Wednesday, September 23, 2009

Perwakilan tetap pertahan Isa Samad calon sesuai

Terkini
23/09/2009 1:57pm

PORT DICKSON 23 Sept. — Ketua Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang, Mohd. Faizal Ramli mempertahankan keputusan perwakilannya untuk menamakan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Oktober ini.

Walaupun ada ura-ura yang menyatakan Isa tidak cukup kredibel kerana pernah diambil tindakan disiplin parti atas tuduhan politik wang, perwakilan melihat hanya Isa yang boleh menyatu-padukan masyarakat Port Dickson.

“Kami tidak melihat sebarang masalah yang timbul jika beliau dicalonkan kerana ini merupakan komitmen pada peringkat jentera parti dan komitmen yang diberikan oleh peringkat akar umbi kerana beliau mesra dengan masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Beliau mendakwa bahagian itu sudah pun membuat tinjauan dan mendapati para penduduk termasuk dari keturunan bukan Melayu menerima Isa.

“Saya tak nampak bahawa isu-isu yang menjadi rekod Isa akan menjadi satu liabiliti kepada UMNO dan BN dalam menghadapi pilihanraya kecil Bagan Pinang ini,” katanya.-Bernama

Monday, September 14, 2009

Bagan Pinang: Pengundian 11 Oktober

Terkini
14/09/2009 12:54pm

PUTRAJAYA 14 Sept. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang adalah pada 3 Oktober dan pengundian 11 Oktober sekiranya ada pertandingan. - Utusan.

Sunday, September 13, 2009

Man. United benam Spurs 3-1

Terkini
13/09/2009 3:16am

LONDON 13 Sept - Manchester United meleburkan rekod tanpa kalah Tottenham Hotspur apabila bangkit dari ketinggalan untuk menang 3-1 pada perlawanan Liga Perdana England di White Hart Lane di sini, awal pagi ini.

United ketinggalan satu gol seawal minit pertama perlawanan hasil jaringan menerusi aksi akrobatik Jermain Defoe.

Man. United menyamakan kedudukan menerusi sepakan bebas Ryan Giggs dan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Paul Scholes dibuang padang.

Anderson menjaringkan gol kedua Man. United sebelum Wayne Rooney tenang menyudahkan gol ketiga pasukan pelawat. - Agensi

Tuesday, September 8, 2009

Bekas MB Kelantan dikebumi selepas Zohor

Terkini
08/09/2009 12:36pm

KOTA BAHARU 8 Sept. - Bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Mohamed Yaacob yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Kuala Lumpur pukul 5.50 pagi ini akan dikebumikan selepas Zohor hari ini.

Allahyarham meninggal dunia akibat masalah pernafasan sejak dimasukkan ke pusat perubatan itu Jumaat lepas.

Anak ketiganya, Dr. Idora Mohamed ketika dihubungi Bernama berkata, ayahnya menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya Puan Sri Nik Azizah Nik Ahmad dan lima orang anaknya.

Jenazah Allahyarham kini ditempatkan di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Zohor.

Tinjauan Bernama ke rumah Allahyarham di Taman Uda Murni, di sini juga mendapati rumah itu kosong dan tiada sesiapapun berada di rumah berkenaan.

Allahyarham menceburi bidang politik sejak tahun 1950 dengan menyertai Umno dan bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dengan memenangi kerusi Parlimen Tanah Merah.

Beliau pernah memegang jawatan menteri Kabinet sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1978 dan kekal dalam jawatan itu sehingga PAS menewaskan Umno untuk membentuk kerajaan negeri baru pada 1990.

Allahyarham yang dilahirkan di Palekbang, Tumpat itu juga pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 1996.

Sebelum itu, Allahyarham pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan kerajaan termasuk sebagai setiausaha sulit kepada Almarhum Sultan Kelantan, majistret, timbalan pendakwa raya dan Penasihat Undang-undang di Terengganu dan Johor.

— BERNAMA

Speaker DUN Kedah lantik peguam cabar SPR

Terkini
08/09/2009 3:44pm

ALOR SETAR 8 Sept. - Speaker Dewan Udangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Abdul Isa Ismail telah melantik sekumpulan peguam untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 1 September lalu yang mengekalkan kedudukan Datuk Abu Hasan Sarif sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh.

Abdul Isa berkata, kumpulan peguam berkenaan yang dilantik sejak tiga hari lalu itu akan menfailkan tuntutan di mahkamah dalam tempoh 40 hari berhubung perkara berkenaan.

Katanya, beliau tetap berpegang kepada keputusan untuk mengosongkan kerusi Kota Siputeh selepas Abu Hasan gagal menghadiri mesyuarat DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenarannya.

''Terserah kepada panel peguam yang dilantik untuk mengambil tindakan yang perlu bagi mencabar keputusan SPR itu di mahkamah,'' katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah di Kediaman Menteri Besar, Sri Mentaloon di sini hari ini. - Utusan

McDonald's hilang hak eksklusif guna awalan 'Mc'

Terkini
08/09/2009 1:59pm

PUTRAJAYA 8 Sept. - Rangkaian restoran makanan segera McDonald’s hilang hak eksklusifnya selepas gagal menghalang sebuah restoran makanan India tempatan, McCurry Restaurant (KL) Sdn. Bhd. menggunakan awalan ’Mc’ untuk papan tanda perniagaannya.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Mahkamah Persekutuan hari ini turut memerintahkan McDonald’s membayar kos RM10,000 kepada McCurry yang mempunyai outlet di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

“Kami berpendapat persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh McDonald’s tidak jelas dan mahkamah harus menolak permohonan semakan bagi rayuan tersebut,” kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang mengetuai panel dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk James Foong.

- BERNAMA

Friday, September 4, 2009

Menteri Pengangkutan jumpa Najib perjelas isu PKFZ

Terkini
04/09/2009 3:45pm

PUTRAJAYA 4 Sept.— Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi melaporkan hasil siasatan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pertemuan Tee Keat dengan Najib berlangsung selama sejam mulai 10.30 pagi di pejabat Perdana Menteri di sini.

Bagaimanapun, beliau enggan menemui pemberita selepas pertemuan itu bagi mengulas mengenai hasil pertemuan tersebut.

Terdahulu, ketika ditemui di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tee Keat memberitahu, beliau akan menemui Najib bagi memaklumkan mengenai isu PKFZ.

Katanya, pertemuan itu tidak akan menyentuh mengenai perkembangan semasa MCA serta kemungkinan pelantikan orang tengah untuk menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu.-Bernama

ADUN meninggal: Speaker akan maklum SPR

Terkini
04/09/2009 3:51pm

SEREMBAN 4 Sept. – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, Datuk Razak Mansor berkata, beliau akan memaklumkan secepat mungkin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SRP) mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Razak yang mengesahkan kematian penyandang kerusi itu, Azman Mohd. Nor pada pukul 2.30 petang ini memberitahu, beliau hanya mendapat berita tersebut kira-kira pukul 3 petang ini.

“Saya akan memaklumkan kepada SPR secepat mungkin mengenai kekosongan kerusi DUN Bagan Pinang.

“Saya perlu semak dengan Unit Protokol dulu (pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri), kalau sempat saya maklum hari ini, jika tidak mungkin tunggu Isnin sebab esok dan Ahad cuti,” katanya.

Azman, 55, meninggal dunia kerana sakit jantung di Hospital Pakar Seremban di sini.

Antara yang menziarahi Allahyarham di hospital ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

DUN Bagan Pinang dalam Parlimen Teluk Kemang adalah salah satu daripada dua kerusi yang dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) tahun lalu.

Dalam pilihan raya itu, Allahyarham Azman mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail (Pas) dengan majoriti 2,333 undi.

Parlimen Teluk Kemang mempunyai lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya milik pembangkang iaitu Chuah dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lukut (DAP) dan Port Dickson (PKR).

Satu lagi kerusi yang dimenangi BN dalam Parlimen Teluk Kemang DUN Linggi menerusi Datuk Ismail Taib.

Kerusi Parlimen Teluk Kemang pula dimenangi calon PKR, Datuk Kamarul Bahrin Abbas, mengalahkan calon BN, S. Sothianathan. - Utusan

Arah adakan EGM untuk elak perpecahan - Tee Keat

KUALA LUMPUR 3 Sept. - Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, beliau mengarahkan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan sebelum 30 September ini kerana ingin mengelak perpecahan dalam parti itu.

Beliau berkata, EGM akan membolehkan ahli menetapkan pendirian sama ada menyokong atau menolak resolusi untuk parti melalui undian.

Katanya, ahli parti tidak perlu takut menyatakan pendirian kerana setiap undi adalah rahsia.

"Selepas undi terakhir dikira dan keputusan dicapai, parti boleh kembali kepada proses penyuburan dan pembaharuan semula dengan sedikit sahaja kesan terhadap MCA," kata beliau dalam blognya, http://www.ongteekeat.net/gogo_en/.

Isnin lalu, MCA mengumumkan EGM parti itu akan diadakan sebelum 30 September ini.

Setiausaha Agung MCA, Senator Datuk Wong Foon Meng berkata, dengan pengumuman itu MCA akan menangguhkan mesyuarat agung tahunannya (AGM) kepada 11 Oktober 2009.

Dalam pada itu, Tee Keat membidas bekas Timbalannya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang didakwanya menjalankan kempen menjelajah ke seluruh negara untuk mengumpul tandatangan perwakilan.

"(Tindakan) Menjelajah ke seluruh negara untuk mengumpul tandatangan perwakilan meminta diadakan EGM bermakna memaksa mereka membuat pendirian.

"Jika mereka tandatangan, ia bermakna mereka menyokong pemimpin tertentu dan jika tidak tandatangan bermakna mereka menyokong pihak yang satu lagi," ujarnya.

Beliau berkata, perkembangan itu adalah tidak sihat untuk MCA yang sedang melalui proses penyembuhan selepas pilihan raya umum lepas.

"Saya ada dengar kes perwakilan didesak atau dipaksa menurunkan tandatangan.

"Untuk mengelak perkara itu berlaku, saya membuat keputusan untuk mengadakan EGM," ujarnya.

Tee Keat berkata, ada pihak tertentu cuba mengelirukan ahli parti dan orang ramai berhubung EGM itu dengan mewujudkan perselisihan dalam MCA bagi mencapai agenda peribadi.

Jangan ambil peduli – Tun Mahathir

ALOR SETAR 3 Sept. – Rakyat dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu ambil peduli tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang di Perak semalam kerana ia hanya taktik mereka untuk meraih sokongan politik, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, tindakan mereka mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu bukannya sah daripada segi undang-undang.

“Dia nak buat, biar pi dia buat. Buat apa nak ambil peduli. Bukan ada taraf rasmi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membeli-belah dan meninjau Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan ADUN pakatan pembangkang di Perak yang mengadakan perhimpunan haram di sebuah hotel di Ipoh semalam selepas gagal memasuki Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak setelah dihalang polis.

Dr. Mahathir berkata, ADUN pakatan pembangkang bertindak demikian untuk meraih undi daripada rakyat dengan cuba menggambarkan BN sebagai sebuah parti yang teruk.

“Dia nak cari undi, nak menunjukkan betapa teruk BN. Kalau kita halang dia, nampak lagi buruk,” katanya.

Ditanya tindakan Speaker DUN Kedah mahu mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan kedudukan ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif di mahkamah, beliau berkata, Datuk Dr. Abdul Isa berhak berbuat demikian jika terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan perkara itu dibawa ke badan kehakiman.

Kata beliau, sebagai sebuah negara yang mempunyai undang-undang sendiri, hasrat Abdul Isa untuk mencabar keputusan SPR di mahkamah tidak boleh ditahan.

Kemelut MCA akan pulih – TPM

PUTRAJAYA 3 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin segala inisiatif yang dilakukan oleh para pemimpin MCA mampu meredakan pertelingkahan dalam parti itu dan mengelak perpecahan dalam kalangan ahlinya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, apa yang penting MCA perlu kekal teguh tanpa perpecahan kerana parti itu antara penyumbang kekuatan Barisan Nasional (BN).

“Sebarang langkah yang mereka (pemimpin MCA) ambil sekarang diharap menjurus kepada proses memulih dan mengukuhkan parti.

“Ini kerana kita melihat MCA sebagai rakan kongsi yang penting dalam BN,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa Kabinet mengenai pelancongan di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mengarahkan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membolehkan ahli parti itu menyuarakan pendapat mereka berhubung beberapa keputusan pucuk pimpinan kebelakangan ini.

Ia dijangka diadakan sebelum 30 September ini.

Cadangan EGM itu sebelum ini didakwa adalah hasil usaha bekas Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang dikatakan tidak berpuas hati selepas dipecat baru-baru ini ekoran skandal seksnya yang dipercayai telah merosakkan imej parti, namun dinafikan olehnya.

Mengenai mesyuarat hari ini, Muhyiddin memberitahu, ia melibatkan koordinasi antara kementerian-kementerian bagi memastikan sektor pelancongan dapat berkembang meskipun dilanda pelbagai masalah seperti ekonomi global merudum dan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Jelasnya, antara yang dibincangkan acara-acara pelancongan lebih awal dan berkesan.

“Kita juga akan mengambil beberapa langkah seperti mencari sasaran spesifik untuk pasaran baru dan mengenal pasti produk baru.

“Kita juga akan memperkenalkan beberapa kaedah seperti membuka kaunter hospitaliti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan memastikan pemandu pelancong mahir berbahasa asing,” katanya.