Thursday, June 4, 2009

Ancelotti mampu beri masalah – Gerrard


LONDON – Steven Gerrard percaya, usaha Liverpool untuk merangkul kejuaraan bola sepak Liga Perdana England buat kali pertama selepas 20 tahun bertambah sukar dengan Carlo Ancelotti kini menjadi pengurus baru Chelsea.

“Ia merupakan pelantikan yang bagus untuk Chelsea tetapi saya tidak pasti sama ada ia juga bagus untuk Liverpool.

“Saya percaya pemain-pemain Chelsea pasti sangat teruja. Kalau anda lihat di seluruh dunia ada ramai pengurus yang bagus, dan Ancelotti adalah salah seorang daripadanya,’’ kata Gerrard, yang bertemu jurulatih dari Itali itu dua kali ketika Liverpool menentang AC Milan dalam dua final Liga Juara-Juara Eropah pada 2005 dan 2007.

Chelsea berharap kehadiran Ancelotti mampu membina kestabilan dalam pasukan itu selepas bertukar lima pengurus dalam tempoh kurang dua tahun.

Musim lalu, Liverpool berjaya mengalahkan Chelsea dalam kedua-dua perlawanan Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 19 tahun.

Namun, pasukan Reds itu gagal menghalang Manchester United daripada mempertahankan kejuaraan liga buat kali ketiga berturut-turut, biar pun turut menewaskan skuad bimbingan Sir Alex Ferguson itu dalam kedua-dua perlawanan liga.

Kali terakhir Liverpool menjulang gelaran Liga Perdana adalah pada 1990, dan Gerrard percaya usaha untuk menamatkan kemarau panjang itu tidak mudah dengan kehadiran Ancelotti.

Liverpool mengalahkan Milan menerusi penentuan sepakan penalti selepas bangkit daripada ketinggalan 3-0 pada final Liga Juara-Juara Eropah 2005 untuk menyamakan kedudukan 3-3.

“Dalam dua perlawanan akhir Liga Juara-Juara, pasukannya (Milan) sangat tersusun dan saya sedar dia (Ancelotti) mempunyai kemampuan menukar formasi dan impak individu pada bila-bila masa.

“Jika anda tengok persembahan AC Milan pada separuh masa pertama ketika menentang kami di Istanbul, ia memang menyesakkan,’’ kata Gerrard, mengenai final Liga Juara-Juara 2005. – AP

No comments:

Post a Comment