Friday, July 10, 2009

Sembilan pakar ekonomi anggotai MPEN

Terkini
10/07/2009 3:28pm

PUTRAJAYA 10 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pelantikan sembilan tokoh untuk menganggotai Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN).

Menurut Perdana Menteri, kesemua mereka merupakan pakar ekonomi tempatan dan luar negara.

"Penglibatan dan penggabungan tokoh-tokoh pakar tempatan serta luar negara yang berpengalaman luas dan mendalami dari segi perspektif global adalah untuk memberi pandangan dan syor yang komprehensif bagi merangka strategi model ekonomi baru yang berkesan.

"Ia bertujuan mengatasi cabaran ekonomi negara untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Mereka yang dilantik ialah:

1. Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Beliau merupakan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia; ahli Majlis Inovasi Negara dan penasihat kepada Institut Penyelidikan Pengajian Tinggi Kebangsaan.

2. Datuk Andrew Sheng

Beliau merupakan bekas Ketua Pakar Ekonomi Bank Negara dan ahli Majlis Ekonomi. Beliau juga ialah Ketua Penasihat Suruhanjaya Kawalan Perbankan China dan Ahli Lembaga Kawalan Pusat Kewangan Qatar.

3. Datuk Dr. Zainal Aznam Mohd. Yusof

Beliau ialah ahli Majlis Ekonomi; bekas Timbalan Pengarah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) serta pernah menjadi perunding kepada Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unido), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) dan Bank Dunia.

4. Datuk Dr. Hamzah Kassim

Beliau ialah ahli penasihat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) dan bekas Pengarah Kajian ISIS. Beliau pernah menyediakan Rancangan Induk Teknologi Industri dan memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam industri di peringkat antarabangsa dan sektor awam.

5. Datuk Nicholas S. Zefferys

Beliau merupakan penasihat korporat yang mempunyai 40 tahun pengalaman dalam jawatan pengurusan strategik di syarikat multinasional merentasi beberapa bidang industri termasuk elektronik, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan serta kewangan. Pada masa ini beliau merupakan ahli lembaga pengarah beberapa syarikat dalam dan luar negara.

6. Dr. Mahani Zainal Abidin

Beliau ialah Ketua Pengarah ISIS dan pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pasukan Petugas Khas Globalisasi serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

7. Dr. Yukon Huang

Pada masa ini, beliau ialah Penasihat Kanan Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia (ADB). Beliau merupakan pakar dalam bidang kewangan dan pembangunan meliputi Wilayah Asia Timur serta bekas Kesatuan Soviet.

8. Dr. Horni J. Kharas

Beliau merupakan Fello Kanan Pusat Pembangunan Wollfensohn, Brookings Institution dan Ketua Pakar Ekonomi Wilayah Asia Timur di Bank Dunia. Kepakarannya meliputi bidang perancangan dasar bagi pembangunan ekonomi, pembangunan sektor swasta dan perdagangan antarabangsa.

9. Profesor Dr. Danny Quah

Beliau adalah Ketua Jabatan Ekonomi di London School of Economics (LSE). Beliau juga menjadi pensyarah di Universiti Harvard dan penasihat kepada Bank of England, Bank Dunia serta Lembaga Kewangan Singapura.

Sebelum ini, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, 59, dilantik sebagai Pengerusi MPEN berkuat kuasa 1 Jun lalu. - Utusan

No comments:

Post a Comment