagi rekod yang boleh dibanggakan iaitu pernah menjuarai Piala Eropah ketika beraksi dengan Milan.

Di pihak Abramovich, sejak membeli Chelsea pada 2003, rezekinya untuk merangkul kejuaraan Eropah itu masih tidak kunjung tiba.

Pada perlawanan akhir 2008, mereka tewas kepada Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti.

Malah, sebelum itu, mereka juga pernah tewas di separuh akhir kepada Monaco, Liverpool dua kali dan Barcelona pada musim ini. - AFP

No comments:

Post a Comment