Wednesday, June 3, 2009

Terry tagih impian besar daripada Ancelotti


LONDON - Ketua pasukan Chelsea, John Terry mengakui tugas pertama Carlo Ancelotti di Stamford Bridge memastikan Blues sebagai pesaing utama Liga Perdana England musim depan.

Ancelotti kelmarin menandatangani perjanjian tiga tahun yang bernilai 6.5 juta pound (RM37.2 juta) setahun bagi menggantikan tempat Guus Hiddink sebagai pengurus kelab barat London tersebut.

Pengendali dari Itali itu menjadi sasaran pemilik Chelsea, Roman Abramovich kerana latar belakangnya yang mempunyai kejayaan memberangsangkan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah.

Ancelotti mempunyai rekod ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali ketika membimbing AC Milan dan dua daripada penyertaan itu berakhir dengan kemenangan.

Malah, dia juga pernah merasai nikmat kejuaraan kejohanan Eropah tersebut ketika menjadi pemain Milan suatu ketika dahulu.

Namun begitu, pemain pertahanan England, Terry lebih memberi tumpuan kepada prestasi cemerlang Chelsea di peringkat liga tempatan, selepas Blues menamatkan musim ini di luar daripada dua pasukan terbaik buat kali pertama sejak kelab itu dibeli Abramovich pada 2003.

Hiddink meninggalkan Chelsea dengan merangkul Piala FA, Sabtu lalu.

Malah, Ancelotti berkeyakinan bahawa kelab itu mampu mengakhiri kejayaan tiga tahun berturut-turut Manchester United muncul sebagai juara Liga Perdana England.

Terry yang begitu yakin bahawa Chelsea akan mengakhiri kemarau gelaran tersebut berharap agar Ancelotti adalah seorang pengendali yang mampu membawa kembali gelaran tersebut ke Stamford Bridge.

Dalam satu surat terbuka kepada peminat setia Chelsea, Terry berkata: "Dia (Hiddink) hadir pada masa yang sukar apabila banyak perkara seolah-olah terlepas daripada kami.

"Oleh yang demikian, membimbing pasukan ini ke perlawanan akhir Piala FA dan berada begitu hampir ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara adalah satu pencapaian yang hebat.

"Malah, ada yang menyatakan bahawa kedudukan tiga terbaik liga adalah satu pencapaian yang belum cukup bagus buat Chelsea.

"Ia merupakan kesudahan paling buruk buat kelab ini sejak dibeli oleh Abramovich. Kami tahu bahawa pasukan ini boleh melakukan yang lebih baik daripada mencapai keputusan ini.

"Ia menjadi satu perkara yang menarik untuk menjuarai Piala FA. Namun begitu, kami mahu lebih daripada itu. Itulah perkara yang sangat diperlukan oleh kelab ini pada masa ini.

"Pemain akan bergembira pada musim cuti ini dan kembali untuk menghadapi pramusim dengan keazaman tinggi. Apa yang pastinya, kelab ini memandang ke hadapan untuk memperoleh kejayaan hebat bersama pengurus, Carlo Ancelotti.'' - AFP

No comments:

Post a Comment