Friday, July 10, 2009

DAP Kedah kembali sertai kerajaan pakatan pembangkang

Terkini
10/07/2009 2:47pm

ALOR SETAR 10 Julai – DAP Kedah hari ini mengumumkan menyertai semula kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini selepas keluar daripada pakatan itu 10 hari lalu.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su berkata, keputusan tersebut dibuat setelah ahli DAP negeri sebulat suara bersetuju untuk kembali menyokong kerajaan negeri pimpinan Pas.

Katanya, mereka berpendapat segala isu berbangkit sebelum ini sudah selesai dan yakin dapat berkerjasama dengan kerajaan negeri berikutan penubuhan sekretariat bersama bagi memastikan perbezaan pendapat antara mereka dapat diselesaikan dengan baik.

"Kami akan menghantar surat kepada jawatankuasa tertinggi parti untuk memaklumkan bahawa DAP Kedah menarik balik surat keluar daripada pakatan pembangkang negeri Kedah yang dihantar pada 1 Julai lalu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan keputusan itu juga, wakil rakyat tunggal parti itu di negeri ini, Lee Guan Aik yang sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkecuali kembali menjadi penyokong kerajaan negeri.

Ketegangan hubungan antara DAP Kedah dan kerajaan negeri memuncak pada 1 Julai lalu apabila parti itu mengisytiharkan keluar pakatan pembangkang.

Ini kerana mereka tidak berpuas hati dengan beberapa isu termasuk tindakan merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di sini. - Utusan

No comments:

Post a Comment