Friday, July 10, 2009

Gagasan '1Malaysia' boleh jadi jenama hebat - Muhyiddin

Terkini
10/07/2009 4:09pm

KAMPAR 10 Julai — Gagasan ’1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’ boleh menjadi satu jenama hebat sekiranya seluruh lapisan masyarakat memahami konsep yang dibawa, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, konsep itu membawa maksud dan komponen yang baik antaranya semangat perpaduan, kerjasama, saling bantu-membantu dan tidak ada perbezaan layanan dalam kesaksamaan kepada semua lapisan masyarakat.

“Untuk memahami gagasan ini yang perlu diperjelaskan lagi kepada rakyat ia akan mengambil masa. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan masuk 100 hari, ini idea baru dan ia mengambil masa untuk orang faham.

“Bukan (konsep) 1Malaysia sahaja tetapi konsep rakyat didahulukan jangan diputar-belit sehingga menimbulkan salah faham kerana ia satu pendekatan penting yang boleh diperluaskan dalam pelbagai bentuk,” katanya pemberita selepas melancarkan Festival Minda Malaysia kelima anjuran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia Mental Literacy Movement dan Kolej TAR di sini hari ini.

Katanya makna dan konsep 1Malaysia akan dijelaskan kementerian dan agensi kerajaan terutama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment