Friday, July 10, 2009

Mansuh PPSMI bukan desakan - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR 9 Julai - Keputusan kerajaan mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bukan kerana desakan pihak tertentu sebaliknya ia hasil keputusan analisis pelaksanaan dasar itu selama enam tahun.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tidak boleh dengan serta-merta menukar dasar yang dilaksanakan tanpa membuat pertimbangan sewajarnya walaupun wujud desakan kuat supaya ia dimansuhkan.

Beliau yang bersetuju dengan langkah kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2012 berkata, keputusan itu dibuat setelah dianalisis keberkesanan pelaksanaan dasar itu sejak 2003.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima berhubung keberkesanan dasar itu, menunjukkan ia gagal.

Kerajaan jelas beliau, harus menjalankan kajian terlebih dahulu untuk memastikan keputusan yang dibuat lebih adil kepada semua pihak.

"Sebelum ini kita banyak mendapat memorandum meminta untuk mengkaji semula, maka kita menetapkan supaya satu kajian dibuat mengikut tempoh pelaksanaan dasar itu iaitu selama enam tahun (2003 hingga 2009).

"Dan semalam keputusan telah dicapai menerusi kajian selama enam tahun itu. Itu membuktikan keputusan semalam dibuat bukan kerana desakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Masjid di Jerman di Muzium Kesenian Islam di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI dengan Sains dan Matematik kembali diajar dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Perubahan pelaksanaan dasar tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Abdullah berkata, sejak PPSMI dilaksanakan Kementerian Pelajaran telah dari awal bersedia untuk melihat semula dasar tersebut sama ada ia wajar diteruskan atau tidak.

Katanya, desakan mengenai PPSMI dan permintaan untuk dikaji semula berlaku ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri pada 2004.

Jelasnya, setelah berbincang dengan Menteri Pelajaran pada masa itu (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), kerajaan memutuskan supaya dasar tersebut diberi kesempatan untuk dilaksanakan dari 2003 hingga 2009.

Kerajaan jelas beliau, terpaksa meneruskan dasar itu berikutan tidak mahu pelajar terganggu dan seterusnya menjejaskan pembelajaran pelajar.

Abdullah berkata, selain memartabatkan bahasa Melayu, penggunaan bahasa Inggeris hendaklah ditingkatkan lagi dan rakyat harus menguasai kedua-dua bahasa itu.

"Saya yakin, dasar baru ini akan memantapkan lagi pembelajaran para pelajar dan mereka juga akan lebih mudah menguasai kedua-dua bahasa itu tanpa ada sebarang masalah pada masa depan terutama untuk ke universiti," katanya.

Sementara itu, ditanya pandangannya mengenai pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama 100 hari memimpin negara, Abdullah berkata, beliau berjaya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak.

Beliau juga yakin segala dasar yang dilaksanakan Najib termasuk berkaitan ekonomi akan diterima oleh rakyat.

"Najib merupakan individu yang saya pilih untuk memimpin negara, beliau mampu dan dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau semakin menjadi perhatian rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment