Friday, June 5, 2009

Rakyat Sarawak gusar dengan caj Kastam Brunei

Terkini
05/06/2009 10:24am

MIRI 5 Jun — Operator pengangkutan barangan dan pengunjung tempatan merasa terkilan dengan apa yang mereka sifatkan sebagai caj perkhidmatan yang tinggi yang dikenakan oleh Kastam dan Eksais Diraja Brunei Darussalam ke atas barangan yang mereka bawa melalui sempadan negara itu untuk ke Limbang.

Caj sebanyak B$25 atau kira-kira RM60 dikatakan dikenakan ke atas barang kawalan yang dibawa dengan kenderaan persendirian dan B$100 atau kira-kira RM242 bagi barangan kawalan yang dibawa dengan kenderaan perdagangan, semasa melalui pusat pemeriksaan di sempadan Malaysia-Brunei sejak 1 April lalu.

Limbang yang merupakan bahagian paling utara di Sarawak, hanya boleh disampai menerusi jalan darat dari mana-mana kawasan di Sarawak atau Sabah, melalui Brunei.

Menurut Persatuan Pemilik Lori Miri, ekoran caj tersebut, mereka terpaksa membayar hampir RM500 bagi mambawa muatan untuk ke Lawas, daerah paling utara di Limbang.

Naib pengerusi persatuan tersebut, Kong Min Seng memberitahu Bernama, hampir kesemua barangan kawalan yang ditetapkan oleh Brunei, merupakan barangan keperluan harian untuk penduduk seperti minyak masak, beras, telur malah surat khabar.

Kong berkata pihaknya telah berdialog dengan kastam Brunei mengenai perkara itu, namun sehingga kini caj tersebut masih juga dikenakan. - Bernama

No comments:

Post a Comment