Friday, June 12, 2009

RM461 juta untuk Ronaldo


MANCHESTER, England - Manchester United bersetuju menjual Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid dengan rekod perpindahan termahal di dunia sebanyak 96 juta euro atau 80 juta pound (RM461.5 juta), kata kelab itu semalam.

''Manchester United menerima tawaran perpindahan rekod dunia, tawaran tanpa syarat 80 juta pound untuk Cristiano Ronaldo dari Real Madrid,'' kata kenyataan kelab itu dalam laman webnya di bawah tajuk 'Reds terima bidaan £80 juta untuk Ronaldo.'

Tambah kenyataan tersebut: ''Atas permintaan Cristiano - yang menyatakan hasrat untuk meninggalkan kelab ini - dan selepas berbincang dengan wakil pemain itu, United telah bersetuju memberi kebenaran kepada Real Madrid berbincang dengan pemain itu.

''Semuanya ini dijangka akan dimuktamadkan menjelang 30 Jun. Kelab tidak akan memberi ulasan sehingga notis selanjutnya.''

Ronaldo sudah lama menjadi buruan kelab gergasi Sepanyol itu, terutama selepas presiden kelab itu Florentino Perez awal minggu ini berjanji untuk melakukan 'apa saja yang terdaya' untuk membawa pemain berusia 24 tahun itu ke Bernabeu.

Laporan perpindahan Ronaldo menjelma beberapa hari selepas Real membelanjakan 56 juta pound (RM323.5 juta) untuk perpindahan tonggak Brazil, Kaka dari kelab Itali AC Milan, ketika kelab itu mahu menyaingi musuh ketat Barcelona dalam liga domestik, juga Manchester United dan Chelsea dalam kempen Liga Juara-Juara.


Sebelum ini penyokong United telah berulang kali dimaklumkan bahawa tiada perbincangan dipersetujui mengenai penjualan Pemain Terbaik Dunia FIFA itu.

Real Madrid semalam turut mengesahkan mereka telah menawarkan bidaan untuk mendapatkan khidmat Ronaldo daripada Manchester United.

"Real Madrid mengesahkan telah melakukan tawaran kepada Manchester United untuk mendapatkan hak terhadap pemain, Cristiano Ronaldo. Kelab berharap untuk mencapai satu kata sepakat dengan pemain itu beberapa hari lagi," kata gergasi Sepanyol itu pada laman web mereka.

Dalam pada itu, laporan di England menyebut Ronaldo, yang kini bercuti di Los Angeles, pada awal tahun ini telah bersetuju dengan syarat pra kontrak bersama kelab Sepanyol itu dengan bayaran 8.3 juta pound (RM48 juta) setahun untuk tempoh lima tahun berikutnya.

Ronaldo berminat untuk menyertai Real selama 18 bulan sehingga bos United, Sir Alex Ferguson terpaksa membuat rayuan saat akhir bagi memujuk pemain itu supaya kekal di Old Trafford tahun lalu.

Bekas bintang Sporting Lisbon itu yang menyertai United dengan bayaran 12 juta pound (RM69.3 juta) pada 2003, jelas mahukan cabaran baru selepas memenangi Liga Juara-Juara pada 2008. - AFP

No comments:

Post a Comment