Friday, September 4, 2009

Arah adakan EGM untuk elak perpecahan - Tee Keat

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, beliau mengarahkan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan sebelum 30 September ini kerana ingin mengelak perpecahan dalam parti itu.

Beliau berkata, EGM akan membolehkan ahli menetapkan pendirian sama ada menyokong atau menolak resolusi untuk parti melalui undian.

Katanya, ahli parti tidak perlu takut menyatakan pendirian kerana setiap undi adalah rahsia.

"Selepas undi terakhir dikira dan keputusan dicapai, parti boleh kembali kepada proses penyuburan dan pembaharuan semula dengan sedikit sahaja kesan terhadap MCA," kata beliau dalam blognya, http://www.ongteekeat.net/gogo_en/.

Isnin lalu, MCA mengumumkan EGM parti itu akan diadakan sebelum 30 September ini.

Setiausaha Agung MCA, Senator Datuk Wong Foon Meng berkata, dengan pengumuman itu MCA akan menangguhkan mesyuarat agung tahunannya (AGM) kepada 11 Oktober 2009.

Dalam pada itu, Tee Keat membidas bekas Timbalannya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang didakwanya menjalankan kempen menjelajah ke seluruh negara untuk mengumpul tandatangan perwakilan.

"(Tindakan) Menjelajah ke seluruh negara untuk mengumpul tandatangan perwakilan meminta diadakan EGM bermakna memaksa mereka membuat pendirian.

"Jika mereka tandatangan, ia bermakna mereka menyokong pemimpin tertentu dan jika tidak tandatangan bermakna mereka menyokong pihak yang satu lagi," ujarnya.

Beliau berkata, perkembangan itu adalah tidak sihat untuk MCA yang sedang melalui proses penyembuhan selepas pilihan raya umum lepas.

"Saya ada dengar kes perwakilan didesak atau dipaksa menurunkan tandatangan.

"Untuk mengelak perkara itu berlaku, saya membuat keputusan untuk mengadakan EGM," ujarnya.

Tee Keat berkata, ada pihak tertentu cuba mengelirukan ahli parti dan orang ramai berhubung EGM itu dengan mewujudkan perselisihan dalam MCA bagi mencapai agenda peribadi.

No comments:

Post a Comment