Tuesday, May 26, 2009

Impian United, igauan Barca


LONDON -

'Final impian' Sir Alex Ferguson pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini mungkin menjadi mimpi ngeri buat Barcelona jika Manchester United berjaya membantutkan gerakan pasukan Sepanyol itu dan mampu mencatat kemenangan menerusi serangan balas.

Ia satu senario sukar yang diharapkan namun Ferguson sedar peluang terbaik untuk United menjadi pasukan pertama yang mempertahankan kejuaraan dalam era Liga Juara-Juara ialah mengecewakan lawan yang mampu menjaringkan gol dari mana-mana gerakan di setiap sudut.


United berjaya melakukannya tahun lalu, menundukkan Barcelona menerusi agregat 1-0 di separuh akhir dan pasukan Sepanyol itu berdepan tentangan Chelsea selama 120 minit di separuh akhir musim ini sebelum jaringan kemenangan Andres Iniesta pada masa kecederaan.

Ferguson mengagumi pendekatan Barcelona dan dia menunjukkan komitmen sendiri dengan mempersembahkan permainan menarik dengan cara sering menurunkan kesebelasan utama seperti Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney Dimitar Berbatov sebagai trio serangan.

Namun, pengalaman luas pengurus kelahiran Scotland itu menyedarkannya bahawa pasukan yang hebat terbina dari bawah dan kunci utama untuk membuka senjata sendiri ialah dengan meneutralkan pasukan lawan.

''Mereka (Barca) bijak mengambil kesempatan dan boleh menyebabkan anda pening.

''Tahap tumpuan anda boleh boleh terjejas walaupun sesaat. Namun dengan taktik yang betul, permainan mereka boleh diimbangi,'' kata Ferguson.

Pertahanan United amat menakjubkan musim ini, dengan mengandaikan Rio Ferdinand cergas untuk mengisi bahagian tengah bersama Nemanja Vidic, pertahanan United sepatutnya cukup kuat.

Bahagian tengah United juga bekerja keras dan berjaya mengekang jumlah gol yang dilepaskan hanya 24 gol.

Dalam kempen Liga Juara-Juara, mereka hanya melepaskan tiga gol pada saingan peringkat kumpulan dan empat gol dalam enam perlawanan peringkat kalah mati dengan Inter Milan, Porto dan Arsenal.

Pemain yang berlari tanpa henti, Park Ji-Sung dan pakar membaca rentak perlawanan Michael Carrick merupakan pelengkap kepada empat benteng pertahanan United.

''Dengan cara permainan Barcelona, mereka mampu mengawal bola dengan tempoh yang lama dan anda perlu berhati-hati, bertahan dengan baik. Ia juga melibatkan peperangan mental.

''Seperti yang ditunjukkan oleh Chelsea, kami perlu menyerang Barca pada masa yang betul,'' kata Carrick.

United mempunyai 'seni' memperdayakan pasukan lawan menerusi serangan balas, buktikan ketika Ronaldo memula dan menamakan percubaan menerusi larian dari jarak 60 meter ketika melakukan jaringan hebat gol ketiga pada separuh akhir menentang Arsenal.

Gerakan tersebut sesuatu yang diidamkan oleh Ferguson pada final nanti terutama ketika pertahanan Barca dilihat sedikit goyah dengan penggantungan Eric Abidal dan Dani Alves serta kecederaan yang menyebabkan Rafael Marquez tidak dapat beraksi.

Pengurus Barca, Pep Guardiola, yang merehatkan hampir semua kesebelasan utama ketika kalah 0-1 kepada Osasuna, Sabtu lalu juga sedang 'berpeluh' memikirkan tahap kecergasan Iniesta dan Thierry Henry.

Seperti mana United, Barcelona menjulang kejuaraan liga sebelum musim berakhir dan kedua-duanya juga menjulang kejuaraan domestik.

Seperti juga United, yang dibandingkan dengan bekas juara Liverpool, juara Sepanyol itu terdesak untuk melakar sejarah selepas hanya memenangi dua kali Piala Eropah berbanding Real Madrid sembilan kali.

Mereka akan melaksanakan tugas tersebut dengan berhati-hati di Rome nanti, dan dengan bergantung kepada corak permainan, Iniesta dan Xavi diharap dapat membantu membuka gerakan gol untuk Henry, Messi atau Samuel Eto'o.

Eto'o, yang beraksi Sabtu lalu dalam usahanya memburu gol ke-30 liga, memuji pendekatan cara permainan pasukannya sehingga berjaya mencatat jumlah yang gol yang tinggi.

''Kami menjaringkan 150 gol musim ini. Bagi pemain penyerang tiada pasukan sebaik Barcelona,'' katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment