Thursday, June 11, 2009

'Mascherano bukan untuk dijual'


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez berkata, mereka tidak akan menjual Javier Mascherano, walaupun didakwa oleh ejen pemain tengah tersebut bahawa dia berminat untuk berpindah ke Barcelona.

"Mascherano tidak mempunyai sebarang harga untuk dibeli.

"Barcelona tidak mampu membeli setanding nilainya dari Liverpool. Kami tidak mahu menjualnya dan Javier sangat gembira di sini.

"Saya telah bercakap dengan Javier dua atau tiga kali pada musim panas ini, kali terakhir pada minggu lepas dan dia sangat gembira, sangat positif.

"Dia memberikan saya nombor peribadi ejennya, Walter Tamer dan sekali lagi perbualan tersebut sangat positif dan semuanya mengenai bola sepak," kata Benitez dalam laman web www.liverpoolfc.tv.

Sebelum ini, Tamer memberi kenyataannya kepada media Britian dengan berkata, ketua pasukan Argentina itu merupakan pemain tengah terbaik dalam bola sepak dunia dan begitu berbangga selepas Barca berminat dengannya serta berpendapat perpindahan itu sangat munasabah.

Namun Benitez mendakwa dia telah menjelaskan segalanya bahawa Liverpool tidak akan menjual pemain yang sangat penting untuk pasukan.

"Walter memberitahu saya dua pasukan gergasi berminat untuk mendapatkan Mascherano dan saya memberitahu supaya melupakannya, Javier sudah gembira di Liverpool dan bukan untuk dijual.

"Jadi saya begitu terkejut melihat komen ejen tersebut.

"Dia mempunyai kontrak yang lama dan pasukan lain boleh melupakan untuk membidanya. Mereka boleh menawarkan sebanyak 40 juta pound (RM140 juta) atau 50 juta pound (RM175 juta), kami tidak akan menjualnya," kata pengurus The Reds itu.

Terdapat spekulasi bahawa Benitez terpaksa menjual beberapa pemain utama musim panas ini kerana kedudukan kewangan yang semakin meruncing buat pemilik kelab dari Amerika Syarikat, yang perlu membuat pembayaran hutang sebanyak 350 juta pound (RM1.2 bilion) sebelum 24 Julai depan.

Bagaimanapun pengurus dari Sepanyol itu hanya akan menjual pemain bukan utama jika dia tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan.

Seorang lagi penyerang dan pemain pertahanan kanan merupakan sasaran utama kelab tersebut termasuk pemain Valencia, David Silva. - AFP

No comments:

Post a Comment