Friday, July 10, 2009

PPSMI: 80 peratus pengundi blog Tun M tidak sokong pemansuhan

Terkini
10/07/2009 5:51pm

KUALA LUMPUR 10 Julai — Kira-kira 80 peratus daripada 26,000 pengunjung blog Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengambil bahagian dalam undian blog didapati tidak menyokong keputusan kerajaan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu.

Bekas perdana menteri itu yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan supaya mata pelajaran Sains dan Matematik diajar semula di dalam Bahasa Melayu dan bahasa ibunda di sekolah Cina dan Tamil berkata, beliau mengadakan undian blog itu untuk mengkaji sendiri sentimen masyarakat berhubung pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang diperkenalkan pada 2003.

“Saya (anjur) blog poll ini supaya kita dapat tahu apa pendapat orang ramai dan tentu bila dapat result kalau tak dapat kemuka cara lain, sekurang-kurangnya dalam blog akan sampai, itupun kalau ada orang kerajaan baca blog saya,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis Wacana Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada keputusan pemansuhan PPSMI itu adalah salah, Dr. Mahathir menegaskan bahawa tujuan PPSMI diperkenalkan adalah supaya para pelajar dapat menguasai ilmu yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris.

“Ia bukan mengenai cuba belajar bahasa Inggeris atau Melayu...ia semata-mata untuk pengetahuan kerana pengetahuan pada hari ini datang kepada kita dalam bahasa Inggeris.

“Hari ini pengetahuan berada dalam kalangan orang yang menulis dalam bahasa Inggeris dan atas sebab itu kami mahu belajar bahasa Inggeris untuk mendapatkan pengetahuan, bukan untuk belajar bahasa Inggeris tetapi Sains mempunyai istilah khas dalam bahasa Inggeris. Sebab itu kenapa penting untuk kita menggunakan bahasa Inggeris untuk belajar Sains dan Matematik,” katanya.

Mengenai pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr. Mahathir berkata, pertemuan itu hanyalah untuk sesi penerangan kepadanya berhubung isu PPSMI tetapi tidak dimaklumkan mengenai keputusan PPSMI.

Mengalu-alukan tindakan Muhyiddin untuk bertemu dan memberi penerangan kepadanya, Dr. Mahathir bagaimanapun menegaskan beliau tidak berharap dirujuk setiap kali kerajaan mahu melaksanakan perubahan dasar, terutama yang dibuat ketika di bawah pentadbiran beliau. - Bernama

No comments:

Post a Comment