Friday, June 19, 2009

Masih peringkat cadangan



Oleh FAUZI JAAFAR
utusansarawak@utusan.com.my


SERIAN 18 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan pembinaan jambatan ketiga bagi menghubungkan Malaysia dan Singapura masih di peringkat cadangan.

Beliau berkata, kerajaan akan membuat kajian kesesuaian terlebih dahulu sama ada jambatan tersebut menguntungkan atau tidak jika mahu dilaksanakan.

"Sebenarnya ini (jambatan ketiga) bukan keputusan muktamad lagi, ini peringkat cadangan dan kita akan ambil langkah buat kajian dulu.

"Jadi ada masa untuk kita runding dengan Tuanku dan kerajaan negeri sekiranya projek ini menjadi kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan ketiga tersebut.

Titah baginda itu disampaikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail pada perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini.

Najib pada sidang akhbar di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Pichin di sini berkata, kerajaan belum melantik mana-mana pihak untuk membuat kajian kesesuaian projek tersebut.

"Kita belum melantik mana-mana pihak membuat kajian (kesesuaian jambatan ketiga), kita kena berunding dengan Singapura," katanya.

Najib ketika mengadakan lawatan dua hari ke Singapura Mei lalu mengumumkan cadangan Malaysia untuk membina sebuah jambatan baru bagi menghubungkan Johor ke republik berkenaan.

Menurut Perdana Menteri, selain kemudahan awam, pembinaan jambatan itu juga mampu membangunkan kawasan timur Johor seperti Desaru dan Mersing hingga ke Kuantan di Pahang dan Terengganu.

Sementara itu Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang bertemu Najib baru-baru ini telah menyuarakan keinginan republik itu yang sepakat dengan Malaysia untuk membina jambatan berkenaan.

No comments:

Post a Comment