Friday, June 5, 2009

Milan perlu jual Kaka, Chelsea tidak berminat


MILAN - Presiden AC Milan, Silvio Berlusconi dan pengerusinya, Adriano Galliani mengakui, gergasi bola sepak Itali itu terpaksa menjual Kaka untuk menyelesaikan masalah kewangan serta hutang kelab itu.

"Milan mempunyai imbangan kewangan yang sukar dibayangkan dengan mengalami kerugian 50-60 juta euro (RM247-RM295 juta) setahun.

"Kali ini, kami tidak mampu lagi menanggung kerugian,'' kata Berlusconi, yang juga Perdana Menteri Itali.

Berlusconi dalam temuramah dengan stesen Telelombardia TV turut mengakui, Milan sebenarnya mahu mengekalkan Kaka, namun mereka juga hanya mahukan pemain yang benar-benar berminat dengan AC Milan."

"Kaka merupakan orang muda yang amat luar biasa, tetapi jika memikirkan kariernya yang singkat memang wajar baginya untuk memikirkan tentang faktor kewangan.

"Jika kami menaikkan gaji Kaka, maka gaji keseluruhan pemain dalam pasukan ini juga perlu dinaikkan dan Milan tidak punya kemampuan untuk melakukannya,'' kata Berlusconi.

Gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid hampir pasti menjadi destinasi baru Kaka selepas pesaing utama mereka, Chelsea semalam menafikan cuba mengatasi tawaran 65 juta euro (RM322 juta) yang dikemukakan Real.

Akhbar Itali, La Gazzetta dello Sport dan Corriere dello Sport melaporkan Galliani berada di Madrid, Selasa lalu untuk bertemu bapa dan pengurus Kaka, Bosco Leite bagi menyelesaikan urusan perjanjian.

Selepas empat jam berunding dengan presiden Real, Florentino Perez, persetujuan dicapai dan Kaka ditawarkan gaji 9.5 juta euro (RM47 juta) setahun untuk lima musim, lapor akhbar Gazzetta lagi.

Namun, beberapa jam kemudian, akhbar-akhbar di Britain pula melaporkan bahawa Chelsea mahu mengatasi tawaran Real dan menawarkan 73.5 juta pound (417.65 juta) kepada Milan, manakala Kaka ditawarkan gaji 10 juta pound (RM57 juta) setahun.

Chelsea, yang baru mengikat kontrak dengan bekas jurulatih Milan, Carlo Ancelotti bagaimanapun menafikan laporan itu dan menegaskan mereka tidak pernah membuat tawaran kepada Milan untuk membeli Kaka, sambil menyifatkan semua laporan tidak benar.

Kenyataan Chelsea itu disambut gembira oleh Perez, yang menganggap Real kini hanya menunggu masa untuk membawa masuk Kaka dan memulakan pembentukan era kedua galactico. Namun, dia mengakui belum ada wang yang berpindah tangan setakat ini.

"Kenyataan Chelsea itu memberi kelebihan kepada kami. Jika mereka tidak bersaing, maka sudah tentu kami punya peluang lebih cerah. Lagi pun, kami mempunyai hubungan baik dengan Milan.. ia memudahkan sebarang perjanjian dilakukan, dan lebih penting lagi pemain itu sendiri berminat untuk beraksi di sini,'' kata Perez kepada stesen tv Sepanyol, Antena TV.

Semalam, kira-kira 30 penyokong Milan berhimpun di luar pejabat kelab Serie A itu bagi membantah perpindahan Kaka, situasi yang sama ketika pemain itu dikaitkan dengan Manchester City, Januari lalu.

Kaka kini berada di Brazil untuk menyertai skuad kebangsaan negaranya menghadapi kelayakan Piala Dunia dan Piala Konfederasi.

Sebelum berlepas pulang, perancang utama Brazil itu menegaskan, dia gembira berada di Milan. - AP

No comments:

Post a Comment