Friday, September 4, 2009

Kemelut MCA akan pulih – TPM

PUTRAJAYA 3 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin segala inisiatif yang dilakukan oleh para pemimpin MCA mampu meredakan pertelingkahan dalam parti itu dan mengelak perpecahan dalam kalangan ahlinya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting MCA perlu kekal teguh tanpa perpecahan kerana parti itu antara penyumbang kekuatan Barisan Nasional (BN).

“Sebarang langkah yang mereka (pemimpin MCA) ambil sekarang diharap menjurus kepada proses memulih dan mengukuhkan parti.

“Ini kerana kita melihat MCA sebagai rakan kongsi yang penting dalam BN,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet mengenai pelancongan di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengarahkan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membolehkan ahli parti itu menyuarakan pendapat mereka berhubung beberapa keputusan pucuk pimpinan kebelakangan ini.

Ia dijangka diadakan sebelum 30 September ini.

Cadangan EGM itu sebelum ini didakwa adalah hasil usaha bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang dikatakan tidak berpuas hati selepas dipecat baru-baru ini ekoran skandal seksnya yang dipercayai telah merosakkan imej parti, namun dinafikan olehnya.

Mengenai mesyuarat hari ini, Muhyiddin memberitahu, ia melibatkan koordinasi antara kementerian-kementerian bagi memastikan sektor pelancongan dapat berkembang meskipun dilanda pelbagai masalah seperti ekonomi global merudum dan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Jelasnya, antara yang dibincangkan acara-acara pelancongan lebih awal dan berkesan.

“Kita juga akan mengambil beberapa langkah seperti mencari sasaran spesifik untuk pasaran baru dan mengenal pasti produk baru.

“Kita juga akan memperkenalkan beberapa kaedah seperti membuka kaunter hospitaliti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan memastikan pemandu pelancong mahir berbahasa asing,” katanya.

No comments:

Post a Comment