Friday, September 4, 2009

Jangan ambil peduli – Tun Mahathir

ALOR SETAR 3 Sept. – Rakyat dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu ambil peduli tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang di Perak semalam kerana ia hanya taktik mereka untuk meraih sokongan politik, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan mereka mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bukannya sah daripada segi undang-undang.

“Dia nak buat, biar pi dia buat. Buat apa nak ambil peduli. Bukan ada taraf rasmi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membeli-belah dan meninjau Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan ADUN pakatan pembangkang di Perak yang mengadakan perhimpunan haram di sebuah hotel di Ipoh semalam selepas gagal memasuki Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak setelah dihalang polis.

Dr. Mahathir berkata, ADUN pakatan pembangkang bertindak demikian untuk meraih undi daripada rakyat dengan cuba menggambarkan BN sebagai sebuah parti yang teruk.

“Dia nak cari undi, nak menunjukkan betapa teruk BN. Kalau kita halang dia, nampak lagi buruk,” katanya.

Ditanya tindakan Speaker DUN Kedah mahu mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan kedudukan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif di mahkamah, beliau berkata, Datuk Dr. Abdul Isa berhak berbuat demikian jika terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan perkara itu dibawa ke badan kehakiman.

Kata beliau, sebagai sebuah negara yang mempunyai undang-undang sendiri, hasrat Abdul Isa untuk mencabar keputusan SPR di mahkamah tidak boleh ditahan.

No comments:

Post a Comment