Wednesday, June 3, 2009

Kaka masih setia bersama Milan


MILAN - Bintang bola sepak Brazil, Kaka mengulangi pendiriannya untuk kekal bersama AC Milan dan merayu semua pihak agar menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan Chelsea.

"Saya mahu memberitahu kepada jutaan peminat AC Milan bahawa saya sudah pun membuat pilihan saya.

"Sudah banyak kali menyatakan bahawa saya mahu kekal di sini (Milan), jadi sekarang tolong biarkan saya sendirian.

"Tolong tulis apa yang saya kata ini, saya mahu kekal bersama AC Milan dan bermula dari hari ini, isu sudah berakhir,'' kata Kaka kepada akhbar La Gazzetta dello Sport, semalam.

Media Sepanyol, kelmarin melaporkan bahawa perancang utama Brazil itu menjadi sasaran baru juara Eropah sembilan kali, Real Madrid.

Sementara media England pula heboh memperkatakan mengenai masa depan bekas Pemain Terbaik Dunia itu yang dikatakan mahu mengikuti jejak bekas jurulatih AC Milan, Carlo Ancelotti berhijrah ke Chelsea.

"Saya akan berkata buat kali terakhir, ini yang terakhir. Saya tidak mahu meninggalkan Milan,'' tegas Kaka lagi. - AP

No comments:

Post a Comment